Berita Terkini

3 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Rina Harun, Antara Realiti Dan Transformasi

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Feb 2021 5:26PM

Foto transformasi baharu Rina Harun tular di media sosial.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR : Jujur diakui, kali pertama mendengar nama beliau dicalonkan untuk bertanding bagi kawasan Parlimen Titiwangsa, sejumlah besar rakyat khususnya pengundi di situ terperangah.

Siapa Datuk Seri Rina Mohd Harun? Apa jasa dan bakti yang pernah dicurahkan kepada masyarakat setempat?

Persoalan ini sebenarnya sudah terang lagi bersuluh kerana selain dari menyandang jawatan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tidak ada sebarang pencapaian menyerlah Rina yang boleh dibanggakan, khususnya dalam dunia politik.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, kemenangannya ke atas Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebenarnya dibantu oleh sentimen kebencian terhadap pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Jika pencapaian Johari dijadikan ukuran, sememangnya Rina jauh ketinggalan, kerana pencabarnya itu amat disenangi komuniti setempat, malah terkenal dengan sikap mesra media.

Putaran roda bagaimanapun membawa Rina duduk di atas, bermula dengan kemenangan sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa yang baharu, sebelum dilantik menganggotai barisan Jemaah Menteri, seiring dengan kapasitinya sebagai Ketua Srikandi BERSATU.

Portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar ternyata tidak berupaya menonjolkan karismanya sebagai seorang ahli politik, apabila beliau dilihat terlalu pasif dalam memberikan sebarang reaksi, termasuk ke atas isu yang ditimbulkan pihak pembangkang.

Dalam satu wawancara bersama Malaysiakini pada April 2019, Rina mengakui tidak kisah dilabel sebegitu rupa kerana lebih memilih untuk menumpukan perhatian kepada tugas di kementerian, berbanding berbicara soal politik.

Gerakan ‘Langkah Sheraton’ yang penuh kontroversi membawa Rina ke paradigma baharu, apabila memilih untuk bersama ‘kem’ Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berbanding meneruskan kesetiaan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan Rina itu dianggap pemerhati sebagai tidak sia-sia, apabila beliau dipilih pula menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

Sebaik mengangkat sumpah, nama graduan Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan dari Universiti Northwood, Michigan, Amerika Syarikat itu kembali tenggelam, bahkan seakan dilupakan.

Apa juga isu yang melatari wanita ketika itu, Rina jarang sekali tampil ke hadapan, malah ketika kementerian terbabit menjadi gurauan ramai berhubung isu suara kartun Doraemon, beliau tetap memilih untuk berdiam diri.

Jurusolek Saidatulnisa Aminuddin (kiri) dan pereka fesyen Man Kajang (kanan) bersama Rina Harun. - Gambar sumber internet
Jurusolek Saidatulnisa Aminuddin (kiri) dan pereka fesyen Man Kajang (kanan) bersama Rina Harun. - Gambar sumber internet

Pendirian Rina sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya, apatah lagi ketika rakyat mengekori rapat prestasi Jemaah Menteri yang diharapkan mampu meredakan beban mereka, selepas masing-masing terkesan dengan pandemik COVID-19.

Selain beberapa pengumuman di peringkat dasar, tiada apa yang membanggakan dapat dilihat orang ramai, khususnya sejak Malaysia berdepan ancaman pandemik virus berbahaya dari Wuhan, China itu.

Keganasan domestik, penderaan kanak-kanak, tekanan mental di kalangan wanita; itu hanya secebis kecil isu yang meningkat dengan mendadak sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tetapi sekali lagi, di mana Rina Harun?

Ketika golongan wanita merintih tatkala berdepan kesukaran kerana perlu meladeni tanggungjawab sebagai ibu, pekerja dan guru, tangisan mereka terbiar tidak di peduli.

Begitu juga ketika anak-anak menjadi medan ibu bapa meluahkan kemarahan dek tekanan, tiada siapa dari kementerian tampil ke depan menjadi penyelamat, sehingga akhirnya ada nyawa yang melayang.

