web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Pemindahan Jantung: Sebuah Perjalanan Untuk 1 Kehidupan

Orang sering menyangka pemindahan organ adalah tentang kehebatan pembedahan. Hakikatnya, pembedahan hanyalah satu bab. Bab yang paling panjang adalah menunggu; menunggu antara harapan dan kekecewaan

Rencana Dikemaskini 5 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 07 Feb 2026 12:20PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tanggal 5 Februari, tepat dua tahun lalu hari ini, hidup saya jika ditakrifkan secara konvensional, sebenarnya sudah berakhir.

Tetapi saya ‘dilahirkan’ semula.

Pada 5 Februari 2024, saya dikurniakan jantung kedua, satu anugerah luar biasa hasil gabungan sains, keimanan dan kemurahan hati manusia. Terlalu sedikit individu di dunia ini yang benar-benar dapat memahami sepenuhnya keadaan ini, melainkan mereka sendiri pernah berdiri di persimpangan rapuh antara kehidupan dan perpisahan.

Sebelum pemindahan itu, jantung saya hanya berfungsi antara lapan hingga sembilan peratus. Dari sudut perubatan, itu bukanlah kondisi yang baik. Ia adalah sebuah bom jangka. Setiap nafas terasa dipinjam. Setiap langkah terasa lebih berat daripada sepatutnya. Tidur menjadi tidak menentu, di antara hela nafas yang terputus-putus, kerana satu persoalan yang sering berlegar; adakah saya akan terjaga lagi keesokan hari atau terus diam dalam ‘lena’ yang panjang?

Apabila saya pertama kali rebah ketika sedang melintasi ruang udara Lautan Hindi, ia berlaku bagaikan sebuah drama. Segalanya berlaku dengan begitu pantas, senyap. Tubuh saya mula menyerah kalah, walaupun hakikatnya minda saya masih teguh melawan! Saya punya tanggungjawab, misi yang belum selesai dan saya tidak boleh membiarkannya berakhir! Isteri saya yang tercinta, Winy, membawa saya kembali, menarik saya keluar dari ambang maut, tiga kali dalam tempoh dua jam tersebut.

Dan bermulalah penantian.

Orang sering menyangka pemindahan organ adalah tentang kehebatan pembedahan. Hakikatnya, pembedahan hanyalah satu bab. Bab yang paling panjang adalah menunggu; menunggu antara harapan dan kekecewaan.

Kami melalui enam percubaan untuk mendapatkan jantung yang sesuai.

Enam episod di mana kami digerakkan secara emosi dan perubatan. Enam babak ketika kami bersedia untuk memulakan hidup semula. Dengan talian dimasukkan, darah melalui proses plasmapheresis. Dan enam kali kami diberitahu bahawa ia tidak akan berjaya.

Sistem imun saya, yang sepanjang hidup merupakan kekuatan, menjadi penghalang terbesar untuk terus hidup. Ia luar biasa kuat, sangat sensitif dan memiliki antibodi yang menolak kebanyakan padanan penderma. Kami tidak mencari keserasian dalam julat statistik biasa, kami mencari sesuatu yang hanya satu dalam jutaan.

Malangnya, masa tidak bersahabat untuk menunggu pencarian itu.

Menjelang percubaan keenam yang gagal, kami belajar menahan diri. Anda berhenti meraikan terlalu awal. Anda berhenti membayangkan hasil. Anda hanya melalui proses dengan tenang, menyimpan tenaga dan emosi untuk apa sahaja keputusan yang menanti.

Kemudian datang panggilan ketujuh.

Walaupun ia amat dinantikan, kami tetap berhati-hati. Tiada andaian. Tiada pengisytiharan. Hanya doa yang senyap bercampur penilaian klinikal. Tetapi sejujurnya, dalam fikiran saya, saya sudah reda seandainya sekali lagi ia adalah satu kegagalan. Saya sudah bersedia untuk meninggalkan Chennai dan pulang. Untuk meninggalkan alam ini dengan cara saya, di Malaysia, tanah air saya.

Namun jantung ini berbeza. Satu keajaiban, tuah, campur tangan Ilahi… saya tidak pasti.

Melawan segala kebarangkalian, ia membawa profil imunologi yang jarang mampu wujud bersama tubuh saya. Ia tidak mencetuskan amaran antibodi yang sama. Ia tidak mengundang risiko penolakan segera. Buat pertama kali, sains berkata “mungkin” dengan keyakinan.

Pembedahan yang menyusul bukan rutin; ia amat kompleks memandangkan landskap imunologi saya. Namun melalui kehebatan pakar bedah, ketepatan pasukan perubatan, dan apa yang hanya mampu saya gambarkan sebagai rahmat Ilahi, ia berjaya.

Saya terjaga; masih bernafas dengan jantung baharu berdegup dalam diri saya.

Hadiah seorang individu asing. Kehilangan sebuah keluarga. Tanggungjawab yang dipindahkan.

Namun kelangsungan hidup selepas pemindahan bukanlah garisan penamat. Ia adalah permulaan perjalanan yang jauh lebih menuntut.

Tahun pertama menguji saya dengan cara yang tidak pernah dilakukan mana-mana medan profesional. Terdapat tiga episod penolakan akut; tiga detik berasingan di mana tubuh saya cuba melawan organ yang sedang menyelamatkan hidup saya. Setiap episod memerlukan intervensi perubatan agresif. Setiap episod mengingatkan bahawa pemindahan bukan penerimaan tetapi adalah satu rundingan.

Kehidupan harian menjadi berstruktur di sekitar ubat-ubatan. Steroid. Ubat anti-penolakan. Imunosupresan. Lautan pil yang mengekalkan hidup, melemahkan tubuh, dan pada masa sama menekan emosi secara kimia. Anda menyerahkan kekuatan imun demi kelangsungan hidup. Itulah paradoks yang dipelajari pesakit transplant setiap hari.

