MELAKA - Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mencabarnya mengarahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU menarik sokongan, sekali gus menyaksikan kejatuhan kerajaan Johor.
Beliau berkata tindakan itu tidak akan dilakukan BERSATU demi nasib rakyat, selain tidak mahu insiden yang berlaku di Melaka berulang di Johor.
Muhyiddin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai kenyataan Shahrir di media sosial bahawa UMNO Johor bersedia dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya BERSATU ingin menarik sokongan daripada kerajaan semasa.
Kenyataan Shahrir itu merujuk kepada kenyataan Muhyiddin semalam di Program Pentas PRN Melaka PN yang menyatakan bahawa beliau boleh mengarahkan ADUN BERSATU menarik sokongan, sekali gus menyaksikan kerajaan Johor tumbang.
Johor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad memiliki sejumlah 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerajaan semasa adalah gabungan daripada 16 kerusi Barisan Nasional dan 13 kerusi PN, menjadikan keseluruhan 29 kerusi manakala PH 27 kerusi. - Bernama

