Lumrah memiliki suami kacak dan popular, pasti akan ada wanita lain yang cuba merampas kebahagiaan yang dimiliki. Terbaru penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mendedahkan seorang aktres jelita telah mengganggu suaminya iaitu Aliff Aziz.
"Semenjak Aliff buat kemunculan semula dalam bidang lakonan, dan digandingkan dengan pelakon seperti Intan Najuwa dan Nad Zainal, tiada masalah yang timbul.
“Tetapi gandingan yang terbaru ini ada masalah," katanya ketika ditemui pihak media sejurus tamat konsert Famili Duo minggu ketujuh malam tadi.
Dedah Bella lagi, aktres berkenaan seringkali menghubungi suaminya sedangkan ketika itu bukan hari penggambaran.
"Hari-hari ada 'missed call' sampai tujuh lapan kali yang saya rasa tidak perlu. Pada mulanya saya tak tahu itu nombor siapa. Bila saya periksa dengan seseorang, baru saya tahu nombor berkenaan adalah milik aktres tersebut.
"Sejujurnya saya rasa sangat marah. Saya sendiri pernah berlakon dengan suami orang iaitu Zamarul Hisham. Saya tak pernah menghubungi dia. Kalau ada apa-apa saya akan menghubungi isterinya iaitu Diana Rafar.
"Saya rasa tiada keperluan untuk kita 'call'. Sekali mungkin kita boleh faham, tetapi sampai tujuh lapan kali saya tak nampak sebab yang wajar untuk dia menghubungi suami saya," dedahnya.

Ditanya adakah dia telah menghubungi aktres berkenaan untuk mendapatkan penjelasan, kata Bella dia telah pun berbuat demikian, namun jawapan yang diterima agak mengejutkan.
"Dia telah minta maaf dan akui dia bodoh. Dan dia telah tersuka suami saya. Dia juga asyik mesej saya dan cakap nak jadi kawan saya," kongsinya.
Kongsi Bella lagi, dia risau dengan keterbukaan dan keberanian orang sekarang yang tanpa segan silu memberitahu menyukai suami orang. Disebabkan itu juga baru-baru ini Bella telah memuatnaik hantaran di Instagram tentang perempuan murahan.
"Lepas ini kalau awak 'shooting' lagi, kalau lelaki itu bujang tak apa. You just go ahead. Nak hari-hari call atau keluar berdua, tak ada siapa akan marah.
"Kalau kita nak bekerja, kena betulkan niat sebab nak cari rezeki dan kembangkan bakat. Bila kita tahu, kita kerja dengan suami orang, kita perlu lebih berwaspada dan jaga batas. Biar orang hormat diri kita sebagai seorang wanita.
"Begitulah cara bagaimana saya bawa diri ketika bekerja kerana saya tahu bahawa saya adalah isteri orang dan orang memerhatikan saya," ujarnya.
Kata Bella lagi, selepas ini dia tidak membenarkan Aliff untuk bergandingan dengan aktres berkenaan lagi dan suaminya juga bersetuju dengan syarat itu.
"Tempoh penggambaran drama yang Aliff jayakan bersama aktres itu, masih berbaki selama sebulan lagi. Tapi, Aliff ada beritahu pada saya untuk datang ke set penggambaran jika saya berkelapangan," katanya.
Luah Bella lagi, dia enggan sejarah hitam yang pernah melanda rumah tangganya satu ketika dulu kembali berulang.
"Saya risau andai kejadian lama berulang kembali. Tetapi Alhamdulillah, Aliff banyak menunjukkan perubahan selepas kami kembali rujuk.
"Bila perkara seperti ini timbul, sudah tentu saya akan soal suami saya. Kami pun telah berbincang secara matang, tidak seperti dulu yang asyik bergaduh.
"Kalau orang cakap, saya kena marah suami dulu, sudah tentu saya dah marah dia. Tapi, kalau setiap hari ada perempuan lain yang asyik call, itu bermakna perempuan itu yang bermasalah," ujarnya.
Ditanya adakah kemelut yang melanda dalam rumah tangganya ini mengganggu konsentrasinya sepanjang menjayakan program Famili Duo, kata Bella dia sudah sedaya upaya menyembunyikan masalah peribadi yang sedang dihadapinya, namun orang sekeliling tetap dapat merasai ada sesuatu yang sedang terjadi.
"Mungkin saya telah paksa diri untuk jadi kuat, tetapi orang lain nampak apa sebenarnya yang sedang berlaku. Sejujurnya saya telah cuba yang terbaik untuk kekal fokus dalam pertandingan ini, tetapi sebagai manusia biasa pasti ada hari yang kita goyah," kongsinya.
Lebih membanggakan, biarpun sedang dihimpit dengan masalah dalam rumah tangganya, pasangan Bella Astillah dan Wani Kayrie tetap berjaya mara ke peringkat akhir Famili Duo yang akan berlangsung pada Ahad ini. - Getaran, 30 Januari 2023