Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


PAU 2020, Meneka Dalam Kesamaran

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Mar 2021 9:03AM

Foyer utama Pusat Dagangan Dunia Putra sunyi dengan ketiadaan kaum ibu yang lazimnya akan membanjiri ruangan tersebut dengan baju kurung merah terang ikonik mereka. - Gambar Syeda Imran

oleh

Zaidi Azmi

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Sunyi, sejuk dan kosong foyer utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun ini dengan ketiadaan kaum ibu yang lazimnya akan membanjiri ruangan tersebut dengan baju kurung merah terang ikonik mereka.

Tiada lagi kelihatan wajah-wajah keibuan golongan yang dikatakan tulang belakang UMNO ini, yang selalunya akan duduk bersila dan bersimpuh tatkala mendengar rantaian ucapan pemimpin parti, menghiasi hampir setiap pelosok PWTC.

Ahli Wanita UMNO duduk di perkarangan foyer utama PWTC - Gambar Syeda Imran
Ahli Wanita UMNO duduk di perkarangan foyer utama PWTC - Gambar Syeda Imran

Hanya segelintir sahaja kaum ibu; jolokan manja ahli wanita dari kampung, hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) yang ditunda sejak tahun lepas dek COVID-19.

“Tak sangka ada juga hikmah makcik tersekat di KL ini disebabkan penguatkuasaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP),” kata seorang ahli Wanita UMNO dari sebuah cawangan di utara tanah air yang hanya mahu dikenali sebagai Syamsiah.

“Kalau bukan sebab PKP, tak dapat makcik hadir perhimpunan kali ini,” kata Syamsiah yang sedang duduk berehat di tepian pentas di hadapan ruang hadapan foyer tersebut.

Seperti kebanyakan ahli lain, tujuan Syamsiah menghadiri PAU 2020 adalah untuk mendengar amanat pemimpin tentang perancangan masa depan dan strategi politik UMNO.

Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan memberi ucapan di Persidangan Agung UMNO. - Gambar dari UMNO Online
Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan memberi ucapan di Persidangan Agung UMNO. - Gambar dari UMNO Online

Perkara tersebut adalah penting, lebih-lebih lagi tatkala parti itu sekarang ini berada dalam satu posisi yang pelik.

UMNO adalah sebahagian daripada gabungan kerajaan pimpinan sebuah parti lain, yang barisan pemimpinnya menjadi kebencian ramai, tetapi pada masa sama, perasaan itu terpaksa dipendam demi memikirkan kestabilan politik negara.

Kemarahan yang membara di dada pemimpin serta ahli UMNO terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO bukan berlaku tanpa sebab yang kukuh.

Dalam ucapan dasar, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan memberi satu rangkuman yang tepat, mengapa parti itu memendam amarah terhadap BERSATU.

“Apakah kita perlu menjadi baja kepada pokok dedalu parasit, yang menumpang kita dan kita tahu ia pasti akan membunuh kita di masa depan? Mereka telah mengambil 15 kerusi yang kita menang (pada Pilihan Raya Umum Ke-14 atau PRU14) untuk mengukuhkan kedudukan mereka,” tegas Zahida.

Bagaimana UMNO ingin menempuh PRU15 sudah pun dijelaskan oleh Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam PAU 2020 kali ini.

Ketua Wanita UMNO Noraini Ahmad. - Gambar UMNO Online
Ketua Wanita UMNO Noraini Ahmad. - Gambar UMNO Online

“Berdasarkan keputusan terbaru Majlis Kerja Tertinggi (MKT), UMNO akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN). Wanita UMNO harus bersedia seolah-olah kita akan bertanding secara solo,” ujar Noraini dalam ucapan dasar sayapnya.

Jika UMNO bertanding dalam PRU15 secara solo, ‘Perpaduan Ummah’ akan lebih berpecah dan berkecamuk dan inilah peringatan yang sering dijaja oleh pemimpin BERSATU serta sebahagian kecil suara-suara tentangan dalam parti termasuk Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Hujah Annuar tentang kepentingan kerjasama antara UMNO dan BERSATU dipandang serong serta tidak diendahkan oleh kebanyakan pihak dalam parti, kerana beliau memegang jawatan menteri dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Namun, Mohamad, yang mesra dengan jolokan Tok Mat, berpendapat, perpecahan ‘Perpaduan Ummah’ tidaklah seteruk diperkatakan oleh sesetengah pihak.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan. - Gambar dari UMNO Online
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan. - Gambar dari UMNO Online

“Semua pihak kerap bercakap mengenainya. Seolah-olah ummah telah berpecah belah sehingga ke tahap yang sangat parah. Pada saya, kedudukan perpaduan orang Melayu tidaklah terlalu meruncing,” jelas Mohamad semasa merasmikan mesyuarat tiga sayap parti, Sabtu lalu.

Perpaduan Ummah tambah Tok Mat, adalah konsep yang melangkaui batasan politik dan takdirnya tidak bergantung kepada mana-mana parti meskipun ada pihak  gemar mendakwa sebaliknya.

“Berbelas-belas juta lagi orang Melayu di luar sana yang tidak berparti, tidak menyertai UMNO dan PAS, apatah lagi BERSATU. Namun mereka membentuk sebahagian besar ummah yang kita sebut-sebutkan ini,” tegas Tok Mat.

