KUALA LUMPUR – Parlimen Penggal Ke-14 melakar ‘warna suram’ kepada landskap politik negara apabila berlaku pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah yang bersilih ganti dalam penggal sama, sekali gus menyaksikan situasi belum pernah terpateri dalam sejarah negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia memberi dampak memburuk terhadap sosio politikal ekonomi Malaysia.
“Kejayaan menangani COVID-19 sehingga menyaksikan pembukaan semula pintu ekonomi dan merancakkan kembali aktiviti pelbagai sektor adalah bukti kukuh komitmen kerajaan dalam usaha menangani pandemik itu, selain menarik balik sekatan pergerakan yang menjejaskan kehidupan seharian.
“Pun begitu, pemulihan kesihatan dan ekonomi yang terus mengukuh ini tidak terkecuali daripada berdepan ketidaktentutan politik berterusan, (sehingga) menggugat kestabilan umpama peribahasa ‘empang sampai ke seberang, dinding sampai ke langit’,” katanya ketika mengumumkan perutusan khas hari ini.
Ismail Sabri berkata, percakaran tanpa henti antara pemain politik dapat dikekang dengan membawa mereka ke meja rundingan bagi meredakan keadaan.
“Kami mencari kebersamaan, bukan perbezaan, kami mencari kesepakatan, bukan perpecahan,” katanya.
Beliau berkata, natijah semangat Keluarga Malaysia berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, diterjemah melalui memorandum persamaan (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan serta pembangkang.
“Ternyata limpahan hikmah dan rahmatnya, memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia, berkat kesepakatan ini, kerajaan berjaya melaksanakan beberapa transformasi signifikan.
“Antaranya pindaan Perlembagaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, pindaan Perlembagaan berkaitan dengan Malaysia 1963, juga Akta Anti Gangguan Seksual,” katanya. – Getaran, 10 Oktober 2022
