KUALA LUMPUR - “Saya tak mampu luahkan bagaimana saya tertekan menduduki SPM. Bukan setakat ada orang cakap ilmu saya terima tidak akan berkat, malah mereka secara berterusan mengharapkan saya gagal dalam pelajaran,” kata Nurain Husniza Saiful Nizam, 18, menerusi Twitter.
Namun, remaja itu berkata, biarpun berdepan situasi terbabit selepas nekad menularkan tindakan seorang guru lelaki didakwa membuat jenaka rogol, dia membuktikan doa keluarga serta usaha gigihnya setiap hari, menjadi perisai yang mampu menepis kata-kata nista berkenaan.
Buktinya, dia berjaya mencatatkan keputusan cemerlang 7A dan 1B pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Menerusi slip keputusan peperiksaan itu yang dikongsikannya di media sosial sama, dapat dilihat pelajar Sekolah Sri Cempaka Cheras itu mencatatkan gred A+ bagi subjek Bahasa Inggeris, Sejarah, Kesusasteraan Melayu Komunikatif dan Pendidikan Seni Visual.
Dia turut memperoleh A untuk Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Sains, manakala B bagi Matematik.
Bersebelahan gambar slip keputusan itu, dia turut berkongsi paparan skrin komen diterima daripada individu tertentu yang mengecam dirinya.
‘Macam lah semua cikgu tu perogol sampai nak desak non stop (tak berhenti). Report (lapor) yang salah dah lah.
“Dik (adik), saya rasa awak kena deactivate (nyah aktif) sosial media awak dan sekarang tengah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kan? Takde (tak ada) homework (kerja rumah)?
“Focus on your SPM lah sis, nak straight (semua) F ke?,” tulis individu berkenaan.
From this. To this.#Spm2021 #MakeSchoolASaferPlace pic.twitter.com/E1Qm63gHxO
— ain #MakeSchoolASaferPlace (@ainhsaifulnizam) June 16, 2022
Malah, Nurain Husniza atau lebih dikenali sebagai Ain Husniza berkata, sejak kontroversi ‘jenaka rogol’ itu, dirinya sering dihina dan dimalukan daripada pelbagai segi di media sosial, selain ratusan orang yang berharap dia ditimpa kesusahan.
“Dah dah lah tu, nak fail SPM ke? Kau ni belajar takde (tak ada) berkat dari cikgu. Semua ilmu cikgu bagi kau tu dah ilmu haram, takde berkat.
“Mereka kata saya kelihatan seperti menghisap dadah, mereka kata saya nampak macam ‘stim’, ia menjijikkan. Ia ‘meruntuhkan’ semangat. Dan bila saya terima surat pengusiran daripada sekolah sebelum ini, saya terfikir, bagaimana dengan SPM,” tulis Ain Husniza berkongsi segelintir komen diterima daripada orang ramai dan perasaannya.
Bagaimanapun, Ain Husniza tetap merendah diri dengan mengatakan dia bukan seorang pelajar yang pandai, tetapi percaya kejayaan diraih itu adalah berkat daripada semua guru yang mendidiknya dan rakan sepanjang bergelar pelajar.
Pada tahun lalu, Ain Husniza menjadi perhatian umum selepas bertindak berani mendedahkan perilaku guru lelaki membuat jenaka rogol ketika sesi kelas.
Tindakannya turut mencetuskan bualan ramai apabila memperjuangkan kempen sekolah sebagai tempat selamat, iaitu #MakeSchoolASaferPlace di media sosial sejak mula berdepan kontroversi jenaka rogol berkenaan.
Susulan pendedahan itu, dia dikecam hebat kerana didakwa mengaibkan guru sendiri dan mencemarkan nama baik sekolah, selain menerima ugutan rogol daripada rakan sekelas.
Dia kemudian membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Walaupun segelintir orang menyalahkannya, terdapat beberapa pihak menyokong penuh tindakan gadis itu, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang memuji keberanian ditunjukkan kerana ia disifatkan memberi impak besar kepada masyarakat.
“Apa yang saya lihat, ibu bapanya memberikan sokongan penuh kepada anak mereka untuk bersuara mengikut saluran betul.
“Anak-anak sewajarnya merasa selamat ketika bersama ibu bapa di rumah. Wanita juga sewajarnya melihat suami sebagai pelindung dan rumah sebagai tempat terbaik untuk dirinya,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Kartunis satira politik, Zunar, tampil bersolidariti bersama Ain Husniza selepas remaja itu digelar ‘anak setan’ kerana membuat pendedahan terhadap gurunya yang membuat jenaka rogol.
Dalam ciapannya di Twitter, Zunar ataupun nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Haque memuat naik gambarnya memegang kertas bertulis ‘I support Ain (saya sokong Ain)’ berserta hantaran ‘Berdiri teguh di belakang Ain. Tiada siapa layak digelar Anak Setan. – Getaran, 16 Jun 2022

.jpg)