KUALA LUMPUR - Pengarah Eksekutif Petra News, Datuk Ahirudin Attan berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) tanpa dicabar pada mesyuarat tahunan yang dijalankan malam tadi.
Ini merupakan penggal kedua Ahirudin yang lebih dikenali sebagai Rocky, mencurahkan khidmat sebagai presiden sejak memenangi pemilihan NPC pada Mac 2019.
“Tahun 2020 merupakan waktu yang sukar kerana wabak COVID-19, tapi pihak kelab masih berpeluang untuk memberikan bantuan kewangan dan perubatan bernilai RM168,500 kepada 138 ahli kelab, petugas media serta wartawan yang telah bersara.
“Tahun ni, pihak kelab akan cuba menghidupkan semula Anugerah Media NPC bagi memberi penghargaan kepada petugas media yang berkerja keras sepanjang pandemik COVID-19 ini,” kata Rocky yang juga merupakan Penasihat Eksekutif kepada Pengerusi Petra Group.
Karier kewartawanan Rocky bermula pada tahun 1985 di akhbar The Star sebelum berpindah ke New Straits Times Press (NSTP) sehingga membolehkan beliau dilantik sebagai Pengarang untuk akhbar Busines Times.
Beliau kemudian diberi kenaikan pangkat sebagai Pengarang Eksekutif akhbar Malay Mail dan selepas itu menjadi Penasihat kepada surat khabar The Malaysia Reserve sebelum membuka laman portalnya sendiri, The Mole.
Sementara itu bekas Pengarang Eksekutif Malay Mail, Haresh Deol, yang kini mengelola laman portal hal ehwal semasa, TwentyTwo13, turut dilantik semula sebagai Timbalan Presiden.
Berikut adalah senarai kepimpinan NPC untuk penggal 2021-2023:
Naib-presiden: Murhayani Othman
Setiausaha Kehormat: Zaidi Azmi
Penolong Setiausaha Kehormat: Ismail Rashid
Bendahari: K. Sivanesan
Penolong Bendahari: L. Jaiarajoo
Ahli Jawatankuasa: Pearl Lee, Zaharin Mat Noor, SP. Mani, Farah Naz Karim, Sharanjit Singh, T. Ananthan, Tony Mariadass, Joseph Fernando.
Juruaudit: Veera Pandiyan, Graig Nunis
Pemegang Amanah: Datuk Yong Soo Heong, Datuk Nuraina Abdul Samad, Tony Emmanuel
Penasihat: Datuk Mokhtar Hussain.
NPC adalah institusi kewartawanan tertua di Malaysia yang sentiasa kehadapan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan wartawan.
Ia juga sebagai satu entiti yang terlibat dalam pembentukan Majlis Media Malaysia yang telah diketepikan sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran negara, bermula Mac tahun lalu. - Getaran, Mac 25, 2021.

