KUALA LUMPUR - Apabila berbicara mengenai Palestin, ramai tidak menyedari bahawa bumi suci itu sebenarnya sudah dijarah Zionis sejak puluhan tahun silam.
Betapa bijaknya Israel, apabila pencerobohan itu dilakukan sedikit demi sedikit, khusus untuk membuatkan masyarakat dunia alpa dengan helah mereka.

Sejarah mencatatkan bahawa Gerakan Zionis bermula pada akhir abad ke-19, khusus untuk menubuhkan tanah air buat penduduk Yahudi di wilayah milik Palestin, yang ketika itu berada di bawah kekuasaan Empayar Uthmaniyyah.
Gerakan ini membawa kepada penghijrahan kaum terbabit ke Palestin, sekali gus menimbulkan ketegangan dengan penduduk Arab tempatan.
Perang Bermula
Kejatuhan Empayar Uthmaniyyah di akhir Perang Dunia Pertama boleh dilihat sebagai permulaan mimpi buruk buat Palestin kerana wilayah itu berpindah ke bawah kawalan British.
Ia menyebabkan imigrasi Yahudi semakin meningkat, sekali gus memburukkan ketegangan antara masyarakat Arab dan Yahudi.
Natijahnya, pemberontakan Arab tercetus sekitar tahun 1936 hingga 1939.
Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) tampil dengan cadangan berat sebelah, iaitu membahagikan Palestin kepada dua negara berasingan, masing-masing untuk Yahudi dan Arab, dengan Baitulmaqdis dijadikan bandar antarabangsa.

Seperti dijangka, cadangan berkenaan ditolak sepenuhnya masyarakat Arab, tetapi malangnya ia tidak menghalang pengisytiharan Israel sebagai negara pada 14 Mei 1948.
Sehari selepas pengisytiharan, Liga Arab terdiri daripada Mesir, Jordan, Syria, Iraq dan Lubnan menyerang Israel untuk menyokong penduduk Arab di Palestin, sekali gus menandakan bermulanya Perang Arab-Israel 1948.
Israel Menceroboh
Sejak peristiwa hitam dikenali sebagai Nakba, penduduk Palestin terus kehilangan hak di tanah sendiri kerana Zionis terus rakus menawan lebih banyak wilayah Palestin, walaupun jelas dan nyata tindakan itu mencabuli pelan digariskan PBB.
Ajaibnya, seluruh kuasa-kuasa besar dunia seakan tunduk di bawah telunjuk Israel, apabila hanya menutup mata atas genosid yang berlaku.

Sejak Oktober tahun lalu hingga 7 Februari angka kematian di Gaza dicatatkan pada 47,583 dan meskipun gencatan senjata telah dikuatkuasakan, segalanya bukan satu penamat.
Sokongan Malaysia
Sejak berdekad lamanya, Malaysia antara negara yang konsisten menyokong perjuangan Palestin memerdekakan tanah air mereka.
Bermula dengan era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sokongan berkenaan diteruskan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malaysia tetap teguh dengan pendirian menentang kezaliman Zionis, malah tidak gentar berhadapan tekanan kuasa besar walaupun ia mungkin memberikan kesan secara langsung kepada negara.
Baru-baru ini Anwar sekali lagi menyuarakan gesaan agar PBB menerima kehadiran Palestin sebagai negara anggota ke-194.

Sokongan padu negara tidak hanya berpaksikan lisan dan kempen semata-mata, malah sehingga kini Malaysia telah menyalurkan lebih RM100 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga bakal menggerakkan usaha membina sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi kemudahan rakyat Palestin, selepas sekian lama hidup mereka hanya ditemani sisa runtuhan bangunan.
Menurut Perdana Menteri, usaha membina semula infrastruktur di Gaza akan direalisasikan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak, khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.
Jelas Anwar, usaha terbabit juga menerima dukungan Jepun yang sepakat mahu menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Projek ini antara lain melibatkan penubuhan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan.
Projek Bandar Wakaf
Umum mengetahui Perdana Menteri juga menaungi Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza.
Bakal dilancarkan selepas Ramadan nanti, projek terbabit adalah model pertama pembangunan wakaf Malaysia di Palestin, sekali gus memperlihatkan bukti solidariti negara terhadap penduduk di Gaza.
Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Ampang, Syed Ahmad bin Syed Abdul Rahman berkata, usaha tersebut berupaya menonjolkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati masyarakat antarabangsa.

Menurut beliau, bandar wakaf berkenaan bukan sahaja membantu membina semula Gaza, malah turut mempromosikan model wakaf yang unik dan inovatif.
“Lebih membanggakan, dana bantuan ini datang daripada independent fund dan sumbangan sektor korporat, yang menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan negara kita.
“Ia adalah cerminan Malaysia Madani yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin,” katanya.
Syed Ahmad atau turut dikenali sebagai Altimet memberitahu, sokongan diberikan Malaysia tidak hanya sekadar diterjemahkan menerusi kibaran bendera Palestin semata-mata, tetapi mencakupi kesediaan membantu penduduk di sana.
“Saya ingin mengingatkan agar kita tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang mungkin cemburu dengan pengiktirafan yang diterima oleh PMX sehingga memperlekehkan usaha murni ini.
“Sebagai rakyat yang bijaksana, kita harus mengenepikan polemik dan menyokong usaha yang membawa manfaat kepada umat sejagat. Bantuan seperti ini tidak akan memiskinkan kita, malah ia adalah pelaburan untuk kesejahteraan umat,” katanya. - Getaran, 13 Februari 2025