Berita Terkini

3 minit yang lalu: Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengarah JSJ yang baharu berkuat kuasa 16 April ini - Setiausaha PDRM 2 jam yang lalu: Proton umum X90 kenderaan tenaga baharu pertamanya 2 jam yang lalu: Wanita warga emas maut, suami dirawat di ICU selepas makan ikan buntal 2 jam yang lalu: Jumlah import Sarawak meningkat 45.5 peratus kepada RM34.29 bilion pada 2022 - MITI 2 jam yang lalu: Cadangan wajibkan tingkatan enam beri kesan kepada kemasukan ke matrikulasi, IPT

IKUTI KAMI


Polemik PdPR, Bila Agaknya Akan Berakhir?

Pendidikan Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jun 2021 4:38PM

Masalah internet menjadi kekangan utama pelajar yang mengikuti konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) - Gambar Sairien Nafis

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Secara sedar atau tidak, sudah hampir dua tahun tamadun manusia dijarah COVID-19, sejak ia mula dikesan di Wuhan, China pada akhir tahun 2019.

Sejak itu, jangkitannya tersebar ke seluruh pelusuk dunia dan tidak ada negara terlepas dari cengkaman virus maut ini.

Malaysia tidak terkecuali, apabila ia mula bertapak pada 25 Januari tahun lalu, membabitkan tiga kes dibawa oleh pelancong China yang mendarat di negara ini.

Walaupun jentera perubatan pernah berhasil menurunkan jangkitan kes sehingga sifar, kejayaan tersebut tidak bertahan lama apabila ancaman gelombang kedua dan seterusnya pantas menyusul.

Sehingga semalam, Malaysia merekodkan 678,764 jangkitan, dan 4,202 kematian, dengan 66,097 daripadanya adalah kes aktif.

Penularan COVID-19 seperti dijangka menjejaskan operasi pelbagai sektor, termasuk pendidikan yang merupakan antara agenda terpenting negara.

Ia memaksa kerajaan bertindak memperkenalkan konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk semua jenis sekolah dan institusi pendidikan.

Langkah ini sememangnya wajar diberi pujian, namun entah mengapa isu yang seharusnya sudah berjaya ditangani sedari awal masih berleluasa, malah menjadi semakin parah.

Capaian internet, gangguan talian telekomunikasi, ketiadaan peranti berkualiti dan kepayahan golongan B40 serta M40 menyediakan peranti untuk anak-anak adalah antara masalah yang kerap kali dibangkitkan.

Seorang bapa, Mohd Rahmath Kassim yang menghubungi Getaran hari ini mendakwa, talian telekomunikasi digunakan anaknya sering kali berdepan gangguan, hingga menjejaskan tumpuan remaja itu terhadap pelajaran.

Penjawat awam berusia 47 tahun itu berkata, pelbagai aduan sudah dibuat kepada syarikat telekomunikasi berkenaan, namun jawapan yang diterima hanya bersifat ‘tunggu dan lihat’.

“Bila kerajaan laksanakan PdPR, apakah tiada perbincangan khusus dibuat bersama semua syarikat telekomunikasi ini? Kalau talian asyik berlaku gangguan, bagaimana semua murid ini hendak fokus?

“Saya sendiri pun akan bosan kalau pengajaran asyik terganggu akibat masalah talian yang entah bila akan selesai ini,” katanya, berang.

Bapa tunggal itu berkata, pihak yang berkaitan seharusnya menimbang dengan terperinci segenap faktor sebelum memperkenalkan konsep PdPR secara besar-besaran di seluruh negara.

“Kita tahu syarikat telekomunikasi ini ada peruntukan yang besar untuk kerja-kerja penyenggaraan menara pemancar masing-masing, malah mereka juga ada sub kontraktor untuk kerja-kerja seperti itu.

“Apa sudah jadi? Apakah kerja penyenggaraan tidak dibuat? Takkan kerajaan tak boleh bertegas dengan mereka, demi kecemerlangan pendidikan anak bangsa,” tegasnya.