Namun di sebalik perjuangan fizikal, tahun itu mendedahkan sesuatu yang lebih mendalam; ia mendedahkan sifat manusia dalam bentuk paling mentah.

Penyakit mempunyai cara menanggalkan perisai yang dibina kejayaan di sekeliling anda. Apabila kerentanan menggantikan kekuatan, anda mula melihat dengan jelas siapa yang berdiri di sisi kerana kasih yang tulen dan siapa yang berada berhampiran hanya kerana keadaan, kedudukan, atau kuasa.

Saya menyaksikan sisi terbaik dan terburuk manusia dalam tempoh itu.

Ada yang menjauh, tidak pasti bagaimana berhadapan dengan mortaliti yang duduk jelas di hadapan mereka. Dan ada yang mengambil kesempatan atas kerentanan isteri dan perniagaan saya untuk mencuri dan memperkayakan diri. Namun ramai juga yang melangkah ke hadapan dengan kedalaman kasih dan kesetiaan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

Dan mengatasi semuanya adalah keluarga saya; Winy, Petra dan Tara.

Mereka bukan sekadar menyokong saya tetapi mereka turut berjuang untuk saya.

Mereka menjadi sistem sokongan emosi ketika kemahuan saya sendiri turun naik. Mereka memancarkan kekuatan ke dalam bilik ketika kekuatan saya menyusut. Kehadiran isteri saya yang tenang di sisi katil hospital pada waktu-waktu sukar, anak-anak saya bercakap tentang masa depan seolah-olah ia terjamin, keluarga dan sahabat membentuk perisai tekad yang tidak kelihatan di sekeliling saya, ini bukan sekadar gerak hati. Ini adalah tindakan menentang keputusasaan.

Jika perubatan membina semula jantung saya, keluarga membina semula jiwa saya.

Hari ini genap dua tahun sejak pembedahan itu.

Saya lebih kuat kini tetapi bukan seperti definisi kekuatan saya dahulu. Ia tidak lagi diukur melalui ketahanan jadual atau skala tanggungjawab harian. Ia diukur melalui kejelasan tujuan, rasa syukur, kedalaman emosi, dan kefahaman bahawa masa bukan dimiliki tetapi ia diamanahkan.

Saya masih mengambil jumlah ubat harian yang berlebihan, dan akan terus begitu sepanjang hayat. Itulah perjanjian yang diterima pesakit transplant. Namun tenaga saya telah kembali. Optimisme saya semakin mendalam. Dan saya akhirnya kembali bekerja dengan benar, bukan didorong kebiasaan, tetapi dipandu kesyukuran.

Hidup dengan jantung kedua mengubah perspektif segalanya.

Anda hidup kerana ada orang lain yang tidak lagi bernyawa. Kebenaran itu tidak pernah pudar. Ia duduk bersama anda setiap pagi, hanya bertanya satu soalan:

Apakah yang akan anda lakukan dengan waktu yang telah dihadiahkan?

Bagi saya, jawapannya kini lebih jelas berbanding mana-mana detik lain dalam hidup saya. Untuk membina bukan sekadar perusahaan, tetapi ekosistem peluang. Untuk mengamalkan kapitalisme sosial bukan sebagai retorik tetapi tanggungjawab. Untuk menggunakan pengaruh demi khidmat kepada orang lain, bukan meraikan diri sendiri. Kelangsungan hidup tanpa sumbangan adalah penyalahgunaan anugerah ini. Namun yang paling utama, untuk memberi isteri dan anak-anak saya suami dan ayah yang mereka layak miliki serta masa dan perhatian yang sepatutnya sudah lama mereka terima.

Orang sering berkata saya bertuah jantung ketujuh itu sepadan.

Saya tidak melihatnya sebagai tuah semata-mata. Saya melihatnya sebagai rahmat yang bersilang dengan tujuan yang belum selesai. Pasti ada sebab saya ditarik kembali dari ambang fungsi jantung lapan peratus…dibawa melalui enam kegagalan…dikurniakan keserasian satu dalam jutaan…dan dipandu melalui tiga episod penolakan hingga ke ulang tahun kedua ini.

Saya merasakan sebab itu kini lebih kuat daripada sebelumnya.

Hari ini bukan sambutan ketahanan peribadi. Ia adalah detik kesyukuran kepada penderma dan keluarga mereka yang hadiahnya saya bawa setiap detik, kepada pakar bedah dan pasukan perubatan yang enggan tunduk kepada pesimisme statistik, kepada keluarga saya yang kekuatannya tidak pernah goyah, dan kepada sahabat yang memilih kehadiran berbanding kemudahan.

Dua tahun kemudian, saya tidak berasa seperti seorang lelaki yang melarikan diri daripada maut.

Saya berasa seperti seorang lelaki yang ditugaskan semula oleh kehidupan.

Kerana apabila jantung anda pernah berhenti sekali, anda belajar bahawa setiap degupan selepas itu mesti membawa makna.

Diberkati. Bersyukur. Didorong tujuan. - Getaran, 7 Februari 2026

Berita Berkaitan

1

Rencana 2 hari yang lalu

Jika Kita Memperjuangkan Palestin, Kita Tidak Boleh Menutup Mata Terhadap Rohingya

2

Rencana 1 minggu yang lalu

Apabila Peraturan Institusi Diubah, Keadilan Menjadi Persoalan

3

Rencana 2 minggu yang lalu

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

4

Rencana 3 minggu yang lalu

Andy Burnham Dan Britain Baharu: Mengapa Kita Perlu Memberikan Perhatian

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang