MELAKA - Bila disebut mengenai kempen pilihan raya, ramai pasti membayangkan perang poster dan bendera yang cukup meriah menghiasi kawasan sekeliling.
Namun hakikatnya, suasana melatari Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelihatan agak suram, walaupun tempoh kempen akan berakhir jam 11.59 malam nanti.
Pesta poster dan bendera juga dilihat kurang menyerlah sama ada di pihak Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).
Tinjauan Getaran di sekitar Melaka hari ini mendapati, walaupun perang poster tidak semeriah seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, majoriti jalan di Melaka dikuasai bendera BN.
Hasil pemerhatian juga mendapati, masih ada jentera pilihan raya parti dan calon bertanding gigih menyiapkan bahan kempen khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Lendu.
Poster serta bendera kebanyakannya tertumpu di kawasan pekan kecil dan perkampungan, manakala bahan kempen daripada 22 calon bebas pula agak kurang dipamerkan.
Walaupun begitu, kemeriahan kempen yang didomininasi BN tidak menjamin kemenangan mereka kerana PH juga mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya di kalangan akar umbi yang menetap di bandar Melaka.

Ramalan itu turut diperakui oleh pemerhati politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil yang berpendapat, blok pembangkang juga mempunyai kistimewaan berkempen menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan aplikasi WhatsApp.
“Pemasangan bendera, poster adalah cara klasik untuk berkempen bagi menarik pengundi, namun cara ini kebiasaannya hanya menjurus kepada golongan berusia 45 ke atas, manakala cara baharu di media sosial sukar diramalkan siapa pendahulunya.
“Namun, hasil pertanyaan saya bersama penduduk Melaka, ramai yang meramalkan kemenangan PH dan ini membuktikan, walaupun poster dan bendera blok terbabit tidak semeriah BN, mereka memiliki mempunyai pengundi yang solid khususnya di kubu dikuasai DAP,” katanya kepada Getaran ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Jamaie turut mempersoalkan penggunaan gambar yang dilakukan PN, apabila bersandarkan kepada wajah Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata, sekali gus seolah-olah menampakkan BERSATU menggerakkan kempen secara bersendirian.
Justeru, beliau yang juga Pensyarah Kanan Program Sains Politik, UKM menegaskan, tindakan tersebut membuktikan bahawa pertembungan di antara ‘UMNO dan UMNO’ dalam pilihan raya akhirnya menjadi kenyataan.
“Ini boleh kita lihat apabila kumpulan Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein serta Datuk Seri Shahidan Kassim tiada dalam paparan poster PN dan mereka ini kalau berkempen sangat minima, kerana tidak mahu dilihat seolah-olah berlawan sesama sendiri.
“Berdasarkan pengamatan saya dari segi kemeriahan bendera, BN boleh menang dan kalau PH pula menang, kemungkinan mereka tidak akan menang selesa di Melaka,” katanya.

Jamaie bagaimanapun berkata, esok adalah hari penentuan yang akan menjawab semua pesoalan itu.
“Kita perlu tunggu esok untuk melihat keputusan undi dan kita akan tahu siapa yang rakyat negeri ini mahukan untuk memerintah kerajaan,” katanya. - Getaran, 19 November 2021.

