TELUK INTAN - Operasi mencari seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari sebuah bot ketika memancing di Sungai Rubana, petang semalam, diteruskan pagi ini.
Operasi mencari itu dijalankan oleh pasukan Bomba dari BBP Teluk Intan dibantu BBP Kampung Gajah yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
``Operasi pencarian akan diteruskan pada esok (Isnin) pagi,'' demikian entri dalam Facebook Ipoh Firefighter.
Sementara itu, Bernama melaporkan ketika kejadian mangsa memancing bersama abang iparnya dan terjatuh ketika bot berkenaan mengelak sampah sarap di Kampung Sungai Rubana Teluk Intan, Perak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden yang menimpa Wan Azila Abdul Aziz, 27, dari Kampung Sarang Tiong, pada kira-kira 6 petang serta bergegas ke lokasi sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
“Mangsa dikatakan bersama abang iparnya menaiki bot untuk memancing di sungai tersebut dan dipercayai telah terjatuh ke sungai akibat daripada cubaan untuk mengelak daripada sampah sarap di sekitar sungai.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa telah terjatuh dan abang ipar mangsa cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata abang ipar mangsa telah dihantar ke hospital oleh orang awam untuk rawatan.
Katanya pencarian sedang dilakukan di sekitar lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

