KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menguji mekanisme atau platform subsidi minyak bersasar yang akan dilaksanakan di negara ini bagi memastikan ia hanya dinikmati oleh pengguna berkelayakan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tiada tempoh masa ditetapkan untuk pelaksanaan mekanisme tersebut kerana keputusan mengenainya akan diputuskan Kabinet.
“Keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat apabila kami selesa dengan mekanisme tersebut.
“Buat masa ini perbincangan diteruskan mengenai subsidi bersasar, tetapi yang lebih penting, kita perlu memastikan mekanisme yang tepat.
“Jadi mengenai tempoh masa itu saya tidak boleh komen kerana kita perlu kembali kepada Kabinet dan membentangkan platform terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pelan tindakan dan laporan kelestarian syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi edotco Group di sini, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, pihaknya sedang meneliti pelbagai platform kerana mengambil kira kepelbagaian pengguna di negara ini.
“Kami melihat platform terbaik kerana seperti anda tahu, pengguna berbeza jadi pengalaman pelanggan juga berbeza di kawasan luar bandar dan bandar,” katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan, subsidi yang dibelanjakan melonjak kepada paras RM71 bilion tahun ini berbanding RM30 bilion bagi mengawal inflasi semasa.
“Subsidi dari segi angka, biasanya kita beri subsidi sehingga RM30 bilion, tahun ini jadi RM71 bilion, kerana itu inflasi masih rendah iaitu pada kadar dua peratus, tetapi inflasi makanan sebenarnya naik empat peratus.
“Ya, benar mengenai bakul makanan, jadi kumpulan yang lebih rentan akan menghadapi cabaran yang lebih besar, bakul makanan jauh lebih tinggi dan ini adalah purata penggunaan isi rumah ketika inflasi,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan persetujuan untuk melaksanakan subsidi bersasar selepas data menunjukkan daripada RM1 subisidi, RM0.53 pergi ke golongan kaya manakala hanya RM0.15 pergi ke golongan B40. - Getaran, 7 Julai 2022

