Berita Terkini

8 minit yang lalu: PM Anwar yakin prospek pertumbuhan jangka sederhana hingga jangka panjang Malaysia akan kekal baik 8 minit yang lalu: Malaysia akan terus bekerjasama dengan China untuk meningkatkan kerjasama sedia ada dalam BRI, memperluas bidang pertumbuhan baharu - PM Anwar 29 minit yang lalu: MOF timbang peruntukan segera RM45.5 juta naik taraf CIQ KSAB atasi kesesakan 30 minit yang lalu: Gangguan Seksual: Sharon sedia beri sokongan emosi, kaunseling 30 minit yang lalu: Projek pembetungan Kuantan dijadual siap September

IKUTI KAMI


Gerbang Maritim Selangor: Projek Sungai Klang ‘Rosak’ Akibat Dakwaan Salah Guna Kuasa?

Semasa Dikemaskini 3 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 05 Mar 2023 4:00PM

Projek Gerbang Maritim Selangor melibatkan pendalaman kawasan Sg Klang sepanjang 56 km dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, serta kerja-kerja pembangunan lain. - Gambar daripada Flickr Ahmad Rithauddin

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) baru-baru ini dilanda kontroversi, susulan pendedahan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari adalah pengarah sebuah syarikat yang ditugaskan untuk mengusahakan projek itu.

Diketuai Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), iaitu anak syarikat milik penuh penggerak pelaburan utama kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor Inc (MBI), SMG terbabit dengan kerja mengorek 56 kilometer (km) Sungai Klang dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, selain kerja pembangunan lain.

Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin memberitahu New Straits Times pada 2019 bahawa pada Mac tahun sebelumnya, sebuah jawatankuasa dari jabatan negeri Selangor menghubungi kerajaan negeri dengan pelan induk mengenai projek ‘pembersihan sungai, pemulihan serta menyuntik ekonomi dan aktiviti pelancongan’ di sepanjang Sungai Klang.

Idea itu, katanya, pertama kali dikemukakan kepada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan cadangan untuk menubuhkan SMG, malah rancangan itu kemudian turut dibawa kepada pengganti Azmin, Amirudin, dengan dikatakan ‘skeptikal pada mulanya tetapi, akhirnya bersetuju’.

Azmin telah memberi kelulusan terhadap cadangan untuk menubuhkan Gerbang Maritim Selangor mengikut Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin. - Gambar fail
Azmin telah memberi kelulusan terhadap cadangan untuk menubuhkan Gerbang Maritim Selangor mengikut Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin. - Gambar fail

Amirudin berkata, pada 2018, SMG akan menyaksikan Sungai Klang menjadi sumber ekonomi baharu bagi Selangor, dengan menyatakan projek itu juga bertujuan meningkatkan kualiti air di lembangan dan rizab sungai.

Dilaporkan pada tahun sama bahawa LLSB yang diperbadankan pada Mei 2012, dilantik kerajaan negeri untuk mengendalikan projek SMG yang didakwa syarikat itu akan memberi manfaat ‘sangat besar kepada ekonomi negeri’, seperti dinyatakan menerusi laman sesawangnya.

Kajian berhubung kes SMG menyatakan peruntukan belanjawan negeri disediakan Azmin sebanyak RM2.88 bilion untuk 2016, menyaksikan beliau memaklumkan bahawa Sungai Klang ‘akan menjadi mercu tanda untuk memacu pertumbuhan ekonomi baharu dan menjana ekosistem ekonomi maritim’.

Dokumen itu juga menggariskan fasa pelaksanaan SMG, dengan Fasa 1 projek (2018-2022) membabitkan usaha meneruskan aktiviti pembersihan sungai yang bermula pada Februari 2016, kerja pemulihan untuk meningkatkan kualiti air dan lima projek pemangkin.

Projek pemangkin termasuk menaik taraf taman permainan destinasi interaktif, iaitu Taman Bandar Pangkalan Batu di Klang, selain pembinaan tarikan eko-pelancongan Mangrove Point di hutan bakau Pelabuhan Klang.

Laman sesawang LLSB menyatakan bahawa projek itu yang bermula pada Ogos 2019 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Selangor, dijangka siap pada suku kedua 2021.

Bagaimanapun, satu artikel berita pada November 2021, melaporkan bahawa taman seluas 28 hektar berkenaan dijadualkan dibuka kepada orang ramai awal tahun lalu, dengan projek terbabit dikatakan ‘kira-kira 80 peratus siap’ pada masa itu.

Exco Selangor, Izham Hashim berkata, penangguhan projek kira-kira RM10 juta itu dibuat, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan semasa pandemik COVID-19.

Sementara itu, Fasa 2 (2021-2031) akan menyaksikan ‘pembangunan berimpak tinggi, termasuk pulau sekitarnya’, manakala Fasa 3 (selepas 2031) tertumpu di sekitar ‘baki keluasan’ Sungai Klang.

Pihak berkuasa tempatan seperti majlis perbandaran untuk Klang, Subang Jaya dan Ampang Jaya serta majlis bandaraya di Shah Alam, Petaling Jaya, dan Kuala Lumpur juga dikatakan terlibat dalam projek itu.

