Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


2021, Warna-Warni Drama Malaysia

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 Dec 2021 9:00AM

Orang ramai yang berada dalam kesusahan mengibarkan bendera putih sebagai ikhtiar akhir meminta bantuan. - Gambar oleh Azim Rahman

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tanggal 1 Januari 2022 akan menjadi lembaran sulung dekad baharu yang menggerakkan segala usaha ‘penyembuhan dunia’ selepas mengharungi tahun suram penuh cabaran.

Diari 2021 bernoktah dengan siri cabaran luar biasa yang berkemungkinan tidak terlintas dalam perancangan di mana-mana penjuru dunia, jauh sekali bersedia menghadapi impaknya.

Tatkala tahun ini hampir melabuhkan tirainya, musuh tanpa sempadan, COVID-19 terus ‘mengganas’ sehingga mencecah puluhan ribu kes dan bermutasi pula dengan varian baharu yang lebih mencabar untuk ditangani.

Rakyat juga terpaksa bergelut dengan drama di pentas politik tanah air yang mengubah pucuk pimpinan negara, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri selepas hanya mentadbir selama 22 bulan.

Sempena menutup tirai, Getaran menyorot kembali deretan kejadian luar biasa akibat pandemik COVID-19 dan permainan politik negara yang memenuhi garis masa 2021 di seluruh negara, supaya ia kekal menjadi pengajaran di masa hadapan.

Kempen Kibar Bendera Putih

Waktu negara diambang kemuncak jangkitan kes COVID-19, kempen kibar bendera putih mula tular sekitar Jun lalu.

Warganet menggerakkan kempen berkenaan selepas kecewa dan sedih melihat peningkatan kes bunuh diri akibat tekanan hidup.

Ternyata, kempen itu mendapat sambutan luar biasa daripada warganet yang bersepakat menggunakan media sosial bagi bersolidariti membantu golongan memerlukan.

Kempen tersebut dilihat berjaya apabila seorang individu antara yang terawal menaikkan bendera putih di kediamannya sebagai simbolik memohon bantuan.

Mohd Nor Abdullah yang tiada kedua-dua tangan sejak lahir meminta bantuan dengan mengibarkan bendera putih di kediamannya di Cheras. - Gambar oleh Azim Rahman
Mohd Nor Abdullah yang tiada kedua-dua tangan sejak lahir meminta bantuan dengan mengibarkan bendera putih di kediamannya di Cheras. - Gambar oleh Azim Rahman

Secara konsepnya, kempen bendera putih bukanlah simbolik perbuatan menyerah kalah seperti maksud peribahasa Melayu, sebaliknya ia membongkar kisah derita rakyat.

Bayangkan jika tiada kempen itu, mungkin kita tidak tahu jiran sebelah rumah sedang sengsara atau rakan sekerja tiada makanan buat anaknya.

Bukan itu saja, kempen yang ditular tersebut membuktikan bahawa kerajaan gagal memberikan tumpuan terhadap kebajikan rakyat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya, kerajaan terlalu sibuk mencari pelbagai alasan dan peluang untuk terus mengekalkan kuasa, tanpa ada sekelumit perasaan simpati terhadap rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Hartal Doktor Kontrak Cipta Sejarah

Di sebalik keadaan ‘huru hara’ dek krisis kesihatan itu, timbul kemelut baharu dalam bidang perkhidmatan kesihatan sekitar Jun, apabila sekumpulan pegawai perubatan kerajaan yang berstatus bukan tetap mengadakan mogok menerusi media sosial dengan tanda pagar #HartalDoktorKontrak.

Mogok berkenaan bertujuan menuntut doktor kontrak diserap ke jawatan tetap dan memperoleh jaminan pekerjaan lebih baik, selain sokongan terhadap nasib pegawai perubatan berkenaan yang sudah lima tahun menanti pengesahan jawatan tetap, umpama menunggu ‘bulan jatuh ke riba’.

Kebangkitan kumpulan terbabit adalah rentetan daripada pengumuman Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa kontrak 23,077 petugas barisan hadapan akan dilanjutkan setahun bermula 5 Disember tahun ini sehingga 4 Disember 2022.

Sakit hati dengan kenyataan itu, terutama dalam situasi doktor kontrak sanggup bersengkang mata dan berkorban masa untuk bekerja lebih masa demi memberi perkhidmatan terbaik bagi membendung pandemik, kumpulan berkenaan  memberikan kata dua, sama ada kerajaan memenuhi tuntutan diberikan atau berdepan gerakan Hartal Doktor Kontrak.

Dua orang doktor melakukan demostrasi Hartal Doktor Kontrak aman menuntut penjawatan tetap, di PKRC Maeps pada 26 Julai. - Gambar oleh Azim Rahman
Dua orang doktor melakukan demostrasi Hartal Doktor Kontrak aman menuntut penjawatan tetap, di PKRC Maeps pada 26 Julai. - Gambar oleh Azim Rahman

Natijah di sebalik kegagalan kerajaan memenuhi permintaan itu, kumpulan pegawai perubatan terbabit dilaporkan mengadakan tunjuk perasaan secara aman di 24 hospital dan pusat kesihatan awam di seluruh negara, termasuk Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Selepas kejatuhan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantikan dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, status jaminan masa depan doktor kontrak seolah-olah menemui sinar baharu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika sesi Dewan Rakyat mengumumkan, kerajaan akan membelanjakan lebih RM337 juta untuk melantik 4,186 doktor kontrak ke jawatan tetap menjelang tahun depan.

Ketika dihubungi Getaran, Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Mustapha Kamal Aziz memaklumkan pihaknya memberikan tempoh 100 hari kepada Khairy untuk menyelesaikan isu dan permasalahan dihadapi pegawai kesihatan lantikan kontrak.

