Berita Terkini

8 minit yang lalu: PRN: Negeri Sembilan cadang bubar DUN 1 Jun ini 8 minit yang lalu: Perkeso terima 60,000 laporan kes kemalangan di tempat kerja setahun 9 minit yang lalu: Konsep Malaysia Madani boleh diperluaskan ke Peringkat ASEAN - Fahmi Fadzil 9 minit yang lalu: Agong zahir ucapan tahniah kepada Hamidin, terpilih ahli FIFA 10 minit yang lalu: JPJ Perak rekod 1,150 kesalahan sepanjang Ops TBC 2023

IKUTI KAMI


Pelantikan Anwar Sebagai PM Ke-10 Tutup Tirai Rencam Peristiwa Politik Negara

Politik Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 28 Dec 2022 12:03PM

Tarikh 24 November menyaksikan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pentas politik negara tahun ini menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah tersendiri yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) buat julung kalinya membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Pilihan raya pada 19 November menampilkan keputusan Parlimen Tergantung, apabila buat pertama kalinya sejak pilihan raya umum 1955, tiada parti atau gabungan yang berupaya menang dengan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu.

Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN-74), Barisan Nasional (BN-30), Gabungan Parti Sarawak (GPS-23), Gabungan Rakyat Sabah (GRS-enam), WARISAN (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi, dalam pilihan raya yang menyaksikan had umur pengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun buat pertama kali.

Walaupun ramai pemerhati politik sudah meramalkan perkara itu akan berlaku sebaik sahaja Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober, kebuntuan politik terus membelenggu negara, membawa kepada situasi yang belum pernah dilalui, membingungkan seluruh penduduk negara selama lima hari.

Namun PRU-15 membuktikan sistem demokrasi negara dapat bergerak seperti sepatutnya apabila jalan penyelesaian akhirnya muncul, menerusi bimbingan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang penyelesaiannya menyaksikan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November.

Ia sekali gus merealisasikan impian Anwar selama kira-kira 24 tahun untuk menerajui tampuk pentadbiran negara.

Sebelum ini, sebaik sahaja Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 13 September 2021, ia terus disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman kestabilan politik antara kerajaan dengan pembangkang bagi menurunkan suhu persengketaan politik dalam negara, dengan hasrat mewujudkan suasana ‘tenang’, apabila kedua-dua pihak bersetuju PRU-15 tidak akan diadakan sehingga 31 Julai 2022.

Kerjasama antara parti politik di bawah gagasan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Ismail Sabri memberi ruang kepada kerajaan memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu meringankan beban rakyat yang masih terkesan dengan pandemik COVId-19.

Bagaimanapun selepas Julai, ‘suhu’ politik mulai ‘hangat’ kembali apabila ada pihak khususnya UMNO mahu PRU-15 diadakan segera bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil berbanding kerajaan sedia ada.

Desakan itu timbul selepas BN menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November 2021 dan diikuti kemenangan melebihi dua pertiga pada PRN Johor pada 12 Mac 2022 dengan memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Mengambil kira prestasi di dua PRN berkenaan, BN berpendirian PRU-15 perlu diadakan tahun ini meskipun idea itu mendapat bantahan daripada PH, ‘rakan’ BN dalam kerajaan iaitu PN, dan juga beberapa pemimpin UMNO sendiri; atas alasan ekonomi negara belum pulih sepenuhnya kesan daripada COVID-19, serta mengelak mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh.

Namun akhirnya pimpinan ‘Top 5’ UMNO iaitu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri akhirnya setuju Parlimen dibubarkan pada tahun ini juga.  

Ledakan pertelingkahan berhubung tarikh pilihan raya terus jadi ketara apabila buat kali pertama dalam sejarah, tiga negeri di bawah pentadbiran PH, yakni Selangor, Negeri Sembilan, serta Pulau Pinang, dan tiga lagi negeri di bawah pentadbiran PAS, yakni Terengganu, Kelantan dan Kedah, - memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU-15.

PRU-15 turut menampilkan kejutan apabila nama-nama besar seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen lama seperti Tengku Razaleigh Hamzah, serta beberapa menteri yang menyandang kerusi; tumbang dalam pilihan raya berkenaan.

Sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan bermulalah siri rundingan dalam kalangan pemimpin pelbagai parti politik bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Anwar mendakwa beliau sudah memperoleh majoriti mudah, manakala Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberitahu bahawa beliau sudah menghantar akuan bersumpah 112 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada PN.

