web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Dewan Negara Lulus RUU Kesalahan Seksual Kanak-Kanak

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Apr 2023 5:22PM

Azalina Othman berkata, pindaan itu termasuk penggantian terminologi ‘pornografi kanak-kanak’ dengan ‘bahan penganiayaan seksual kanak-kanak’. - Gambar fail Jabatan Penerangan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan 2023) diluluskan di Dewan Negara, hari ini.

Kelulusan tersebut membolehkan perlindungan lebih jitu dan menyeluruh diberikan kepada semua mangsa kanak-kanak.

Kesemua pindaan berkenaan melibatkan dua akta berkaitan iaitu Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Keterangan Saksi Kanak Kanak 2007.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu termasuk penggantian terminologi ‘pornografi kanak-kanak’ dengan ‘bahan penganiayaan seksual kanak-kanak’.

“Pindaan itu juga mewujudkan peruntukan bagi kesalahan persembahan seksual oleh kanak-kanak dan kesalahan pemerasan seksual kanak-kanak; pembayaran pampasan bagi mangsa kanak-kanak serta menaikkan had umur saksi kanak-kanak.

“Ia (pindaan) juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan tidak wajar (improper questions) kepada saksi kanak-kanak serta memperuntukkan mengenai pendengaran khas bagi saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan yang dirakam terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, kerajaan sedar bahawa perkembangan teknologi pesat semasa memungkinkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dilakukan menerusi penggunaan teknologi terkini.

“Oleh itu, undang-undang harus dipinda bagi menangani perlakuan jenayah seksual yang menggunakan teknologi baharu tersebut,” katanya.

Azalina berkata, beberapa cadangan akan dikemukakan bagi Fasa 2 untuk pindaan kepada undang-undang berkaitan dengan mengambil kira pandangan daripada Civil Society Organisations (CSOs), Pesurujaya Kanak-Kanak, pakar akademik dan pemegang taruh lain.

Menurutnya, cadangan itu disasar dilakukan pada persidangan Parlimen akan datang.

Antara cadangan itu, jelas Azalina, melibatkan obligasi mandatori kepada penyedia perkhidmatan internet (ISP) untuk menyekat sebarang bahan penderaan seksual kanak-kanak.

“(Cadangan lain), memperluaskan penggunaan pendengaran pra-perbicaraan (pre-trial hearing) yang mandatori bagi kes melibatkan kanak-kanak, untuk menggalakkan pegawai kehakiman mengurus kes melibatkan kanak-kanak secara lebih proaktif dan menetapkan peraturan asas cara atau kaedah kanak-kanak memberikan keterangan.

“(Selain itu), memperkenalkan peruntukan baharu bagi mengiktiraf kewibawaan kanak-kanak untuk memberi keterangan bagi menggantikan peruntukan kanak-kanak masih mentah (tender years).

“(Cadangan turut merangkumi), pemansuhan keperluan sokongan mandatori bagi semua keterangan kanak-kanak dan ia diterima secara sama dengan keterangan lain. (Cadangan keempat pula mengenai) pemansuhan keperluan transkrip dalam bahasa asal diberikan kanak-kanak semasa rakaman video,” katanya.

Bagaimanapun, Azalina berkata, cadangan itu akan terus dikaji secara lebih mendalam dan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh dan pakar berkaitan, bakal dilaksanakan sebelum persidangan Parlimen akan datang.

Ujarnya, kerajaan juga dalam proses penggubalan RUU khusus bagi menubuhkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang bebas seperti dipersetujui Jemah Menteri.

Pada masa sama, Azalina berkata, kerajaan berterima kasih kepada semua pemegang taruh, agensi kerajaan, CSOs dan pakar, termasuk UNICEF Malaysia; CRIB Foundation (Child Rights Innovation & Betterment); Voice of the Children; Kemban Kolektif; ENGENDER.

Monsters Among Us (MAU); Women's Aid Organisation; Women's Centre for Change (WCC); Association of Women Lawyers (AWL); Johor Women's League (JEWEL); Sarawak Women for Women Society (SWWS); All Women's Action Society (AWAM); Bar Council Child Rights Committee serta ChildLine.

“Pihak ini antara golongan yang sudah menyumbang kepakaran mereka kepada penambahbaikan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007, dalam usaha mereka meningkatkan kesedaran orang awam terhadap penganiayaan seksual kanak-kanak,” katanya.  

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Madani tidak berkompromi terhadap jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan melihat bahawa pindaan kepada akta terbabit sebagai langkah kukuh dalam membanteras jenayah seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia.

“Kerajaan juga menyeru orang ramai membuat laporan di balai polis terdekat sekiranya mengetahui mengenai kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak atau menghubungi Talian Kasih di 15999,” katanya.

Terdahulu, RUU Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali kedua dibuat Azalina dan dibahas 10 Ahli Parlimen.

Azalina berkata, pindaan Bahagian II RUU dicadang untuk menggantikan terminologi pornografi kanak-kanak dengan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam Akta 792.

Tegasnya, pindaan RUU itu turut memasukkan Seksyen baharu, iaitu 15A dan 15B (Akta 792) yang memperuntukkan kesalahan berhubung persembahan seksual oleh kanak-kanak serta kesalahan membabitkan pemerasan seksual kanak-kanak.

Ketika membacakannya, Azalina berkata, laporan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan, sebanyak 94 peratus daripada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun adalah pengguna internet.

“Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya empat peratus melaporkan mereka dieksploitasi dan dianiaya secara seksual dalam talian, dan ia mewakili anggaran 100,000 kanak-kanak di negara ini yang mungkin sudah mengalami kemudaratan dalam tempoh sedia ada.

“Oleh itu, undang-undang sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan ia boleh menangani sebarang bentuk penganiayaan seksual yang diguna pakai, selaras dengan perkembangan semasa,” katanya.

Dengan penggubalan Seksyen 15A baharu ini, katanya, bukan saja orang yang menonton dan mengambil bahagian dalam persembahan seksual kanak-kanak boleh didakwa, tetapi semua pihak terbabit seperti penganjur, orang tengah atau mana-mana sindiket.

“Hukuman dicadangkan adalah penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000. Dalam hal ini, rujukan dibuat kepada undang-undang di luar negara seperti di Filipina dan United Kingdom (UK),” katanya ketika membacakan perkara itu di Dewan Rakyat. - Getaran, 6 April 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

RUU Hadkan Tempoh Perkhidmatan PM Gagal Diluluskan, Hanya Terima Sokongan 146 Ahli Parlimen 

2

Semasa 4 bulan yang lalu

Pelaksanaan 'Smart Lane', Dasar Lori Lebih Muatan Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

3

Semasa 1 tahun yang lalu

RUU CCUS Dibentang Di Parlimen Disember Depan

4

Semasa 2 tahun yang lalu

Sidang Dewan Rakyat: Ahli Parlimen Lafaz Ikrar Rukun Negara

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 19 jam yang lalu

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

oleh Sophia Ahmad

Pendidikan 1 hari yang lalu

‘Hubungi Pihak Universiti Jika Berdepan Masalah, Jangan Malu Atau Segan’ - Zambry

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Semasa 14 jam yang lalu

Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Kes Pelajar Terjatuh Dari Bangunan Sekolah

oleh Amirah Abu Bakar