web statsweb stats

Berita Terkini

2 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 2 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Berkat Semangat Arwah Ayah, Kedai Makan Nafas Baru Lawan COVID-19!

Perjuangan 24 tahun, Along Norlia tiup semangat generasi baru demi kelangsungan perniagaan keluarga kala pandemik.

Selera Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 Aug 2021 2:33PM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sungai Buloh memang terkenal sebagai lubuk makanan yang beraneka dan menyelerakan. Sebut sahaja Paya Jaras mesti ramai tahu kerana terkenal dengan sajian tepung pelitanya. 

Namun, Paya Jaras tidak hanya terkenal dengan tepung pelita, malah kawasan perkampungan yang diapit bandar-bandar besar ini turut dikenali dengan makanan-makanan Melayu asli.

Jika anda mengidamkan menu masakan Melayu Utara yang autentik, kami sarankan berkunjunglah ke Kedai Makan Nafas Baru. Ini kerana, kedai makan atau warung kampung ini bolehlah dikategorikan sebagai legend di kawasan ini. 

Terletak di Kampung Paya Jaras Hilir, Kedai Makan Nafas Baru ada cerita tersendiri.

“Kedai Makan Nafas Baru sudah pun berusia 24 tahun. Kedai makan ini didirikan oleh arwah ayah, Allahyarham Che Hamid bin Osman, bersama emak saya, Munah binti Cha pada 1997.”

“Syukurlah, kami sembilan beradik membesar dengan kedai makan ini. Masing-masing punya peranan yang dilakukan bersama. Boleh dikatakan kedai makan ini nadi keluarga kami. Sekarang, masing-masing sudah dewasa dan ada yang bawa haluan sendiri.”

“Buat masa ini, saya mengambil peranan utama sebagai tukang masak, adik ketiga saya, Rosleena (40) sebagai tukang air, adik keempat, Fazillah (38) sebagai ketua pramusaji dan keenam, Hanim (35) sebagai pengurus,” ujar Norlia Che Hamid (43) selaku wakil Kedai Makan Nafas Baru.

Tambah Norlia, memandangkan ibunya semakin berusia, maka dia mengambil alih tugas memasak. Pun begitu, sekali-sekala ibunya akan turun padang memasak juadah kegemaran arwah bapa dan paling terkenal di Kedai Makan Nafas Baru iaitu kari kepala ikan merah. 

“Buat masa ini, kami hanya mampu menggajikan dua pembantu tukang masak di dapur dan dua pembantu di kedai makan. Jumlah keseluruhan pekerja termasuk saya ialah lapan orang sahaja kerana empat lagi sudah pulang ke Indonesia.”

“Empat daripada lapan pekerja itu adik-beradik, manakala empat yang lain sudah kami anggap seperti saudara kandung kerana mereka sudah lama bekerja di kedai makan ini, sejak kami masih muda remaja lagi,” kata Norlia seraya ketawa. 

Cekal Menghadapi Badai COVID-19

Tentu sahaja semua jenis perniagaan sekarang terjejas teruk akibat wabak COVID-19. Ditambah pula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mutakhir ini dengan segala macam peraturan dan SOP, menambahkan lagi pedih luka peniaga.

“Di tahun kedua wabak ini, kami tidak bercadang untuk mengambil pekerja baharu. Cukuplah kami berlapan sahaja yang bekerja.

“Dengan ketidaktentuan COVID-19 dan PKP ini, kami bersyukur kerana tidaklah sampai perlu membuang pekerja kerana mereka juga perlu ‘hidup’ sama seperti kami.

“Kita sama-sama senang, sama-sama susah. Emak saya berkeras untuk tidak memecat pekerja walaupun jualan dan keuntungan cuma cukup-cukup makan dan hanya balik modal," kata Norlia. 

 Pengurus merangkap juruwang, Puan Siti Rokiah Hanim
Pengurus merangkap juruwang, Puan Siti Rokiah Hanim

Dia yang senang disapa sebagai Along turut menegaskan jualan dan keuntungan Kedai Makan Nafas Baru merosot kira-kira 70 peratus daripada pendapatan asal. Ditambah pula lokasi kedai yang terletak di kawasan kampung membuatkan ramai pelanggan luar tidak dapat merentas daerah.

“Buat masa sekarang, kami hanya bergantung kepada jualan secara bungkus dan pesanan sahaja. Kedai makan ini tidak semeriah sebelum PKP. Dahulu semua meja tidak pernah kosong.

“Majoriti pelanggan kami dari luar kawasan Sungai Buloh. Mungkin kerana tidak dapat merentas daerah, mereka tidak dapat datang ke sini,” jelas Norlia yang mengenali hampir kesemua pelanggan setia Kedai Makan Nafas Baru. 

Puan Norlia bersama pengasas & ibunya Puan Munah Cha 
Puan Norlia bersama pengasas & ibunya Puan Munah Cha 

Pesan Ayah Jadi Pembakar Semangat

Mengambil inspirasi daripada perjuangan bapa mereka yang membesarkan sembilan anak, Norlia berasa tidak ada keperluan untuk mereka berputus asa dalam meneruskan legasi perniagaan keluarganya. 

“Arwah ayah dan emak saya sanggup berhijrah dari Pulau Pinang semata-mata mahu membesarkan sembilan anak dan mencari peluang kehidupan yang lebih cerah di Lembah Klang. 

“Pengorbanan arwah dan emak sangat besar. Sebelum buka kedai makan, mereka melakukan pelbagai kerja buruh termasuk memproses ayam pada zaman muda mereka, hanya kerana mahu suapkan makanan ke sembilan mulut yang menanti di rumah kecil kami dahulu.”

