web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Anwar Ibrahim Dan Misi Membangunkan Negara

Mentadbir sebuah negara berbilang kaum, agama, dan kelas ekonomi seperti Malaysia bukanlah drama Netflix yang menyaksikan setiap krisis berjaya diselesaikan dalam masa 60 minit

Rencana Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Jul 2025 8:41AM

Anwar Ibrahim - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam dunia hari ini yang menuntut kepuasan segera dan keadilan media sosial, terlalu mudah untuk menyalahkan mereka yang berani memimpin. 

Di Malaysia hari ini, beban itu paling berat ditanggung oleh seorang lelaki: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Biar saya nyatakan dengan jelas — lelaki ini berjuang selama 25 tahun, dipenjara, dihina, dikhianati dan diceroboh privasinya bukan untuk duduk di Putrajaya dan menikmati kemewahan kuasa. Beliau tidak menjadi Perdana Menteri untuk mengaut kekayaan atau membina monumen bertunjangkan ego.

Beliau adalah sama ada kita akui atau tidak, mungkin pemimpin paling banyak diuji dan paling bersedia yang pernah kita miliki dalam sejarah moden negara. Namun begitu, beliau dituntut untuk melakukan keajaiban serta-merta dalam sebuah kabinet yang berpecah-belah dan negara yang masih menjilat luka akibat rasuah, perpecahan, dan sikap sambil lewa pemimpin masa lalu.

Kita rakyat Malaysia adalah bangsa yang bersemangat, bijak, dan semakin rakus. Itu sesuatu yang baik kerana ia menunjukkan kita peduli. Tetapi kita juga mesti berlaku adil. Kepimpinan bukanlah pentas teater. Mentadbir sebuah negara berbilang kaum, agama, dan kelas ekonomi seperti Malaysia bukanlah drama Netflix yang menyaksikan setiap krisis berjaya diselesaikan dalam masa 60 minit. Ia adalah pergelutan harian yang brutal antara idealisme dan realiti.

Prinsip, Bukan Keselesaan

Saya telah mengenali Anwar Ibrahim cukup lama untuk melihat warna sebenar lelaki ini.  Dan apa yang saya lihat ialah seorang yang memikul beban tanggungjawab, tetapi tidak sanggup mengorbankan nilai asasnya. Adakah saya setuju dengannya dalam semua perkara? Sudah tentu tidak.

Disebabkan pengalaman dan pengkhianatan yang pernah beliau alami, beliau sukar untuk mempercayai sesiapa, namun pada masa sama, beliau perlu berbuat demikian. Dan itulah antara sebab kenapa sesetengah perkara tidak bergerak atau tidak berlaku, yang menyebabkan ramai merasa kecewa.

Tetapi saya menghormatinya kerana keupayaannya untuk mendengar, kelaparannya terhadap keadilan serta penolakannya yang keras untuk menjadi boneka sesiapa, baik tempatan mahupun asing dan itulah yang gagal dilihat banyak pihak. 

Kita terlalu cepat lupa bahawa ini ialah seorang lelaki yang semasa puluhan tahun dalam pembangkang, boleh sahaja “menjual diri” berkali-kali demi wang, kuasa, atau ketenangan. Tetapi beliau memilih jalan yang lebih sukar dan berpegang kepada prinsip mengatasi kesenangan.

Ketika orang lain lari, beliau tetap berdiri. Ketika sistem cuba melumatkannya, beliau bertahan dan ini bukan cerita lama. Itu sesuatu yang bermakna. Itu sesuatu yang besar.

Kompleksiti Sebuah Perubahan

Mereka yang menjangka Anwar boleh mengubah Malaysia dengan serta-merta jelas tidak memahami beban dan kerumitan yang diwarisinya: sebuah perkhidmatan awam yang berpecah dan penuh dengan kesetiaan politik.

Sistem kehakiman yang baru mahu bangkit selepas bertahun-tahun diganggu politik; institusi yang lemah akibat puluhan tahun pengabaian atau rasuah; golongan elit lama yang takut kepada perubahan dan menolaknya pada setiap kesempatan.

Ia ditambah pula dengan ekonomi global yang bergelora, kos sara hidup yang meningkat, ketegangan geopolitik dan generasi muda Malaysia yang berhak menuntut lebih banyak ketelusan, peluang dan kebertanggungjawaban.

Anwar perlu mengemudi semua ini sambil mengekalkan kerajaan perpaduan yang terdiri daripada bekas seteru dan ideologi bertentangan, dan menentang pembangkang yang tidak segan silu menggunakan isu kaum dan agama sebagai senjata.

Begitupun, beliau masih mampu mengekalkan kestabilan kerajaan ini, memperkenalkan dasar-dasar substantif, mendorong reformasi institusi, dan mengembalikan nama Malaysia di pentas dunia hanya dalam masa setahun setengah dan ia sepatutnya dihargai, bukan diperkecilkan.

Adakah semuanya sempurna? Tidak. Adakah ada kesilapan? Sudah tentu. Tetapi ukuran kepimpinan bukanlah kesempurnaan, sebaliknya kemajuan. Dan kita sedang bergerak maju, sama ada pengkritik mahu mengakui atau tidak.

Dunia masih mengaitkan Malaysia sebagai negara yang penuh masalah; tidak selamat untuk pelaburan dan semua itu berkisar kepada skandal 1MDB.

