KUALA LUMPUR - Peraturan jarak selamat ‘two second law’ bagi sesebuah kenderaan untuk mengelakkan kemalangan ketika berada di jalan raya hanya terpakai kepada kenderaan yang dipandu pada kelajuan normal tanpa lebihan muatan.
Bagaimanapun, Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, peraturan tersebut tidak boleh diaplikasi kepada kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan.
“Bagi menentukan jarak selamat sesebuah kenderaan berat terutamanya membabitkan muatan berlebihan, pelbagai faktor perlu diambil kira antaranya kelajuan, jumlah muatan, tinggi, keadaan brek dan sebagainya.
“Justeru, bagi sesebuah kenderaan berlebihan muatan, saya anggarkan mereka memerlukan sekitar empat hingga lima saat untuk berhenti apabila melihat sesuatu halangan di depan,” katanya kepada Getaran.
Menurut beliau, faktor sekeliling turut memainkan peranan penting dalam menentukan jarak selamat sekali pun sesuatu kenderaan berlebihan muatan dipandu bawah daripada had normal jalan raya.
Teik Hua yang juga Ahli Gabungan Keselamatan Jalan Raya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata, penggunaan brek amat penting kepada kenderaan berat terutamanya ketika melalui laluan bercerun.

“Antara punca kemalangan membabitkan kenderaan berat ini adalah disebabkan brek tidak dapat berfungsi dengan baik. Keadaan tersebut mungkin berlaku kerana muatan yang berlebihan,” jelasnya.
Menurut beliau, isu membabitkan kenderaan berat bermuatan berlebihan bukan saja membahayakan keselamatan pengguna lain, malah turut menyumbang kepada kerosakan jalan raya.
Katanya, masalah tersebut saling berkait antara satu sama lain dan turut berupaya mencetuskan tragedi lebih besar seperti kehilangan nyawa.
“Apabila sesuatu kenderaan terutamanya treler membawa muatan berlebihan ia akan menyebabkan jalan raya boleh rosak, berlubang dan sebagainya, keadaan itu berbahaya kepada pengguna lain terutama penunggang motosikal, malah ada nyawa melayang kerana perkara ini,” jelasnya.
Ditanya mengenai kemalangan maut membabitkan lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) 12 Mei lalu, Teik Hua mengesyaki nahas berlaku akibat brek treler terbabit gagal berfungsi dengan baik.
Selain itu, beliau juga tidak menolak muatan berlebihan antara penyumbang kepada nahas tersebut.
Getaran sebelum ini melaporkan pendedahan Pengerusi Persatuan Pemandu Lori dan Bas Perak, Abdullah Hashim bahawa pengilang memainkan peranan utama dalam menentukan jumlah muatan sesebuah kenderaan berat untuk dihantar ke destinasi.
Menurut beliau, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, disebabkan sesebuah kenderaan berat yang membawa lebih muatan tidak mampu berfungsi dengan baik terutamanya di bahagian brek.
Beliau juga mendakwa tindakan tersebut adalah bagi menjimatkan kos penghantaran ditanggung pihak pengilang dengan mengurangkan jumlah ‘trip’ treler disewa.
Pihak pengilang katanya, tidak dikenakan tindakan susulan ‘kerakusan’ mereka untuk mengurangkan kos penghantaran sebaliknya pemandu dan pengusaha kenderaan berat yang menanggung padah jika ditahan ketika membawa muatan berlebihan. - Getaran, 29 Mei 2022