Menu istimewa, Nasi Tomato Ayam Ros
Menu istimewa, Nasi Tomato Ayam Ros

 “Arwah ayah dan emak mula berniaga runcit secara kecil-kecilan pada awal 90-an. Namun, berikutan krisis ekonomi pada lewat 90-an, perniagaan itu gulung tikar.”

“Runsing memikirkan tiada punca pendapatan dan anak-anak yang masih kecil, arwah ayah dan emak nekad menceburi bidang perniagaan makanan walaupun tiada pengalaman langsung. Sebab itulah kedai ini dinamakan Kedai Makan Nafas Baru. Seakan-akan ‘nafas baru’ buat kami sekeluarga,” cerita Norlia.

Tambah Norlia,  masih segar di ingatan ketika hidup susah dahulu, selaku anak sulung dia berhempas-pulas membantu ibunya di dapur. Seawal jam lima pagi dia sudah mula memasak dan menyediakan nasi lemak di kedai bersama arwah bapa sebelum ke sekolah.

“Dek kerana kami ramai, adik-beradik saya buat giliran membantu di gerai nasi lemak selepas waktu sekolah. Ada yang belajar di sekolah rendah, ada juga sekolah menengah, jadi kami bergilir-gilir membantu. 

"Emak pernah berpesan, kalau masak nak bagi orang makan, masak dengan kasih sayang. Masak macam kita sekeluarga yang nak makan. Jangan berkira bahan dan rempah. Masak secukup rasa seperti mana kita sendiri nak makan makanan yang sedap-sedap. 

“Tapak gerai nasi lemak ini berkembang menjadi Kedai Makan Nafas Baru. Saya masih ingat pesan arwah ayah, kalau berniaga makanan tak laku, sekurang-kurangnya kami adik-beradik dapat makan dan tak berlapar,” kata Norlia yang menahan sebak. 

Sambung Norlia, dia dan adik-beradiknya tidak akan sesekali menyerah kalah. Mereka akan terus berjuang dan bertahan demi kelangsungan Kedai Makan Nafas Baru.

"Biarlah apa pun wabak yang datang, kami sedia harungi seperti mana arwah ayah berjuang membesarkan kami. 

“Semangat ayah ada dalam setiap diri kami adik-beradik,” kata Norlia. 

Puan Rosleena khusyuk membancuh air
Puan Rosleena khusyuk membancuh air

Orang kampung menggelar kedai ini sebagai ‘kedai makan anak-anak Pak Hamid’. Dan, di mana lagi anda boleh mencari kedai makan yang dikelolai sepenuhnya oleh wanita? 

Daripada tukang masak sampailah ke tukang bancuh air semuanya wanita. Malah, resipi turun-temurun Melayu Utara menjadi daya penarik utama. Antara menu sarapan pagi adalah nasi lemak, lontong, mi sup utara serta lauk-pauk seperti rendang ayam, daging dan aneka sambal.

Makanan tengah hari pula nasi campur berserta lauk-pauk utara seperti kari kepala ikan merah, ayam merah, ayam kicap mamak, daging goreng berempah, masak lemak pucuk ubi, ikan keli berlada, pajeri terung, sambal petai, ulam-ulaman, sambal belacan utara serta banyak lagi.  

Mi kari, mi rebus utara, laksa utara, gulai daging cincang, kuetiau sup, sup tulang dan nasi ayam tersedia dari pagi hingga petang. Lihat juga 6 Nasi Ayam Paling ‘Berhantu’ di Sungai Buloh.

Kedai Makan Nafas Baru dibuka setiap Isnin hingga Sabtu (7 pagi - 5 petang) dan Ahad (7 pagi - 1 tengah hari). Hubungi 012 3405844 untuk sebarang tempahan dan maklumat lanjut. - Getaran, 2 Ogos 2021

#PetraKasih adalah sebuah inisiatif di bawah Yayasan Vinod Sekhar (Vinod Sekhar Foundation) untuk membantu para peniaga kecil di luar sana. Setiap minggu, kami di Getaran akan berkongsi kisah peniaga yang berbeza. Jika anda kenal peniaga kecil di kawasan anda dan rasa mereka layak untuk dipaparkan, anda boleh hubungi kami di alamat emel [email protected]

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 1 tahun yang lalu

Dulu Mak Larang, Sekarang Bebas Tonton 4 Animasi Ini!

2

Kisah Kita 2 tahun yang lalu

'Man Kubur' Tolak Rasa Malu, Teruskan Legasi Ayah Hasilkan Kepok Kubur

3

Semasa 2 tahun yang lalu

Beberapa Kawasan Di Subang, Sungai Buloh Dilanda Banjir

4

Kisah Kita 2 tahun yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

Sorotan

1

Buli: 4 Pelajar MRSM Dibuang Maktab, 2 Digantung Sekolah - Asyraf Wajdi

2

PRN Johor: Perpecahan Dalaman PN Mampu Beri Kelebihan Kepada BN - Penganalisis 

3

Malaysia Yang Mana Mahu Kita Wariskan Untuk Anak Cucu?

4

‘Saya Hormat Keputusan Mahkamah, Sabar Tunggu 13 Julai’ - Syed Saddiq

5

Warga Australia Didakwa Bunuh Remaja Thailand, Mayat Ditemui Dalam Bagasi 

6

Lebih 4,500 Kes Kanak-Kanak Hilang Direkod Antara 2021 - 2025

Disyorkan untuk anda

Teknovasi 7 jam yang lalu

Always Robots Rasmi Beroperasi Di Malaysia, Perkenal Robot Humanoid Berasaskan AI

oleh Rahayu MN