Seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini, bermula 9 Mei lalu hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur mempersembahkan pesta makanan tempatan dan antarabangsa yang menampilkan barisan chef hebat, #DineWithChef.
Tahun ini, Ketua Chef dari Grand Hyatt Kuala Lumpur, Park Hyatt Kuala Lumpur dan Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur bekerjasama dengan pakar kulinari dari Indonesia, Poland, Jepun serta Malaysia untuk menjayakan pesta eksplorasi kulinari yang menakjubkan dan belum pernah disaksikan sebelum ini.

Berlangsung di pelbagai ruangan menjamu selera di hotel terbabit, pencinta makanan akan terbuai dengan keenakkan rasa yang memikat selera.
Ketika ini sedang berlangsung bufet makan tengahari yang berinspirasikan hidangan Indonesia di JPteres sehingga 17 Mei ini.
Dengan harga RM128, anda boleh melarikan diri seketika ke sini bagi melepaskan lelah setelah melalui pagi yang padat. Mungkin juga selepas menghadiri mesyuarat yang tegang.
Menikmati makanan yang lazat sendirian merupakan satu terapi diri yang hebat bagi sesetengah orang. Jika anda bukan salah seorang daripadanya, tidak mengapa, bawalah teman untuk dijadikan teman berbual ketika menikmati seleksi menu yang disediakan oleh Chef Pande Cipta dari Andaz Bali.

Percayalah, deria rasa anda akan terbuai dengan sensasi makanan setiap kali makanan disuap ke dalam mulut. Biarpun pilihan yang tersedia tidak terlalu banyak, namun setiap satu hidangan diolah sempurna.
Salah satu hidangan yang mesti anda cuba ialah, iga bakar madu. Menu popular Indonesia ini enak dimakan begitu sahaja atau dengan sepinggan nasi putih. Dagingnya empuk, mewah dengan rasa perapan madu, cili, ketumbar dan asam jawa.

Selain itu ada juga nasi goreng mawut yang tak rugi untuk dicuba. Nasi goreng istimewa ini selain dimasak dengan campuran sayuran, ia juga ditambah dengan mi telur. Rasanya tidak pedas, tetapi memuaskan selera.

Lain-lain menu untuk hidangan utama adalah seperti, Bakmi Jogja, ayam goreng lengkuas, nasi goreng cumi, tumis labu siam, lodho ayam dan urab.

Teruskan eksplorasi rasa dengan singgah ke kaunter-kaunter hidangan lain kerana ada banyak lagi yang boleh dinikmati sepanjang tempoh waktu makan tengahari itu. Ada sate ayam dan daging, gado-gado, Lumpia Semarang dan tahu gejrot. Manakan tidak kecur liur dibuatnya. Nama-nama hidangan ini pasti tidak asing jika anda sudah sering ke Indonesia.
.jpeg)
Pernah makan ‘Lawar Gurita’? Tahu atau tidak tentang hidangan ini? Jika tidak, anda patut cuba. Ia adalah hidangan pembuka selera yang seakan-akan kerabu atau rojak, terdiri daripada campuran hirisan sotong kurita, cili, kelapa, bawang merah, kacang panjang, dan betik.

Penggemar sup, terdapat dua sup yang dijanjikan untuk buffet ini, iaitu ‘Sari Segara’ yang merupakan sup ikan kerapu dan juga rawon, sup daging yang dimasak dengan pelbagai rempah membangkitkan selera.
Untuk melengkapkan sesi makan tengahari itu, bolehlah sudahi dengan hidangan pemanis mulut. Ada pisang goreng keju, bubur sumsum, es teler dan klepon.
Perlu diingatkan, hidangan yang tersedia ini dipersembahkan mengikut giliran hari. Jika hari ini sup rawon telah dihidangkan, esok adalah giliran ‘Sari Segara’. Jadi sebelum anda melangkah pergi, lebih baik anda hubungi JPteres dahulu untuk dapatkan barisan menu pada hari pilihan.

Satu lagi hidangan yang berbaloi untuk dinikmati ialah Teh Asli Thai, ChaTraMue yang turut serta memeriahkan acara bufet makan tengahari ini.
Selamat menjamu selera! - Getaran, 15 Mei 2024
Foto : Rahayu MN