JASIN - Perikatan Nasional (PN) sudah memuktamadkan calon Ketua Menterinya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung lapan hari lagi.
Bagaimanapun, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mendedahkan identiti individu tersebut buat masa ini, cukup sekadar memaklumkan bahawa calon tersebut adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Ini adalah strategi kita. Sewajarnyalah daripda BERSATU kerana sejumlah besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti ini.
“Kita akan umumkan tak berapa lama lagi. Ramai sebenarnya yang layak untuk menjadi Ketua Menteri jadi tak ada masalah. Keputusan sudah ada,” katanya dalam sidang media selepas melawat Bilik Gerakan PN di DUN Bemban hari ini.
Menurut Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, parti komponen PN yang bertanding dalam PRN ini iaitu PAS dan Gerakan, telah memberi kepercayaan kepada BERSATU berhubung perkara tersebut.
Tambah bekas perdana menteri itu lagi, PN akan mengumumkan manifestonya Ahad nanti.
“Ini adalah berita baik bagi pengundi Melaka. Kita akan mengumumkan manifesto kita pada lusa ini. Ia adalah bukti kesungguhan kita. PN juga akan membentuk satu badan pemantau yang akan meneliti hal tersebut.
“Kita bukan Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan bulan, bintang dan matahari. Kita tidak boleh membohongi rakyat Melaka. Bila dah janji, kena tunaikan,” kata Muhyiddin.
Sekadar info, Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini pernah menganggotai PH pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei 2018. - Getaran, 12 November, 2021.

