Kematian mengejut penyanyi popular Korea Selatan, Park Bo-ram pada 11 April lalu menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan peminatnya. Ramai yang membuat spekulasi bahawa penyanyi berusia 30 tahun itu mungkin membunuh diri.
Namun, pada Khamis lalu, Balai Bolis Namyangju Nambu mengumumkan bahawa Bo-ram meninggal dunia akibat keracunan alkohol.
Sebelum ini dilaporkan bahawa pada hari kematiannya pada 11 Apr, Bo-ram telah menghabiskan masa bersama teman-temannya dengan ‘minum-minum’ di rumah seorang daripada mereka.
Dia kemudiannya ditemui tidak sedarkan diri oleh teman-temannya sekitar jam 9.55 malam setelah meminta diri untuk ke bilik air. Bo-ram dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, namun disahkan meninggal dunia sebelum tengah malam hari yang sama.
Menurut laporan autopsi akhir daripada Perkhidmatan Forensik Kebangsaan (NFS), Bo-ram kehilangan nyawa akibat keracunan alkohol akut yang biasanya berlaku apabila seseorang mengambil minuman keras dalam jumlah yang banyak dalam tempoh yang singkat.
Bedah siasat juga mendapati penyanyi itu menghidap sirosis hati dan penyakit hati berlemak yang juga dipercayai menjadi punca kematian bapanya pada 2010.
Park Bo Ram mendapat perhatian apabila dia muncul dalam program uji bakat Mnet 'SuperStar K2' pada tahun 2010. Dia menerima pengiktirafan untuk keupayaan menyanyi yang luar biasa dan kehadiran yang mempesona di pentas.
Pada 2014, dia membuat debut rasminya dengan lagu ‘Beautiful’ yang meraih populariti dan menduduki tempat ke-19 dalam carta muzik tahunan pada tahun itu. Park Bo Ram terus aktif dalam industri muzik, mengeluarkan pelbagai lagu, termasuk ‘Celepretty’, ‘Sorry’, ‘Pretty Bae’, ‘Dynamic Love’, dan banyak lagi.
Pada Februari lalu, Park Bo Ram mengeluarkan lagu duet bersama penyanyi Huh Gak berjudul ‘I Hope’, sempena meraikan ulang tahun ke-10 penampilan sulungnya. Dengan keluaran lagu duetnya bersama Huh Gak, agensinya mengumumkan penyanyi itu sedang bersiap sedia untuk mengeluarkan album studionya tahun ini. - Getaran, 25 Mei 2024
Foto : www.koreatimes.co.kr