web statsweb stats

Berita Terkini

3 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Peralihan Tenaga Perlu Jadi Agenda Bersama, Bukan Sekadar Janji Atas Kertas

Peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara berperingkat, tersusun dan inklusif mencerminkan kesedaran bahawa agenda ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi melibatkan keseimbangan antara keselamatan tenaga, kebajikan rakyat dan daya saing ekonomi

Rencana Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 10 Feb 2026 3:45PM

Banyak negara maju sedang berlumba mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil - Gambar India Times

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PERALIHAN tenaga bukan lagi topik baharu. Di Malaysia, ia sudah lama dicanang sama ada di pentas persidangan, dalam ucapan rasmi pemimpin, mahupun pada helaian dasar kerajaan. 

Namun realitinya hari ini, peralihan tenaga bukan lagi slogan hijau yang sedap didengar, sebaliknya berubah menjadi keperluan mendesak negara yang  merentasi dimensi ekonomi, keselamatan tenaga, kelestarian alam sekitar serta daya saing Malaysia di pentas global.

Dalam konteks ini, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) muncul sebagai kompas penting yang cuba memandu negara keluar daripada kebergantungan lama terhadap bahan api fosil. 

Namun persoalan utama tetap sama iaitu sejauh mana kita benar-benar bersedia untuk melaksanakannya dan bukan sekadar mengumumkannya?

Dunia sedang bergerak pantas. Negara-negara maju dan sedang membangun berlumba-lumba mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Bukan semata-mata atas sentimen alam sekitar, tetapi didorong faktor kos, risiko geopolitik serta tekanan pasaran global. 

Malaysia sendiri tidak terkecuali. Jika lambat bertindak, kita bukan sahaja berisiko ketinggalan dari segi teknologi dan aliran pelaburan, malah terdedah kepada kejutan harga tenaga serta kehilangan peluang ekonomi baharu yang semakin bernilai.

Di bawah NETR, kerajaan menggariskan empat teras utama yang menjadi tulang belakang peralihan tenaga negara. Di atas kertas, kerangka ini kelihatan kemas dan menyeluruh. Namun, seperti lazimnya, cabaran sebenar terletak pada aspek pelaksanaan.

Teras pertama ialah Kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB). Malaysia menyasarkan peningkatan berperingkat kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber boleh baharu seperti solar, hidro dan biojisim. 

Sasaran 31 peratus menjelang 2025 hampir dicapai, dengan pencapaian sekitar 30 peratus setakat Disember lalu. Ia satu kemajuan yang wajar diberikan kredit. Namun, cabaran sebenar masih di hadapan, sama ada kita mampu mencapai sasaran yang semakin meningkat iaitu 40 peratus pada 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia dari sudut infrastruktur grid, kelulusan projek dan penerimaan pasaran. Tenaga solar, misalnya, berkembang pesat, namun masih berdepan isu kapasiti grid, kos sistem penyimpanan tenaga dan kerenah birokrasi. 

Tanpa pembaharuan menyeluruh terhadap sistem grid nasional serta pelaburan agresif dalam sistem penyimpanan tenaga (ESS), sasaran ini berisiko kekal sebagai angka cantik dalam laporan rasmi.

Teras kedua pula menyentuh pengurangan pelepasan karbon. Malaysia komited mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 2005. Dalam sektor kuasa, pengurangan intensiti karbon sebanyak 60 peratus disasarkan pada 2035, sebelum negara mencapai aspirasi sifar bersih menjelang 2050.

Komitmen ini selari tuntutan antarabangsa dan Perjanjian Paris. Namun komitmen semata-mata tidak mencukupi. Ia menuntut perubahan struktur menyeluruh, daripada cara tenaga dijana dan diagihkan, sehinggalah bagaimana ia digunakan oleh industri dan rakyat. 

Tanpa mekanisme harga karbon yang jelas, insentif hijau yang konsisten serta penguatkuasaan yang tegas, sasaran pengurangan pelepasan ini mudah tergelincir.

Teras ketiga ialah transformasi bahan api dan infrastruktur. NETR menetapkan sasaran mengurangkan kapasiti loji kuasa arang batu sebanyak 50 peratus menjelang 2035 dan menamatkan sepenuhnya penggunaan arang batu pada 2044. Ini langkah berani, memandangkan arang batu sekian lama menjadi tunjang kepada kestabilan bekalan elektrik negara.

Namun, peralihan ini mesti diurus berhati-hati. Jika tersilap langkah, risiko gangguan bekalan dan kenaikan kos elektrik boleh mencetuskan ketidakpuasan awam. 

Pada masa sama, kecekapan tenaga turut diberi penekanan melalui Dasar Tenaga Negara (DTN), dengan sasaran penjimatan tenaga sebanyak 21 peratus menjelang 2040. Ini termasuk usaha mendekarbonisasi sektor pengangkutan menerusi peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Di sinilah peranan dasar sokongan menjadi kritikal. Tanpa rangkaian pengecas EV yang mencukupi, insentif harga yang menarik serta keyakinan pengguna, peralihan kepada EV akan kekal perlahan. 

