KUALA LUMPUR - Seorang pengasuh yang disyaki mengabaikan bayi berusia lapan bulan di bawah jagaannya dalam kejadian di Taman Putra Ampang, Selangor, baru-baru ini ditahan polis di kediamannya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.45 malam, selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa sehari sebelumnya.
“Pada 30 September (Jumaat), kira-kira jam 7.40, seorang wanita tempatan berumur 32 tahun yang bekerja sebagai pegawai bank, mengambil anak perempuannya (mangsa) berumur lapan bulan dari rumah pengasuh (suspek).
“Pengadu dapati mangsa mempunyai kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinga. Mangsa dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada 1 Oktober, polis membuat tangkapan ke atas suspek.
Katanya, hasil siasatan mendapati, suspek menjaga enam anak asuhan yang berusia antara tiga bulan hingga dua tahun.
Suspek juga, jelasnya, mempunyai dua anak kandung yang tinggal bersamanya, iaitu masing-masing lelaki dan perempuan berumur lapan tahun serta 16 tahun.
“Suspek (didapati) meninggalkan mangsa lalu keluar dari rumah dan dipercayai anak asuhan lain menggigit muka mangsa,” katanya.
Mohamad Farouk berkata, permohonan reman di Mahkamah Ampang dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga 5 Oktober ini.
“Kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya. – Getaran, 3 Oktober 2022