Laporan itu menambah, bagaimanapun, penglibatan enam majlis perbandaran dalam projek terbabit, menimbulkan beberapa isu, termasuk ‘struktur dan dasar berpecah-belah dengan komunikasi bersama tidak berkesan’.

Amirudin Shari dilaporkan pada mulanya ragu-ragu dengan projek Gerbang Maritim Selangor, tetapi akhirnya memberi restu kepada skim itu. – Gambar fail
Amirudin Shari dilaporkan pada mulanya ragu-ragu dengan projek Gerbang Maritim Selangor, tetapi akhirnya memberi restu kepada skim itu. – Gambar fail

Sebagai penyelesaian yang dicadangkan, LLSB mengesyorkan supaya ‘tadbir urus kolaboratif’ diwujudkan menerusi entiti pengurusan sungai secara bersama’ untuk Sungai Klang, yang dikatakan akan ‘mengatasi hierarki kompleks sambil meningkatkan kualiti output dasar dan mencapai skala ekonomi’.

Kajian kes itu juga mengesahkan bahawa SMG memenuhi semua matlamat digariskan dalam program Smart Selangor yang bertujuan menjadikan Selangor sebagai ‘negeri pintar’ di Asean menjelang 2025.

SMG bersama Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan skim Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) juga adalah sebahagian daripada Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2021 yang diperkenalkan Amirudin pada Ogos tahun lalu.

Selain menyasarkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi Selangor dan memastikan rakyat di kawasan pinggir bandar dan luar bandar dapat menikmati akses kepada inisiatif pembangunan, Amirudin berkata, RS-1 akan membantu negeri menyumbang 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Jawatan pengarah MB Selangor dalam syarikat usaha sama

Pada November 2021, LLSB membentuk usaha sama (JV) yang dipanggil Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB), dengan anak syarikat Berjaya Corporation Bhd (BCorp) Berjaya Land Bhd (B-Land), menjalankan pembersihan, pemulihan dan pembangunan sungai di Lembah Klang.

Laporan The Edge Markets melaporkan, beberapa inisiatif sungai yang akan dilaksanakan LLB, termasuk projek SMG dan pembangunan perumahan di sepanjang Sungai Klang, dengan dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10 bilion dalam tempoh lapan tahun, selain purata GDV sebanyak RM1.25 bilion setahun.

Berdasarkan laporan itu, B-Land memegang 55 peratus pegangan dalam JV, manakala baki 45 peratus dipegang LLB.

Selain Amirudin, pengasas BCorp, Tan Sri Vincent Tan dan Izham disenaraikan sebagai pengarah syarikat.

Vincent Tan - Gambar fail AFP
Vincent Tan - Gambar fail AFP

Amirudin sejak itu menafikan sebarang penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan jawatan pengarahnya atau Izham, sebaliknya mendakwa kehadiran mereka adalah ‘untuk memastikan perlindungan kepentingan negara’.

Berkuat kuasa 1 Mac, Vincent Tan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas BCorp, manakala B-Land akan menyaksikan Datuk Seri Robin Tan sebagai Timbalan Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas baharu dan Tan Peng Lam memegang jawatan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas.

Jelas Syaiful, sebahagian daripada projek SMG itu tidak membabitkan suntikan dana daripada kerajaan negeri, sambil menyatakan anggaran kos mendalamkan sungai bagi meningkatkan kapasiti sungai sebagai cara menangani isu pencemaran ialah RM700 juta.

Sebaliknya, beliau berkata, kos itu akan dibiayai melalui liabiliti premium ke atas tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, liabiliti hutang RM54 juta dan kemungkinan pembiayaan daripada MBI. - The Vibes, 5 Mac 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

MBI Cadang Senaraikan Michelle Yeoh Antara Tokoh Dalam 'Hall Of Fame'

2

Semasa 3 minggu yang lalu

Segera Laksana Pendengaran Awam Projek Gerbang Maritim Selangor

3

Semasa 4 minggu yang lalu

PJD Link Belum Diluluskan, Masih Menunggu Perubahan - MB Selangor

4

Semasa 4 minggu yang lalu

Projek Sungai: Polis Sahkan Terima Laporan Dakwaan Pembabitan MB Selangor

Sorotan

1

Tetapkan Garis Masa, Sasaran Selesai Isu Doktor Kontrak Dalam 3 Tahun

2

Pharmaniaga Jamin Bekalan Ubat Tidak Terjejas - Menteri

3

Saya Hormat Kebebasan Media, Tapi Akan Tegur Jika Laporan Menimbulkan Fitnah - Fahmi

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

UiTM Cuba Sekat Program Diskusi Ilmiah Mahasiswa?

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

JAIPk Sahkan Ayam Di Pasar Raya Kuala Kangsar Disembelih Ikut Syariat

Semasa 1 hari yang lalu

Perbincangan Peringkat Tertinggi Harus Libatkan Persaingan Teknologi Sebagai Agenda Utama - PM

Semasa 1 hari yang lalu

Yayasan AlBukhary: Wan Fayhsal Bersorak Selepas Disahkan Beliau Tidak Buat Laporan Polis

oleh Qistina Nadia Dzulqarnain