Usaha meningkatkan ‘mood’ penggunaan EV di jalan raya, termasuk penawaran rebat khas oleh industri dan galakan berterusan kerajaan, perlu diperluas dan dipermudahkan.

Dalam keseluruhan kerangka ini, peranan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjadi semakin signifikan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berulang kali menegaskan bahawa peralihan tenaga bukan pilihan, tetapi keperluan strategik negara. 

Fadillah Yusof - Gambar fail
Fadillah Yusof - Gambar fail

Penegasan beliau yang juga Menteri  Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bahawa peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara berperingkat, tersusun dan inklusif mencerminkan kesedaran bahawa agenda ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi melibatkan keseimbangan antara keselamatan tenaga, kebajikan rakyat dan daya saing ekonomi.

PETRA, memikul tanggungjawab besar untuk menyelaras dasar, mempercepat pelaksanaan NETR serta memastikan peralihan ini tidak membebankan rakyat. Penekanan terhadap pendekatan pragmatik untuk memastikan bekalan elektrik kekal stabil, tarif berpatutan dan pelaburan hijau terus mengalir, menjadi kunci kepada kejayaan agenda ini.

Teras terakhir pula melibatkan pelaburan dan ekonomi. Untuk mencapai sasaran 2050, Malaysia dianggar memerlukan pelaburan sekitar RM637 bilion. Angka ini sememangnya besar, namun pulangannya juga signifikan, dengan sasaran sumbangan sekitar RM220 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta penciptaan kira-kira 310,000 pekerjaan hijau menjelang 2050.

Ini membuktikan peralihan tenaga bukan beban ekonomi, sebaliknya peluang strategik yang terhidang. Pelaburan dalam grid pintar, ESS, hidrogen hijau dan teknologi kecekapan tenaga berpotensi menjadi pemangkin kepada ekosistem industri baharu. 

Namun pelaburan ini tidak akan hadir jika dasar sering berubah, isyarat pasaran kabur dan proses kelulusan terus berbelit.

Dalam konteks rakyat, kerajaan turut menggalakkan penggunaan tenaga mesra alam di peringkat domestik. Pengenalan Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) adalah contoh usaha menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) oleh pengguna domestik. 

Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik isi rumah, malah membina kesedaran bahawa peralihan tenaga bermula dari rumah, bukan sekadar di loji jana kuasa.

Namun satu perkara perlu ditegaskan. Pelan sebesar NETR tidak akan berjaya jika hanya kerajaan yang bersungguh-sungguh. Peralihan tenaga menuntut kerjasama menyeluruh, dari sektor swasta yang berani melabur, industri yang sanggup berubah dan rakyat yang bersedia menyesuaikan gaya hidup. 

Jika satu pihak melangkah laju, tetapi yang lain masih lagi bersikap acuh tak acuh, peralihan ini akan berakhir tempang.

Akhirnya, persoalan sebenar bukan sama ada Malaysia mampu melaksanakan peralihan tenaga, tetapi sama ada kita cukup berani dan konsisten untuk melaksanakannya. 

NETR menyediakan hala tuju. Yang tinggal hanyalah kemahuan politik, disiplin pelaksanaan serta kesedaran kolektif bahawa masa depan tenaga negara tidak lagi boleh bergantung kepada cara lama. 

Jika kita benar-benar serius mahu mencapai aspirasi sifar bersih seawal 2050, maka peralihan tenaga mesti menjadi agenda bersama, bukannya sekadar janji di atas kertas. - Getaran, 10 Februari 2026

Berita Berkaitan

1

Rencana 14 jam yang lalu

Apabila Peraturan Institusi Diubah, Keadilan Menjadi Persoalan

2

Rencana 2 hari yang lalu

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

3

Rencana 1 minggu yang lalu

Andy Burnham Dan Britain Baharu: Mengapa Kita Perlu Memberikan Perhatian

4

Rencana 1 minggu yang lalu

Perkauman, Sikap Taksub Dalam Pendidikan Tinggi Malaysia Menular Ke Media Sosial

Sorotan

1

Harimau Kumbang Di Lebuh Raya Berhampiran Tasik Kenyir, Orang Ramai Digesa Berhati-Hati

2

SUV Rempuh Surau Sekolah, 2 Wanita Indonesia Maut

3

PRN Johor: Pertahan Keputusan BN Bertanding Solo, ‘Kami Tak Khianat’ - Zahid

4

Buat Aksi ‘Fast & Furious’ Di Jalan Raya, Pemandu Tanpa Lesen Diburu Polis

5

Ekonomi Kebencian: Apabila Perpecahan Menjadi Model Perniagaan

6

Hos Jualan Siaran Langsung Dakwa Jadi Mangsa Buli Siber, Rugi RM70,000

Disyorkan untuk anda

Rencana 14 jam yang lalu

Apabila Peraturan Institusi Diubah, Keadilan Menjadi Persoalan

oleh Vinod Sekhar