Seperti Noraini, Tok Mat juga menyentuh keputusan pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam PRU15 melalui BN dan bukannya wadah lain, termasuklah Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai oleh UMNO bersama PAS selepas kekalahan BN di PRU14.

“Sebaliknya, kita akan menggunakan pendekatan ‘Bekerja dengan BN’.”

“Ia akan menjadi slogan yang membuka pelbagai ruang, untuk UMNO meneroka segala bentuk kerjasama strategik, tanpa perlu terikat dengan bermacam konsensus politik, dan pensyaratan yang sempit dan merugikan,” kata beliau.

Adakah ini bermaksud MN sudah tidak lagi diperlukan?

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan, berpendapat, beliau tidak rasa MN sudah diabaikan.

“Ini adalah mesej tersirat Tok Mat kepada PAS. Ancaman sebenar PAS adalah UMNO bukannya BERSATU. Sokongan akar umbi akan memainkan peranan yang besar dalam PRU15 dan BERSATU tiada akar umbi.

“Jika PAS bersama dengan UMNO dalam PRU15, hal-hal seperti pengagihan kerusi akan lebih mudah dirunding kerana seperti dua parti ini juga kuat di negeri seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu,” kata Azmi.

Sementara itu dalam ucapan dasarnya semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meyakinkan PAS bahawa kedua-dua parti tersebut masih kekal sebagai rakan politik, meskipun parti Islamis tersebut dilihat semakin mesra dengan BERSATU.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar UMNO Online
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar UMNO Online

“MN yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan. Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama.

“Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, apatah lagi, pertambahan kerusi,” kata Zahid.

Dalam perkembangan berkaitan, penerimaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap “teguran halus” dari Zahid ini masih lagi menjadi tanda tanya, kerana beliau meninggalkan PWTC tanpa berkata apa-apa kepada pihak media yang mengerumuninya untuk mendapatkan komen.

Namun, di sebalik keazaman pemimpin UMNO untuk menempuh PRU15 melalui BN, pucuk pimpinan masih berdiam diri perihal pelan penggantian pimpinan tertinggi jika Zahid kecundang di mahkamah dek 54 pertuduhan korupsinya.

Malah, petunjuk terdekat akan perkara ini hanyalah berbentuk satu gurauan dari Tok Mat: “Calon Perdana Menteri? Awak sedang melihatnya. Gurau saja.”

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Gambar Sadiq Asyraf
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Gambar Sadiq Asyraf

Kekuatan UMNO adalah pengaruh kuatnya di kawasan nusa teras Melayu, ‘the Malay heartlands’, yang telah dipupuk sepanjang 75 tahun kewujudannya.

Kemenangan yang ia perolehi dalam tujuh pilihanraya kecil yang diadakan selepas kekalahannya di PRU14 menandakan bahawa kekuatannya kian pulih, namun kejayaan tersebut dicapai sebelum ia menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggap “bermasalah”.

UMNO telah wujud sejak zaman pra-Merdeka. Ia adalah parti Melayu terbesar di Malaysia, dengan 191 bahagian, 22,000 cawangan. Ia juga mempunyai jentera parti yang terbesar berbanding parti-parti lain.

UMNO boleh menang PRU15 jika pucuk pimpinan parti memulihkan semua imejnya dan antara langkah penting yang diperlukan adalah terang lagi bersuluh - Zahid perlu lepas dari semua pertuduhan.

Jika Zahid betul-betul percaya bahawa kesemua pertuduhan terhadapnya adalah pendakwaan politik semata-mata, maka adalah amat perlu bagi pucuk pimpinan memaklumkan ahli apakah “Pelan B” UMNO jika beliau kecundang di mahkamah nanti.

Namun apa sebenarnya “new deal” UMNO? No DAP? No Anwar? No PKR? No Bersatu? - sejak bila UMNO pernah bersekedudukan dengan entiti-entiti ini dalam menghadapi PRU?

Adakah UMNO yang berjaya membuat beberapa ‘political comeback’ setelah kalah teruk di PRU14, mahu dilihat sebagai sebuah parti yang masih terperangkap dalam kamar gemanya yang tersendiri?  - Getaran, 28 Mac, 2021.

Berita Berkaitan

1

Politik 5 hari yang lalu

BN Hormati Kerusi DUN Milik Rakan Dalam Kerajaan Perpaduan, Sokong Bakal Calon

2

Semasa 1 bulan yang lalu

Malaysia Bakal Teroka Kaedah Baharu Termasuk Teknologi AI Atasi Banjir - Ahmad Zahid

3

Politik 1 bulan yang lalu

Jangan Politikkan Isu Pembatalan 16 Enakmen Syariah Kelantan - TPM Zahid

4

Semasa 1 bulan yang lalu

UMNO Tetap Dapatkan Pembelaan Untuk Najib, Harap PM Beri Kerjasama - Ahmad

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Semasa 5 jam yang lalu

PJMR 2024 Dijangka Catat RM1.6 Juta Nilai Jualan – Ewon

Luar Negara 1 hari yang lalu

Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura Beri Kerjasama Dalam Siasatan Jambatan Runtuh Di AS

Semasa 1 hari yang lalu

Ugutan Bunuh: Dr Akmal Buat Laporan Polis

Semasa 1 hari yang lalu

Putrajaya: 5 Bazar Ramadan Rekod Kutipan Sisa Domestik Antara 6 Hingga 7 Tan Sehari