KUALA LUMPUR - Rakyat di negara ini dinasihatkan supaya tidak panik dengan kemunculan jangkitan cacar monyet atau monkeypox yang kini sudah dikesan di lapan negara Eropah.
Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, jangkitan tersebut sudah wujud sejak puluhan tahun dahulu tetapi tahap penularannya lemah dalam kalangan manusia.
“Bagi saya jangkitan tersebut bukanlah sesuatu yang kita perlu panik. Apabila virus COVID-19 sudah reda dan negara beralih ke fasa endemik, kita jangan fikir tak ada virus lain.
“Kemunculan cacar monyet memberi gambaran bahawa kes pandemik virusnya senang berjangkit. Jadi ini bermakna kita kena sentiasa bersedia dan jangan mudah alpa,” katanya kepada Getaran, hari ini.
Malah beliau yakin Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memulakan pemantauan kes jangkitan cacar monyet di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan melalui laporan semasa yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Namun katanya pemantauan itu agak rumit kerana wabak tersebut sukar dikesan meskipun pesakit dalam tempoh inkubasi.
“Isunya dalam tempoh inkubasi antara enam hingga 21 hari, kita pun tak tahu sama ada pesakit dijangkiti virus tersebut atau tidak.
“Sesiapa bebas memasuki negara ini kerana tiada ujian khas diwajibkan untuk mengesan jangkitan cacar monyet,” katanya.
Dr Sharifa Ezat berkata, mereka yang tiba di negara ini dari kawasan terdapat jangkitan cacar monyet berisiko menyebarkan virus tersebut sekiranya ada bersentuhan dengan haiwan dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit dijangkiti.
“Jika mereka ada gejala penyakit itu dalam tempoh inkubasi selepas meninggalkan kawasan tersebut, sila dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat.
“Namun buat masa ini tiada kes jangkitan cacar monyet dilaporkan di Malaysia. Kita hanya ada kes berkaitan cacar air (smallpox) dan demam campak. Jadi kita harap virus itu tidak merebak ke negara ini,” katanya.
Jelas beliau, pesakit cacar monyet kebanyakannya hanya mengalami gejala ringan tetapi jika jangkitan semakin teruk dan berlarutan, ia boleh membawa maut.
“Secara umum gejalanya agak ringan, tapi kalau virus itu menyerang otak, paru-paru dan pesakit diserang sawan, risiko kematian itu ada.
“Namun kadar kematian masih rendah. Ia tidaklah seteruk COVID-19 dan HIV tetapi pesakit akan mengalami kesakitan di kawasan pox (cecair nanah),” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, kanak-kanak termasuk individu yang memiliki tahap imuniti rendah berisiko untuk mengalami gejala lebih serius dan boleh menyebabkan kematian.
“Seperti biasa, virus seperti ini mudah menjangkiti mereka yang lemah sistem imun termasuklah kanak-kanak. Tapi berdasarkan situasi di lapan negara Eropah, jangkitan ada tapi dalam jumlah kecil.
“Penularan jangkitan itu juga tidaklah cepat merebak dan sukar menjadi pandemik. Lagipun vaksin (cacar air) digunakan untuk menghalang penyakit itu sebelum ini dan ianya berkesan,” katanya.
Dr Sharifa Ezat berkata, petugas kesihatan di United Kingdom (UK) turut diberikan vaksin cacar air bagi mengelak dijangkiti penyakit cacar monyet.
“Mereka diberi vaksin cacar air kerana virus (cacar monyet) berasal dari keluarga sama. Vaksin itu 85 peratus berkesan untuk menghalang penyakit tersebut (cacar air).
“Jadi risiko pesakit yang sudah divaksin untuk mendapat jangkitan serius amat rendah. Vaksin itu sudah dihentikan tetapi sekiranya kita memerlukannya kita boleh dapatkan daripada WHO,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali jika seseorang individu itu ada sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakitnya.
Malah beliau berkata kemungkinan transmisi jangkitan virus itu dari manusia ke manusia adalah terhad.
“Cacar monyet adalah disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses. Virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti. Virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan.
“Virus cacar monyet juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.
Sebelum ini, WHO mengesahkan wabak cacar monyet menular di beberapa negara benua Eropah meliputi United Kingdom, Sepanyol, Portugal, Belgium, Perancis, Itali dan Jerman, selain Amerika Syarikat, Kanada serta Australia.
Setakat kelmarin, lebih 100 kes dilaporkan sama ada yang disahkan mahupun disyaki.
Kebanyakan kes jangkitan tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik penyakit itu.
Laporan awal menyatakan sebahagian kes terbabit mendapat jangkitan melalui kontak langsung dengan pesakit cacar monyet.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, gejala jangkitannya mirip cacar (smallpox) membabitkan demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka sebelum merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh yang lain.
Katanya, pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan bengkak kelenjar limfa. - Getaran, 22 Mei 2022