web statsweb stats

Berita Terkini

3 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Dunia Kian Retak, Malaysia Perlu Kenal Jati Diri Sendiri

Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang mengharungi arus ketidaktentuan dunia, malah dalam banyak aspek mencerminkan apa yang sedang diusahakan oleh masyarakat antarabangsa

Rencana Dikemaskini 3 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 31 Mar 2026 12:34PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam dunia yang kian dibelenggu konflik, kesedihan dan kebisingan yang tidak pernah surut, kita mudah terleka daripada menghargai apa yang masih teguh berdiri; senyap namun kukuh, sebagai asas keseimbangan dan kemanusiaan.

Ketika perang sekali lagi membayangi Asia Barat dan ketegangan merebak ke pelbagai pelosok dunia, satu hakikat semakin jelas: ketidakstabilan bukan lagi sesuatu yang jauh. Ia kini dekat, berterusan, dan sedang membentuk cara negara menilai antara satu sama lain termasuk diri mereka sendiri.

Dalam konteks ini, Malaysia wajar berhenti sejenak untuk bermuhasabah. Negara ini pada hari ini kekal sebagai antara ekonomi dan pentadbiran yang relatif stabil dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada November lalu, satu perkara yang sering terlepas pandang telah diketengahkan; Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang mengharungi arus ketidaktentuan dunia, malah dalam banyak aspek mencerminkan apa yang sedang diusahakan oleh masyarakat antarabangsa.

Malaysia bukan sebuah negara yang sempurna. Kita tidak terlepas daripada perbezaan, ketegangan politik dan cabaran dalaman. Namun, di sebalik semua itu, negara ini masih bertahan dengan keupayaan yang mengagumkan.

Keunikan Malaysia terletak pada hakikat bahawa kepelbagaian bukan sekadar retorik, sebaliknya realiti yang dihayati setiap hari. Pelbagai agama, budaya dan latar sejarah bukan sahaja wujud bersama, malah saling berinteraksi dalam kehidupan seharian, sesuatu yang masih sukar dicapai oleh banyak negara lain. Dalam era yang menyaksikan identiti semakin diperalatkan, Malaysia kekal sebagai antara ruang yang membolehkan identiti dikongsi, bukannya dipertentangkan.

Hakikat ini menjadi semakin signifikan dalam keadaan global masa kini.

Apa yang sedang berlaku bukan sekadar peperangan, tetapi juga hakisan kefahaman dan empati. Dunia semakin terperangkap dalam naratif sempit “kita lawan mereka” yang berbahaya.

Malaysia tidak boleh terjerumus ke dalam perangkap tersebut.

Perbezaan pandangan, kebisingan politik dan rasa tidak puas hati yang wujud dalam masyarakat bukanlah tanda kegagalan. Sebaliknya, ia mencerminkan sebuah masyarakat yang masih berunding, masih berinteraksi dan masih percaya bahawa keharmonian dalam kepelbagaian wajar dipertahankan.

Kegagalan sebenar ialah apabila kita melupakan kekuatan yang telah sekian lama membentuk negara ini.

Lebih membimbangkan ialah apabila konflik luaran dan ketegangan dalaman mula mengeraskan sikap serta menjadikan masyarakat semakin sinis, berpecah-belah atau tidak lagi peduli.

Kekuatan Malaysia tidak terletak semata-mata pada sumber atau prestasi ekonominya. Sebaliknya, ia berpaksikan sesuatu yang lebih mendalam iaitu keupayaan rakyatnya untuk menerima perbezaan, menyesuaikan diri dan hidup bersama tanpa mengorbankan jati diri.

Ini bukan kelemahan. Ini ialah kebijaksanaan.

Dalam dunia yang semakin berpecah, negara yang mampu mengurus kerumitan tanpa runtuh merupakan sesuatu yang jarang. Malaysia berpotensi menjadi salah satu daripadanya, namun hanya jika kita terus memilih untuk kekal sedemikian.

Justeru, ini bukan sekadar peringatan, tetapi satu seruan.

Seruan agar kita bangkit mengatasi kebisingan, baik dari dalam mahupun dari luar. Seruan untuk menolak naratif yang memecah-belahkan. Dan seruan untuk mengingati bahawa nilai yang kita junjung jauh lebih besar daripada perbezaan yang memisahkan.

Malaysia bukan sekadar pemerhati dalam arus sejarah dunia.

Sebaliknya, negara ini berperanan sebagai penyeimbang yang tenang di tengah-tengah kekacauan.

Kini, lebih daripada sebelumnya, dunia memerlukan negara seperti Malaysia bukan sahaja untuk terus wujud, tetapi juga untuk memimpin melalui teladan.

Bukan dengan retorik yang lantang atau pendekatan yang memaksa.

Sebaliknya, dengan terus membuktikan bahawa keharmonian, saling menghormati dan kemanusiaan sejagat bukan sekadar idealisme.

Ia ialah realiti.

Dan ia telah lama berakar di bumi ini.

Malaysia tidak perlu menguasai pentas dunia.

Malaysia juga tidak perlu mengikut acuan orang lain.

Namun, Malaysia mesti terus mempertahankan asas yang menyatukan kerana di situlah terletaknya kekuatan sebenar negara. - Getaran, 31 Mac 2026

Berita Berkaitan

1

Rencana 14 jam yang lalu

Apabila Peraturan Institusi Diubah, Keadilan Menjadi Persoalan

2

Rencana 2 hari yang lalu

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

3

Rencana 1 minggu yang lalu

Andy Burnham Dan Britain Baharu: Mengapa Kita Perlu Memberikan Perhatian

4

Rencana 1 minggu yang lalu

Perkauman, Sikap Taksub Dalam Pendidikan Tinggi Malaysia Menular Ke Media Sosial

Sorotan

1

Harimau Kumbang Di Lebuh Raya Berhampiran Tasik Kenyir, Orang Ramai Digesa Berhati-Hati

2

SUV Rempuh Surau Sekolah, 2 Wanita Indonesia Maut

3

PRN Johor: Pertahan Keputusan BN Bertanding Solo, ‘Kami Tak Khianat’ - Zahid

4

Buat Aksi ‘Fast & Furious’ Di Jalan Raya, Pemandu Tanpa Lesen Diburu Polis

5

Ekonomi Kebencian: Apabila Perpecahan Menjadi Model Perniagaan

6

Hos Jualan Siaran Langsung Dakwa Jadi Mangsa Buli Siber, Rugi RM70,000

Disyorkan untuk anda

Rencana 14 jam yang lalu

Apabila Peraturan Institusi Diubah, Keadilan Menjadi Persoalan

oleh Vinod Sekhar