KUALA LUMPUR - PAS akan bersiap sedia memasuki pilihan raya kecil di kerusi Parlimen Kemaman, susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan penyandangnya, Che Alias Hamid, pada 26 September lalu.
Sehubungan itu, parti berkenaan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, langkah itu diambil susulan mahkamah tidak menamakan mana-mana pihak atas pertuduhan mengamalkan rasuah melibatkan kawasan tersebut.
"Sehubungan itu, PAS menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan daripada keputusan tersebut," katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu sebelum ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman itu yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu.
Hakim bersidang, Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Sementara itu, Anselm dalam sesi pengurusan kes yang dijalankan melalui sidang video, mengesahkan bahawa keputusan dalam petisyen membabitkan kawasan Parlimen Kemaman adalah sama dengan keputusan dalam kes petisyen di Kuala Terengganu.
Katanya, keputusannya dalam kes petisyen di Parlimen Kemaman adalah wujud unsur rasuah bagi bahagian pilihan ray aitu.
Namun, beliau tidak menamakan mana-mana pihak dalam penghakimannya.
Petisyen berkenaan difailkan oleh Wan Mohamad Hisham mewakili Barisan Nasional (BN), dan selepas kes dibicarakan, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Pada PRU15, Che Alias menang besar dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Beliau mendapat 65,714 undi, diikuti Datuk Seri Ahmad Said yang juga bekas menteri besar dengan 38,535 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon PEJUANG, Rosli Ab Ghani memperoleh 506 undi. – Getaran, 3 Oktober 2023

