KOTA KINABALU - Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah tersilap langkah dengan memanggil rakan sejawatnya dari China, Wang Yi “abang”, kata Datuk Seri Anifah Aman.
“Ungkapan yang digunakan Hishammuddin bukan sahaja tidak sesuai, tapi dengan jelas membuat Menteri Luar China Wang Yi berada keadaan yang sukar dan berasa segan. Bahasa tubuh Wang Yi juga menceritakan segalanya, dan dia juga dengan cepat mengucapkan ungkapan ‘kita bersaudara’.
“Sebagai diplomat tertinggi Malaysia, Hishammuddin seharusnya lebih berhati-hati dan bijaksana dalam memilih ungkapan, seperti kata pepatah yang berbunyi ‘diplomasi adalah barisan pertahanan pertama’,” kata bekas Menteri Luar itu dalam satu kenyataan.
Hishammuddin dikecam selepas beliau pada Jumaat berkata “anda akan sentiasa menjadi abang besar saya” dalam bahasa Mandarin kepada Wang Yi dalam satu sidang media bersama di China, lapor The Vibes.
Semalam beliau membuat ciapan di akaun Twitternya menjelaskan yang ungkapan tersebut adalah sebagai tanda hormat, dan bukan tanda Malaysia lemah ataupun tunduk kepada China.
Daripada berdebat dan berusaha untuk menjelaskan penggunakan ungkapan tersebut Hishammuddin sepatutnya mengakui yang beliau telah melakukan tersilap kata, kata Anifah.
“Cukuplah dengan tersilap langkah, tetapi cuba untuk berdebat dan memperjelaskannya menunjukkan perwatakan sebenar seseorang itu.” - Getaran, 4 April 2021

