Selepas tiga tahun bertarung dengan glioblastoma iaitu sejenis kanser otak yang amat agresif, novelis terkemuka, Sophie Kinsella menghembuskan nafas terakhir semalam.
Mendiang berusia 55 tahun.
Keluarganya menerusi satu pengumuman khas memberitahu, Sophie atau nama sebenarnya Madeleine Sophie Wickham itu disahkan menghidap kanser berkenaan sejak 2022.
“Dengan penuh rasa sedih dan dukacita, kami mengumumkan pemergian insan tersayang, Sophie (juga dikenali sebagai Maddy atau Mummy) pagi ini.
“Beliau pergi dengan tenang, dan hari-hari terakhirnya dipenuhi dengan semua perkara yang paling dicintai; ahli keluarga, muzik, kasih sayang, Krismas dan kegembiraan,” kata keluarganya menerusi hantaran di media sosial.

Kinsella merupakan antara penulis fiksyen popular dunia, dengan jualan melebihi 50 juta naskhah di lebih 60 negara, serta karya yang telah diterjemahkan ke lebih 40 bahasa.
Tinjauan Getaran mendapati, laman media sosial Kinsella dibanjiri ribuan ucapan takziah daripada pelbagai pihak dalam dunia penulisan, termasuk rakan penulis, ejen dan penerbitnya.
Dilahirkan di London pada 1969, Kinsella pada mulanya mengikuti pengajian muzik di New College, Oxford, sebelum beralih kepada jurusan falsafah, politik dan ekonomi.
Novel pertamanya, The Tennis Party dihasilkan pada usia 24 tahun ketika mendiang bertugas sebagai wartawan kewangan, menggunakan nama perkahwinannya, Madeleine Wickham.
Lima tahun kemudian, novel The Secret Dreamworld of a Shopaholic yang turut dikenali sebagai Confessions of a Shopaholic diterbitkan, kali ini menggunakan nama pena Sophie Kinsella.
Novel tersebut memperkenalkan watak Becky Bloomwood, seorang wartawan kewangan yang gemar berbelanja hingga sering bergelut dengan masalah kewangan.
Kejayaan luar biasa novel berkenaan membawa Kinsella menghasilkan lapan lagi novel dalam siri Shopaholic serta sebuah cerpen, di samping 18 buku lain merangkumi sebuah novel remaja dan empat buku kanak-kanak.
Antara karya terkenalnya yang lain termasuk Can You Keep a Secret? dan The Undomestic Goddess. - Getaran, 11 Disember 2025