BENTONG - Tepat jam 8 pagi tadi, seramai 16,383 pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mula memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.
Pada PRK kali ini, sebanyak sembilan pusat mengundi dibuka hingga jam 6 petang, membabitkan 30 saluran dan seterusnya proses penjumlahan undi akan diadakan di pusat penjumlahan rasmi undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru, iaitu antara calon yang mewakili Barisan Nasional, Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Kasim (PN); calon Pakatan Harapan, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang, Isa Ahmad.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di daerah Bentong adalah baik pada sebelah pagi, manakala ribut petir dijangka melanda pada petang. - Getaran, 7 Oktober 2023

