KUALA LUMPUR - Bukit Aman mengesan wujudnya cubaan mendapatkan data peribadi orang awam menggunakan kaedah ‘phishing’ dengan menawarkan bantuan kewangan dikenali sebagai ‘home improvement grant’ di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan modus operandi yang dikesan, pengguna laman sosial akan ditawarkan geran berkenaan menerusi mesej daripada individu tidak dikenali.
Menurutnya, geran tersebut didakwa ditawarkan sebuah program yang dikendalikan agensi kerajaan dengan kerjasama Bank Dunia untuk membantu individu memerlukan bantuan kewangan.
“Sekiranya berminat, pemohon diminta mengisi maklumat peribadi termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, status perkahwinan dan beberapa lagi maklumat yang dinyatakan di dalam borang permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun menurut beliau, setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan berkaitan kegiatan tersebut.
“Namun tindakan mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali adalah satu perbuatan yang berbahaya.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada kerana maklumat peribadi merupakan data yang berpotensi disalahgunakan seandainya ia jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Mohd Kamarudin juga menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan secara terus terlebih dahulu dengan agensi atau kementerian yang bertanggungjawab.
“Jangan sesekali percaya dengan mesej yang diterima daripada pihak ketiga dan sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersial boleh dirujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599,” katanya. - Getaran, 18 April 2022
