KUALA LUMPUR - Teka-teki Menteri Besar Perlis yang baharu terjawab, apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah di Istana Arau hari ini.
Istiadat mengangkat sumpah itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sekitar jam 4 petang tadi.
Abu Bakar dari BERSATU dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-12, susulan peletakan jawatan serta-merta Mohd Shukri Ramli, 25 Disember lalu.
Memberikan masalah kesihatan sebagai faktor peletakan jawatan, Mohd Shukri bagaimanapun masih mengekalkan kedudukannya sebagai ADUN Sanglang.
Pada hari sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan, mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji, selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Perlembagaan Negeri Perlis.
Kekosongan mendadak itu berlaku selepas PAS pada 24 Disember lalu mengumumkan bahawa keahlian tiga ADUN parti berkenaan, Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) telah ditamatkan susulan penarikan sokongan mereka terhadap Mohd Shukri.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Perikatan Nasional memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis, dengan PAS memperoleh sembilan kerusi dan BERSATU lima kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menerusi PKR memenangi satu kerusi. — Getaran, 28 Disember 2025

