TAWAU- Kerajaan Negeri Sabah bersetuju melanjutkan tempoh operasi perniagaan di kawasan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua jam lagi.
Kerajaan negeri dalam satu kenyataan bersetuju memberi kelonggaran terbabit selepas mengambil kira aduan orang ramai berkaitan Ramadan dan waktu berbuka puasa.
"Sehubungan itu, semua operasi perniagaan di kawasan PKP dilanjutkan sehingga 8 malam selepas ini, berbanding jam 6 petang sebelumnya.
“Waktu operasi bermula pula masih seperti biasa iaitu 6 pagi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan adalah bagi membolehkan semua pengusaha gerai, restoran dan kedai makan meneruskan perniagaan, khususnya mereka yang menjual juadah berbuka puasa.
Getaran sebelum ini melaporkan rungutan orang ramai yang mempertikaikan perubahan mendadak prosedur operasi standard (SOP) waktu operasi, seperti arahan dikeluarkan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Jumaat lalu.
Antara lain, mereka mempersoalkan perubahan masa berkenaan, yang dianggap menyukarkan penduduk kerana operasi sehingga jam 6 petang itu terlalu suntuk, memandangkan ia begitu hampir dengan waktu berbuka puasa bagi daerah Tawau. - Getaran, 26 April 2021

