Berpuasa di dalam Islam merujuk kepada kegiatan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta perbuatan-perbuatan tertentu lain yang boleh membatalkan ibadah ini.
Selain itu, bulan ini juga mendidik kita untuk lebih bersabar dan menahan diri daripada nafsu serta sikap amarah terhadap pelbagai perkara.
Ramai Ibu bapa Muslim lazimnya akan mengajak anak-anak mereka yang masih kecil untuk berpuasa bersama dengan kaedah berpuasa separuh hari.
Namun, apakah sebenarnya hukum berpuasa separuh hari buat kanak-kanak ini?
Segmen Refleksi hari ini membincangkan hal tersebut.

Secara asasnya tiada istilah berpuasa separuh hari di bulan Ramadan. Tempoh menahan lapar dan dahaga ini bermula dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari.
Namun bagi seorang kanak-kanak yang belum baligh, tidak diwajibkan mereka untuk berpuasa. Ini kerana salah satu syarat wajib berpuasa ialah apabila seseorang itu mencapai akil baligh.
Selain itu kanak-kanak secara umum belum mempunyai kemampuan untuk berpuasa seperti golongan dewasa.
Oleh demikian sekiranya mereka tidak berpuasa, ia tidak berdosa dan tidak perlu diganti.

Walau bagaimanapun, berpuasa separuh hari bagi kanak-kanak adalah teknik latihan puasa yang boleh diamalkan untuk mengajar ibadah puasa secara perlahan-lahan.
Mulakan dengan membangunkan mereka untuk bersahur supaya badan mereka mendapat tenaga daripada makanan yang diambil sewaktu sahur.
Kemudian, benarkan mereka untuk makan menjelang tengahari.

Ini bertujuan bagi membiasakan diri anak-anak dengan suasana berpuasa sebelum tiba waktu mereka diwajibkan untuk melakukan amalan ini.
Persoalannya berapakah umur kanak-kanak yang biasanya ditetapkan untuk berpuasa dalam ajaran Islam?
Penjelasan daripada Ibn Hajar al-Haitami, ibu bapa dan penjaga hendaklah menyuruh anak-anak lelaki dan perempuan mereka untuk berpuasa apabila mencapai usia genap atau sempurna 7 tahun atau istilah lain adalah mumayiz .
Tambahan pula, ibu bapa boleh merotan anak-anak jika mereka sengaja tidak berpuasa apabila mencapai usia 10 tahun sama seperti kewajipan solat. Hal ini juga adalah perkara yang dtekankan dalam ajaran ulama mazhab al-Syafie, Hanafi dan Hambali.

Namun begitu, sebagai ibu bapa hendaklah mereka diraikan seperti individu lain yang berpuasa. Perkara ini bagi memupuk semangat motivasi dalam diri mereka untuk menyempurnakan puasa pada masa akan datang.
Hal ini seperti dinyatakan jelas oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami bahawa:
ويصح الصوم من الصبي المميز أو المميزة كالصلاة، ويجب عند الشافعية والحنفية والحنابلة على وليه أمره به إذا أطاقه بعد بلوغه سبع سنين، وضربه حينئذ على الصوم بعد بلوغه عشر سنين، إذا تركه ليعتاده، كالصلاة، إلا أن الصوم أشق، فاعتبرت له الطاقة، لأنه قد يطيق الصلاة من لا يطيق الصيام.
Maksudnya: Sah puasa bagi kanak-kanak yang mumayyiz lelaki dan perempuan sama seperti sahnya solat. Wajib di sisi ulama mazhab al-Syafie, Hanafi dan Hambali ke atas ibu bapa atau penjaga untuk menyuruh mereka jika kanak-kanak tersebut berkemampuan apabila telah mencapai usia 7 tahun.
Walau bagaimanapun hendaklah diambil kira kemampuan mereka kerana ibadah puasa adalah lebih berat untuk dilaksanakan (berbanding solat). Hal ini kerana boleh jadi seseorang kanak-kanak mampu untuk melaksanakan solat, namun tidak mampu untuk berpuasa.
(Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, 3:45)

Jadi diberilah ganjaran pahala sunat kepada kanak-kanak yang berpuasa dan sah amalannya itu. Hal ini juga sepertimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadits ini dengan berkata:
فِيهِ حُجَّةٌ لِلشَّافِعِيِّ وَمَالِكٍ وَأَحْمَدَ وَجَمَاهِيرِ الْعُلَمَاءِ أَنَّ حَجَّ الصَّبِيِّ مُنْعَقِدٌ صَحِيحٌ يُثَابُ عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَ لَا يُجْزِيهِ عَنْ حَجَّةِ الْإِسْلَامِ بَلْ يَقَعُ تَطَوُّعًا وَهَذَا الْحَدِيثُ صَرِيحٌ فِيهِ
Maksudnya: Hadis ini dijadikan sebagai hujah oleh Imam al-Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad dan jumhur ulama yang berpendapat bahawa ibadah haji kanak-kanak itu sah, diterima dan mendapat ganjaran pahala atas perbuatan tersebut.
Namun begitu ia tidak dikira sebagai telah menunaikan kewajipan haji, bahkan hukumnya adalah sunat sahaja. Hadis ini jelas menunjukkan hal tersebut.
(al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 9:99)

Jadi buat para ibu bapa asuhlah anak-anak untuk berpuasa secara perlahan-lahan dengan kelembutan dan ketenangan, Insya Allah mereka sendiri akan ikut berpuasa bila waktunya tibai. Selamat beramal. - Getaran, 8 April 2022