KUALA LUMPUR – Tindakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggelar DAP sebagai 'lapdog' kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai keterlaluan.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali yang melahirkan kekecewaan terhadap Presiden MUDA itu, berkata kenyataan berkenaan menggambarkan 'keegoan tahap tertinggi' parti berkenaan.
Beliau berkata, Syed Saddiq seolah-olah sudah melupakan sokongan dan sifat setia kawan antara dua parti berkenaan ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.
"Syed Saddiq seolah-olah lupa bagaimana setiakawan dan dokongan yang pernah diberikan oleh DAP terhadap beliau dan MUDA.
“Meskipun ini berbunyi personal, tetapi terdetik di hati kecil saya… sampai hati Syed Saddiq!
"Semasa pilihanraya di Johor misalnya. Kerana saya dari Johor dan kita tahu bagaimana kerjasama dan pengorbanan dilakukan oleh DAP untuk MUDA ketika susah dan senang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sheikh Omar berkata, MUDA seharusnya tidak lupa usaha dan sokongan DAP kepada parti itu sehingga mereka berjaya mendapat satu-satunya kerusi di peringkat Parlimen dan juga DUN di Johor.
"Meskipun ia tidak semestinya menjadi faktor utama, Syed Saddiq patut sedar bukan sedikit yang telah DAP lakukan hingga Johor melahirkan kerusi tunggal untuk MUDA di peringkat DUN dan Parlimen," katanya.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Muar itu tidak harus melemparkan tuduhan dan tohmahan sekeras itu sedangkan pandangan yang diberikan oleh Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming itu disifatkan sebagai neutral.
Pada masa sama, Sheikh Omar turut menasihatkan Syed Saddiq untuk menggunakan saluran yang lebih sesuai bagi mendapatkan penjelasan berbanding melakukan serangan secara terbuka antara satu sama lain.
"Kenyataan Nga itu bagi saya satu teguran asas. Seorang Ahli Parlimen yang sama mendukungi Kerajaan Perpaduan, sewajarnya menggunakan saluran dalaman untuk mendapatkan penjelasan. Bukan melakukan serangan hendap secara terbuka.
"Beliau bukan Khairy Jamaluddin (bekas Ahli Parlimen Rembau). Khairy bebas menyerang kerana beliau orang luar.
“Ini sangat berbeza dengan Syed Saddiq dan tidak sepatutnya berlaku," katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Johor.
Semalam, dalam satu ciapan melalui laman sosial X, Syed Saddiq menggelar DAP sebagai lapdog Ahmad Zahid, selepas Nga menyarankan beliau bersemuka dengan pimpinan Kerajaan Perpaduan berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan presiden UMNO itu.
Syed Saddiq malah menggelar DAP sebagai hipokrit, gila kuasa, dan tiada prinsip. – Getaran, 8 September 2023