Kes COVID-19 Lepasi Angka 20,000

Tanggal 5 Ogos lalu, buat pertama kalinya negara merekodkan angka harian kes COVID-19 melepasi 20,000.

Lonjakan kes itu berpunca daripada penularan varian Delta yang sudah menjadi varian dominan dengan kadar kebolehjangkitan lebih pantas, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh pelusuk dunia.

Walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diperkenalkan pada 24 Februari lalu, peratusan golongan dewasa di negara ini yang sudah lengkap divaksinasi masih lagi rendah ketika itu.

Lonjakan kes berpunca daripada penularan varian Delta. - Gambar oleh Sadiq Asyraf
Lonjakan kes berpunca daripada penularan varian Delta. - Gambar oleh Sadiq Asyraf

Lebih memburukkan keadaan, sistem kesihatan negara juga hampir lumpuh apabila penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) sesak berikutan peningkatan kes setiap hari.

Namun keluk jangkitan mula melandai apabila kes harian dilaporkan menurun dan lebih banyak negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada akhir Oktober lalu.

Walaupun varian Omicron dilaporkan sudah berada dalam komuniti, angka jangkitan masih lagi terkawal meskipun ada turun naiknya kerana hampir 80 peratus penduduk di negara ini sudah lengkap divaksinasi.

Muhyiddin Hilang Keabsahan, Perdana Menteri Letak Jawatan

Menginjak 13 Ogos, negara menyaksikan sejarah apabila UMNO mengambil pendirian menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekali gus menyaksikan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri terbatal.

Keputusan berkenaan membuatkan Presiden BERSATU itu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos, selepas terbukti hilang majoriti di samping kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Muyiddin berkata, perletakkan jawatannya dan seluruh anggota Kabinet selaras dengan apa yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin serta seluruh jemaah menteri, berkuat kuasa serta merta dan Ahli Parlimen Pagoh itu turut dilantik sebagai ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Presiden BERSATU itu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos. - Gambar Bernama
Presiden BERSATU itu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos. - Gambar Bernama

Seri Paduka Baginda turut dikagumi rakyat jelata apabila tidak mengambil tindakan terburu-buru, malah memanggil semua pemimpin parti politik menghadap bagi menyatakan pendirian pemimpin dimahukan mereka bagi dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah juga mengambil pendekatan mengadakan Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan proses pencalonan jawatan tersebut.

Selepas pertemuan khas itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan Ahli Parlimen Bera itu dilakukan selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

4 ADUN Cabut Lari, PRN Melaka Temui Pengundi

Menjelang 4 Oktober, negara digemparkan dengan kisah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Pembubaran itu membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada 8 hingga 20 November dengan dilatari pelbagai kisah ‘warna-warni’, termasuk menjadi pilihan raya pertama dalam sejarah tidak membenarkan kempen fizikal dan mewajibkan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Penyokong BN bersorak meraikan kemenangan parti itu di PRN Melaka. - Gambar oleh Azim Rahman
Penyokong BN bersorak meraikan kemenangan parti itu di PRN Melaka. - Gambar oleh Azim Rahman

Seramai 112 calon daripada enam parti bertanding pada pilihan raya berkenaan, iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta Bebas, malah dihiasi pertandingan sehingga enam penjuru.

PRN Melaka turut melakar sejarah tersendiri apabila menyaksikan BN menang besar selepas memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

GPS Ungguli 75 Daripada 82 Kerusi Sarawak

Sebaik PRN Melaka melabuhkan tirai, PRN Sarawak Ke-12 yang diadakan selama 13 hari pula menjengah dengan melakar pelbagai kisah ‘pahit manis’ dan sejarah tersendiri.

Sebaik beberapa kertas undi dikira, kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) hangat diperkatakan apabila parti pimpinan Tan Sri Abang Johari Openg itu mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dengan memenangi 75 daripada 82 kerusi DUN, sekali gus memperoleh mandat untuk meneruskan pemerintahan bagi tempoh lima tahun.

Abang Johari (depan, dua kiri) meraikan kemenangan GPS di PRN Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching di sini, pada 18 Disember. - Gambar Bernama
Abang Johari (depan, dua kiri) meraikan kemenangan GPS di PRN Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching di sini, pada 18 Disember. - Gambar Bernama

Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DAP, masing-masing memperoleh empat serta dua kerusi DUN, manakala satu kerusi, Mulu ditangguhkan ketika itu atas faktor keselamatan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kekalahan teruk pembangkang di Sarawak yang dianggap berpunca daripada sentimen politik di negeri itu lebih tertumpu kepada politik pembangunan, berbanding politik kepartian, dilihat mengulangi ‘kisah sedih’ sama ketika di PRN Melaka. - Getaran, 30 Disember 2021

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 1 tahun yang lalu

PRU-15: Momentum PRN Melaka Untuk BN Tawan Kerusi Parlimen

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Negara Kian Kehilangan Doktor - Hartal Doktor Kontrak

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Hanyalah ‘Wayang’ Jika Pendapat Doktor Muda Tidak Diambil Kira

Sorotan

1

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

2

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

3

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

4

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

5

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

6

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

7

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 jam yang lalu

Kedutaan AS Sangkal Kenyataan Gilley, Malaysia Selamat Untuk Dilawati

oleh Wartawan Getaran

Semasa 19 jam yang lalu

Tunggakan Gaji Bekas Kakitangan Kedah Agro Diselesaikan Secara Berperingkat

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 1 hari yang lalu

Nahas Helikopter : Laporan Awal, Penuh Diserah Dalam Tempoh 14, 30 Hari Bekerja 

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Tembakan Di KLIA: Hafizul Hawari Tak Mengaku Salah Cuba Bunuh Isteri