Adakah ingatan kita begitu singkat hingga kita lupa semua itu? Kita ketinggalan di belakang hampir semua negara ASEAN. Satu-satunya “bantuan” yang kita terima ialah Myanmar yang berpecah. Kalau tidak, mereka pun hampir menyaingi kita… ya, Myanmar.

Kini,,kita kembali di pentas dunia. Bukan kerana skandal, tetapi kerana pelaburan masuk yang signifikan, lonjakan pelancongan yang bersejarah malah lebih tinggi dari Thailand dan ya, kerana Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Kehakiman Dan Kuasa Sebenar

Ada yang menuduh Anwar mengawal segalanya, termasuk sistem kehakiman. Ini sama ada kejahilan yang disengajakan atau propaganda jahat. Pelantikan dan lanjutan jawatan hakim, termasuk Ketua Hakim Negara, tertakluk kepada proses perlembagaan.

Perdana Menteri tidak membuat keputusan ini seorang diri. Ada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Dan paling penting, ada Yang di-Pertuan Agong yang membuat pelantikan berdasarkan nasihat. Terdapat mekanisme institusi yang diwujudkan khusus untuk mengelakkan campur tangan politik.

Ironinya, reformasi yang Anwar sokong seperti ketelusan pelantikan dan kebebasan kehakiman kini dijadikan alasan untuk menuduhnya campur tangan. Ini seperti dalam karya Kafka. Dan ia menunjukkan betapa terdesaknya sesetengah pihak untuk menggagalkan reformasi demi kepentingan mereka sendiri.

Harga Sebuah Prinsip

Saya tahu bagaimana rasanya diserang kerana berdiri bersama seseorang seperti Anwar. Saya sudah lalui. Keluarga saya juga,?selama lebih 20 tahun.

Artikel jahat, saman palsu, pembunuhan watak semua ini adalah alat golongan berkuasa yang terancam dan ia kini digunakan pula oleh ahli politik murahan.

Tetapi saya tidur lena kerana saya tahu di mana saya berdiri. Saya percaya kepada kapitalisme sosial. Saya percaya kepada prinsip memberi semula. Saya percaya dalam membina Malaysia yang adil untuk semua. Dan saya tahu Perdana Menteri ini mahukan perkara yang sama.

Beliau tidak mahukan pengampu. Beliau perlukan pemikir. Pembina. Orang yang akan mencabarnya tetapi tidak meninggalkannya. Jika kita mahu beliau memimpin kita ke arah masa depan yang lebih baik, kita juga mesti memberinya ruang politik dan sokongan moral untuk melakukannya.

Memang kadangkala beliau dikelilingi oleh yang tidak layak, tetapi masih ada yang menyampaikan kebenaran kepadanya. Terserah kepada beliau untuk memilih siapa dan apa yang mahu didengar. Itu akhirnya adalah ujian sebenar kepimpinan.

Impian Malaysia Wajar Diperjuangkan

Ini bukan sekadar tentang Anwar Ibrahim. Ini tentang kita. Siapakah kita sebagai rakyat? Adakah kita sekadar “keyboard warrior”, mudah terpengaruh dengan propaganda dan cepat melupakan pengajaran sejarah? Atau kita sebuah bangsa yang sedang matang, walaupun belum sempurna, tetapi sanggup menghadapi kebenaran dan membentuk hari esok yang lebih baik?

Malaysia layak menerima yang lebih baik. Baru dua tahun berlalu, dan golongan liberal elit sudah merungut seperti anak manja, manakala rakyat Melayu dibelenggu propaganda yang memperalatkan isu kaum dan agama. Yang benar-benar layak menerima perhatian ialah golongan B40 kerana mereka telah ditinggalkan oleh semua pihak.

Tetapi yang lebih baik tidak datang tanpa kesakitan, kesabaran, dan ketabahan.

Anwar bukanlah penyelesaian sempurna, tetapi beliau adalah langkah yang perlu ke hadapan. Jika kita membiarkan beliau gagal demi politik murahan atau dendam peribadi, kita bukan menghukum beliau; kita menghukum diri kita sendiri dan anak-anak.

Masa untuk politik remeh sudah berakhir. Masa untuk membina negara telah bermula. Dan ini bukan sekadar retorik kosong tetapi pembinaan sebenar, untuk semua, bukan segelintir.

Dan saya, untuk hal ini, memilih untuk membina. - Getaran, 9 Julai 2025

Berita Berkaitan

1

Rencana 1 hari yang lalu

Jika Kita Memperjuangkan Palestin, Kita Tidak Boleh Menutup Mata Terhadap Rohingya

2

Semasa 2 hari yang lalu

Forest  City: Usir Segera Warga Israel Jika Dakwaan Terbukti - PM

3

Politik 3 hari yang lalu

PRN Negeri Sembilan: Jangan Jadikan Institusi Diraja Bahan Kempen Parti Politik - PM

4

Politik 6 hari yang lalu

PRN Johor: Kerajaan Persekutuan Komited Pastikan Agenda Pembangunan Rakyat Diteruskan - PM

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang 

Disyorkan untuk anda

Rencana 1 hari yang lalu

Jika Kita Memperjuangkan Palestin, Kita Tidak Boleh Menutup Mata Terhadap Rohingya

oleh Alfian Z.M. Tahir