Sebegitu sukar keadaan dialami rakyat marhaen ketika ini, tidak hairanlah jika Malaysia seakan ‘disambar petir’ sejurus foto transformasi baharu Rina tular di media sosial.

Di sebalik kekaguman melihat kejelitaan persis model terkenal itu, beliau pantas menjadi umpatan ramai yang menyifatkan perubahan berkenaan adalah satu-satunya kejayaan membanggakan pernah dihasilkan sepanjang perkhidmatan.

Suasana bertambah bingit apabila tular pula adegan di belakang tabir ‘sesi penggambaran’ menteri itu, yang tampil anggun menggayakan busana mewah rekaan pereka terkenal, Man Kajang.

Keriuhan netizen bagaikan tiada sempadan, tak kurang yang membuat perbandingan antara Rina dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sekadar info, Syed Saddiq sebelum ini pernah menjadi pilihan wartawan untuk menghiasi dada majalah, bukan sekadar kerana paras tampan tetapi juga didorong oleh pencapaian cemerlang ketika mengepalai kementerian berkenaan.

Walaupun ada yang secara sinis mempersoalkan kredibiliti anak muda itu, netizen bingkas membela Ahli Parlimen Muar berkenaan, lebih-lebih lagi selepas kejayaan inisiatif pemberian komputer riba secara percuma untuk pelajar kurang berkemampuan di kawasannya.

Jadi, apa sebenarnya sumbangan seorang Rina Harun?

Jadual Rina Harun padat diisi dengan kegiatan menyantuni golongan memerlukan. - Gambar dari Instagram Rina Harun
Jadual Rina Harun padat diisi dengan kegiatan menyantuni golongan memerlukan. - Gambar dari Instagram Rina Harun

Adalah tidak adil jika mahu menuduh bekas Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan itu hanya goyang kaki dan langsung tidak berbuat apa-apa sedangkan hakikatnya, masa beliau diisi dengan kegiatan menyantuni golongan memerlukan.

Sumber kementerian memberitahu, jadual Rina sebenarnya terlalu padat terisi dengan pelbagai tugasan termasuk di peringkat dasar.

“Orang ramai hanya melihat kepada satu isu tanpa bersikap adil sedangkan selama ini, beliau bertungkus lumus berbakti kepada rakyat.

“Tak patut mahu menjatuhkan hukuman begitu sahaja tanpa melihat kepada akar umbi perkara sebenar,” kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan.

Secara dasar, peribadi Rina ini wajar diberi penghargaan kerana beliau berjaya membuktikan dirinya tak hidup dek puji, tak mati dikeji, malah sanjungan rakyat juga bukan sesuatu yang diidamkan.

Pada akhirnya, hanya pencapaian menjadi ukuran dan ini adalah masa untuk kita sama-sama melihat, apakah persembahan beliau mampu menjadi secemerlang transformasi yang dilakukan. – Getaran, 16 Februari 2021

Berita Berkaitan

1

Ekonomi 8 bulan yang lalu

Transformasi Ekonomi Filipina Mampu Tingkat Perdagangan Dengan Malaysia - Marcos

2

Politik 1 tahun yang lalu

Penduduk Berbeza Pendapat Kemampuan Rina Untuk Menang Di Sepang

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Lebih 6,000 PPS Siap Siaga Hadapi Banjir - Rina

4

Politik 1 tahun yang lalu

PRU-15: Rina Harun Calon PN Di Sepang

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

Disyorkan untuk anda

Semasa 13 jam yang lalu

Mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar Meninggal Dunia

oleh Wartawan Getaran

Semasa 5 jam yang lalu

KKM Keluarkan Lebih 5,000 Kompaun Kesalahan Tembakau Bernilai RM1.38 Juta

oleh Fida Ruzki

Luar Negara 1 hari yang lalu

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

Semasa 1 hari yang lalu

Beras, Barang Dapur Dibakar Adalah Stok Simpanan Yang Rosak - Ismail

oleh Wartawan Getaran