PETALING JAYA - Polis Subang Jaya sedang menyiasat kejadian seorang Youtuber yang dikesan menyelinap masuk ke Sunway Lagoon di sini dan merakam perbuatan itu untuk konten media sosial berkenaan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Khalid Othman, berkata kejadian disedari pekerja taman tema itu pada Jumaat lalu selepas melihat rakaman video dimuatnaik suspek ke Youtube miliknya.
Katanya, menerusi rakaman terbabit, terdapat tiga lelaki dengan dua daripadanya menceritakan bagaimana mereka berjaya menyelinap masuk ke taman tema itu tanpa membuat sebarang pembayaran.
“Suspek menceroboh masuk dengan melompat daripada dinding pintu masuk ‘surf beach’ terus ke kolam taman tema dan mencampakkan telefon bimbit di dalam kawasan tersebut.
“Mereka kemudian memperdayakan pekerja di situ dengan mengatakan tertinggal telefon bimbit berkenaan. Justeru apabila pengawal keselamatan membenarkan masuk, mereka kemudian hilang tanpa dapat dikesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Khalid berkata, menerusi semakan, polis mengenal pasti identiti salah seorang suspek berkenaan adalah Youtuber.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan serta Seksyen 233 Aka Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Polis juga mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan menyalurkannya kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-56210343 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. - Getaran, 30 Januari 2022
