KUALA LUMPUR - Sebanyak tujuh kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi.
Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, dua kes kematian dicatatkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian kini mencecah 31,992 dengan 6,449 daripadanya adalah kes BID.
Kelantan dan Pahang masing-masing mencatatkan angka kematian sebanyak dua kes, manakala Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu satu kes di setiap negeri.
Tiada kematian dilaporkan di Kedah, Melaka, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 60,117 kes aktif dilaporkan dengan 52,639 individu sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 4,212 individu pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 3,154 lagi menerima rawatan di hospital.
Kira-kira 112 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 54 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 3,196 kes sembuh turut dilaporkan.
Dalam pada itu, sebanyak 30,194 dos vaksin diberikan semalam iaitu 29,488 dos penggalak, 257 dos pertama dan 449 dos lengkap.
Setakat ini, kira-kira 25,714,709 atau 78.7 peratus penduduk di negara ini sudah lengkap divaksinasi dengan 22,925, 835 membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas. - Getaran, 3 Februari 2022
