KUALA LUMPUR - Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengambil pendirian untuk mengunci mulut berhubung isu pemecatannya sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, kelmarin.
Katanya, apa yang berlaku merupakan isu dalaman dan perlu diselesaikan dengan cara parti.
Malah beliau turut menyerahkan kepada kepimpinan PAS untuk menguruskan perkara berkenaan.
Mohd Khairuddin berkata demikian sewaktu membuat kemunculan pertama secara langsung menerusi Facebooknya, malam tadi.
Sesi yang bermula sekitar jam 11 malam tadi itu dipercayai dibuat dari luar negara, susulan gaya pemakaian Ahli Parlimen Kuala Nerus itu yang berjaket selain latar belakang waktu siang dan bunyi angin kencang.
“Ini kali pertama saya bersiaran secara langsung dalam Facebook setelah pelbagai isu dan perkara berlaku terhadap diri saya dalam parti dan juga perjuangan.
“Ramai yang meminta respon dan ulasan terhadap apa yang berlaku termasuk media.
“Namun saya masih mengambil sikap untuk kekal tidak menjawab atau mengulas apa yang berlaku.
“Saya serahkan semuanya kepada kepimpinan parti, Insya-Allah. Saya istiqamah dengan perjuangan PAS dan sabar. Belum masa untuk saya respon terhadap apa yang berlaku,” katanya menerusi video berdurasi 13 minit 52 saat itu.
Begitu pun bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu bertekad untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Ini bagi memastikan segala agenda rakyat dapat dilaksanakan dan segala keperluan rakyat dapat dilunaskan sebagai tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen.
“Mudah-mudahan rakyat Kuala Nerus bergembira dan berpuas hati apa yang telah saya laksanakan sebagai Ahli Parlimen sepanjang tempoh sembilan tahun saya berkhidmat,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Khairuddin berkata, beliau akan terus lantang dalam hal berkaitan Islam dan dasar perjuangan PAS.
“Saya akan terus bercakap secara umum tentang akhlak Islam, dasar perjuangan dan idea yang dipersetujui parti. Sebagai contoh yang selalu saya perjuangkan ialah penyatuan ummah.
“Itu merupakan pendekatan dan dasar semasa parti. Bermula dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang memutuskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lagi, mesti diusahakan penyatuan ummah. Saya Alhamdulillah ditakdirkan Allah berada dalam Majlis Syura Ulama bermula 2013,” katanya.
Sepanjang sesi secara langsung itu juga, beliau turut menyentuh mengenai rundingan politik Melayu-Islam yang diterjemahkan menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.
Bagaimanapun, sesi itu berakhir lebih awal kerana telefon bimbitnya kehabisan bateri dan beliau berjanji akan menyambung semula sesi tersebut kemudian.
Terdahulu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pengguguran Mohd Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama susulan isu-isu disiplin melibatkan pemimpin itu.
Penyingkiran itu berlaku kira-kira sebulan selepas beliau dipecat daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS pada 12 Januari lalu. - Getaran, 13 Februari 2022