Seri Paduka Baginda kemudian menitahkan supaya PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan, namun Muhyiddin enggan dengan alasan PN tidak dapat bekerjasama dengan PH.

Berikutan itu, pada 24 November perbincangan khas Raja-Raja Melayu diadakan sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong merungkai kemelut pembentukan kerajaan baharu, dan pada tarikh sama UMNO memutuskan menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan diterajui PH sebagai menjunjung titah Seri Paduka Baginda.

Tarikh bersejarah itu juga (24 November) menyaksikan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar sebagai Pengerusi PH yang juga presiden parti PKR akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menerajui Kerajaan Perpaduan hasil sokongan BN, GPS, Warisan, GRS, PBM, KDM dan Bebas.

Walaupun GPS pada mulanya menyatakan sokongan kepada PN, dan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, namun susulan perkembangan di Semenanjung Malaysia, Premier Sarawak yang juga pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam kenyataan pada 24 November berkata GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan perdana menteri.

Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut menyusuri laluan sama, menyatakan sokongan kepada PH dan Anwar sebagai perdana menteri pada 24 November, walaupun hanya beberapa hari sebelumnya telah memberi sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

Jajaran politik baharu di Semenanjung itu bukan sahaja memaksa parti politik yang memenangi banyak kerusi di Sabah menyokong Kerajaan Perpaduan, malah parti WARISAN yang memenangi tiga kerusi, parti KDM dengan satu kerusi dan dua wakil rakyat Bebas turut berbuat demikian.

Pada 25 November, Anwar melangkah masuk ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk memulakan tugas rasmi pertama sebagai Perdana Menteri, dan seterusnya menyenaraikan anggota Kabinetnya, yang memenuhi titah perintah Al-Sultan Abdullah untuk menampilkan kerajaan inklusif dengan perwakilan daripada semua parti dan wilayah.

Anwar turut melakar sejarah baharu dengan mengotakan janjinya untuk melantik dua Timbalan Perdana Menteri - Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof, yang merupakan pemimpin pertama dari Sabah atau Sarawak untuk memegang jawatan sebagai pemimpin nombor dua negara.

Pada 19 Disember, Anwar membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju, pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15.

Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, selesai membahaskan usul berkenaan.

Terdahulu pada permulaan persidangan, calon Anwar, Johari Abdul dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, selepas memperoleh 147 undi berbanding 74 yang diperoleh calon PN, bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad. Salah seorang daripada 222 Ahli Parlimen tidak dapat mengambil bahagian dalam undian apabila sampai lewat di Dewan, atas alasan masalah kesihatan. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Politik 1 jam yang lalu

Kerajaan Tidak Campur Tangan Siasatan SPRM Terhadap Bersatu - PM Anwar

2

Sukan 19 jam yang lalu

Anwar Ucap Tahniah Hamidin Dipilih Ahli Majlis FIFA, ‘Selamat Bertugas’

3

Semasa 23 jam yang lalu

Tidak Salah Anwar Lantik Nurul Izzah Bantu Tugas - Mufti Pulau Pinang

4

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Teguran, Beri Penjelasan Berhubung Lantikan Nurul Izzah

Sorotan

1

Tumpahan Diesel, Hidraulik Berjaya Dikawal Elak Masuk Sungai

2

Bella Astillah Akhirnya Dedah Mesej Perbualan Bersama Sophia AlBarakbah

3

Kami Bukan Persoal Integriti Parti, Tetapi Tindakan Ahmad Zahid - Tun Faisal

Disyorkan untuk anda

Semasa 6 jam yang lalu

Badan Pemantau Hutan Ragui Kerja Pembersihan Di Hutan Simpan Selangor

oleh Arjun Mohanakrishnan

Sukan 23 jam yang lalu

RTM, Astro Penyiar Rasmi Liga Malaysia 2023

oleh Fitri Nizam

Politik 10 jam yang lalu

Akaun BERSATU Dibeku: Slogan PN BEST Sudah ‘Tercemar’, Mampu Jejas Sokongan

oleh Fitri Nizam

Semasa 1 hari yang lalu

Mengapa Pelantikan Nurul Izzah Dirahsiakan? Wan Saiful Tuntut Penjelasan Anwar

oleh Susan Albert