KUALA LUMPUR – Setiap perubahan dan usaha mereformasi tatanan (sistem atau aturan) dalam sesebuah negara tidak boleh dilaksanakan dengan tergesa-gesa dan sembarangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia sebaliknya harus dilaksanakan seiringan dengan usaha memberi pendedahan kepada rakyat terhadap apa yang mahu dilakukan.
Pada masa sama, beliau berkata, perlu ada konsensus dalam kalangan pemimpin dan penerimaan rakyat terhadap perubahan yang mahu dilaksanakan.
Melalui satu hantaran dalam media sosialnya, Perdana Menteri berkata, ia adalah antara intipati Ucapan Dasar Presiden yang disampaikannya pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
“Saya turut menegaskan bahawa perubahan dan usaha mereformasi tatanan ini tidak harus dijelmakan secara gelojoh dan semberono tetapi mesti bergerak sederap dengan memahamkan rakyat selain mencari konsensus di kalangan pimpinan dan penerimaan rakyat.
“Ini kerana keutamaan kita adalah masalah asas rakyat yakni kemiskinan tegar, sekolah-sekolah daif serta klinik yang usang mesti diberi nafas dan ruh yang Baharu,” katanya.
Mengambil iktibar dari Revolusi Perancis, Perdana Menteri berkata, ketika itu, idea, kepentingan dan tuntutan golongan elit serta liberal menjadi keutamaan berbanding masalah rakyat yang lebih mendesak.
Katanya, ‘Reign of Terror’ adalah kemuncak apabila tokoh fraksi Jacobin, Maximilien Robespierre diguling serta dipancung.
“Justeru, atas kesedaran ini kita mesti berhemah dalam melakukan pembaharuan dan mesti menyikapi fiqh awlawiyyat dengan cekap dan bijaksana,” katanya.
Anwar berkata, beliau turut menyentuh mengenai mengenai usaha dan pencapaian satu tahun Kerajaan Perpaduan walaupun pentadbirannya berdepan dengan pelbagai kekangan dan ujian ia berjaya memperoleh jumlah pelaburan sebanyak RM132.6 bilion di pelbagai sektor dan bidang dalam kerajaan mencambah pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, negara juga memerlukan langkah tuntas dan berani oleh Kerajaan dalam mendepani hutang yang kini mencecah RM1.5 trilion selain defisit yang meningkat setiap tahun.
“Masalah subsidi pukal yang selama ini memanfaat golongan mahakaya dan lebih 3 juta warga asing juga didepani secara progresif agar yang benar-benar menerima manfaat adalah rakyat terbanyak,” katanya.

Perdana Menteri turut menghargai rakan-rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan dari UMNO-Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
“Dalam kesempatan yang sama, saya turut mengucap penghargaan kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan kerana berusaha dan setia kepada usaha menegak tatakelola yang bertanggungjawab dan berkesan,” katanya. – Getaran, 26 November 2023

