KUALA LUMPUR - Sebanyak 180 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam melibatkan kesemua kategori 1 hingga 5.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kira-kira 87 kes (48.3 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 manakala 93 kes lagi (51.7 peratus), kategori 1 dan 2.
Tiada negeri merekodkan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 melebihi 50 peratus semalam.
Bagi penggunaan katil bukan kritikal pula, tiada negeri merekodkan penggunaan melebih 50 peratus.
Dr Noor Hisham memaklumkan, jumlah keseluruhan penggunaan katil ICU bagi pesakit dijangkiti virus itu di seluruh negara semalam adalah kekal 13 peratus, manakala bagi katil bukan ICU pula 15 peratus.
“Bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), tiada negeri yang menunjukkan peratusan melebihi 50 peratus.
“Seramai 63 pesakit COVID-19 atau lapan peratus memerlukan alat bantuan pernafasan statik,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes COVID-19 ke hospital, berbanding kes COVID-19 kategori 1 hingga 5 yang baru didiagnos setiap hari disebabkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti.
“Pada masa sama, terdapat juga kes COVID-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Sebanyak 3,361 kes baharu COVID-19 dilaporkan sehingga tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak itu di Malaysia kini 4,436,912.
Kategori 1 mencatatkan 1,256 kes, kategori 2 (2,075 kes), kategori 3 (11 kes), kategori 4 (4 kes) dan kategori 5 (15 kes).
Daripada 30 kes COVID-19 kategori 3 hingga 5, 14 atau 46.67 peratus dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 10 atau 33.33 peratus sudah menerima dua dos vaksin, namun belum menerima dos penggalak.
Selain itu, sebanyak enam kes (20 peratus) sudah menerima dos penggalak, 16 kes (53.33 peratus) berusia 60 tahun ke atas dan 17 kes (56.67 peratus) mempunyai komorbid manakala satu kes ibu hamil.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 bagi seluruh negara semalam adalah 0.73 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.11, diikuti Melaka dan Kuala Lumpur (masing-masing 0.85), Selangor (0.83), Negeri Sembilan (0.82), Perak (0.81) dan Sabah (0.77). - Getaran, 27 April 2022