ULU KELANG – Dua harimau Malaya milik Zoo Negara menyambut ulang tahun kedua hari ini.
Dikenali sebagai Wira dan Hebat, kedua-duanya ialah anak kepada pasangan Kayla dan Jati, yang dilahirkan menerusi usaha pemuliharaan Zoo Negara, khusus bagi membiakkan semula haiwan berkenaan.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmad Lana berkata, Wira dan Hebat masing-masing dihadiahkan dengan juadah istimewa iaitu kek diperbuat daripada daging.
Menurut beliau, keduanya berada dalam keadaan sihat, dengan berat setiap satu mencecah 100 kilogram.
“Lazimnya spesis harimau Malaya ini akan membesar dengan berat boleh menjangkau sehingga 130 kilogram apabila mencapai usia dewasa.
“Wira dan Hebat sudah mencecah berat 100 kilogram berat walaupun baru berusia dua tahun, sekali gus menandakan kedua-duanya berada dalam keadaan sangat sihat," katanya.
Rosly juga memberitahu, Wira dan Hebat yang lebih menggemari daging berbanding ayam itu kini diselenggarakan oleh empat pekerja khas.
"Selain Wira dan Hebat, ada enam harimau Malaya lain yang berada di bawah penjagaan Zoo Negara buat masa ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau ketika mengulas laporan media berhubung keadaan Zoo Negara yang didakwa berada dalam keadaan tidak terurus dan menyedihkan berkata, semua haiwan terbabit sedang melalui proses penyembuhan selepas dirawat.
“Harimau yang dilaporkan kelihatan sakit dan tidak terurus tersebut bukan akibat mengalami kekurangan gizi, tetapi sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani rawatan perubatan dan diberi peluang untuk berjalan di sekitar kandangnya sebagai sebahagian daripada proses," tegasnya.
Rosly juga berkata, dianggarkan terdapat kurang dari 200 ekor harimau Malaya yang buat masa ini hidup liar dan berada pada tahap membimbangkan. – Getaran, 1 Mei 2021.