Seorang pelajar tingkatan lima, Amanda Nur, 17 turut mengakui sering berdepan gangguan internet ketika mengikuti sesi pembelajaran.

Meski menggunakan komputer riba, remaja di sebuah sekolah harian itu tidak terlepas daripada mengalami gangguan internet yang sering kali mengakibatkan pembelajaran terhenti secara tiba-tiba.

“Internet asyik ‘buat hal’. Kadang-kadang terlalu perlahan sampai sesi buffer selama beberapa minit.

“Pernah terjadi, cikgu pun putus asa dan berhentikan kelas separuh jalan sebab capaian internet terlalu perlahan,” katanya, yang mengakui sesi PdPR tidak cukup berkesan, khususnya pada subjek kritikal seperti Matematik.

Capaian internet dan gangguan talian telekomunikasi hanya segelintir masalah yang acap kali dibangkitkan, namun masih tiada penyelesaian khusus sehingga hari ini.

Terbaru, negara dikejutkan pula dengan isu peranti berkualiti rendah yang dibekalkan kerajaan, sehingga menyebabkan ia tidak kompeten untuk digunakan bagi mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian itu.

Ia susulan insiden menimpa seorang pelajar, apabila telefon pintar yang diperolehi secara percuma daripada inisiatif Jaringan Prihatin meletup ketika digunakan untuk PdPR.

Kejadian tersebut walaupun tidak mendatangkan sebarang kecederaan, namun ia cukup meninggalkan trauma hingga mendorong ibu saudara pelajar itu menuntut pihak berkaitan bertanggungjawab.

Menerusi satu gambar yang dikongsi wanita terbabit di Facebook, telefon digunakan adalah dari jenis Yes Altitude 3, iaitu peranti sama diberikan kerajaan Perak di bawah program Tuisyen Cikgu Saarani.

Peristiwa itu turut meraih perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempersoalkan tindakan berkenaan kerana kerajaan seharusnya mengutamakan aspek kualiti, apatah lagi ia membabitkan jutaan pelajar seluruh negara.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendakwa, kerajaan sengaja memberikan telefon pintar berkualiti rendah kerana bimbang ia akan disalah gunakan pelajar untuk bermain permainan video.

“Sengaja beri telefon kualiti rendah kerana bersangka buruk dengan pelajar. Nak bantu, bagilah yang ada kualiti. Pelajar boleh belajar dari Google Meet, Telegram dan YouTube. Memori telefon kena besar, nak buat panggilan video dengan guru.

“Kenapa nak susahkan pelajar?” katanya menerusi satu ciapan di Twitter baru-baru ini.

Kenyataan diberikan Syed Saddiq itu ada asasnya dan amat rasional dengan senario semasa, apatah lagi memang diketahui PdPR sememangnya memerlukan ruang dan aplikasi bersaiz besar.

Ia diakui seorang suri rumah, Datin Patricia Daud, 67, yang sering menyaksikan cucunya berdepan kesukaran setiap kali menggunakan telefon untuk mengikuti PdPR, walaupun peranti itu memiliki kapasiti memori bersaiz besar.

“Telefon pintar cucu saya bersaiz 64gb dan RAM 3gb pun selalu berdepan kesukaran bila cikgu menggunakan aplikasi bersaiz besar, inikan pula pelajar yang hanya bergantung pada telefon berkapasiti 1gb.

“Tolonglah jangan perjudikan nasib pelajar yang sememangnya amat memerlukan bantuan kerajaan. Apa salahnya jika beri barangan yang berkualiti? Sekarang pun ada pelbagai jenama telefon pintar berkualiti yang harganya amat berpatutan,” keluhnya.

Hari ini, pengarang terkemuka, Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani pula berkata, sesi PdPR sekolah anaknya terpaksa dibatalkan kerana saluran GoogleMeet pelajar dicemari penggodam yang menayangkan video lucah.

Walaupun perkara terbabit sudah diambil tindakan segera oleh pihak sekolah, ia menimbulkan persoalan baharu, apa jaminan kerajaan untuk memastikan sesi PdPR ini selamat dan tidak menjadi sasaran penggodam pada masa akan datang?

Dalam keadaan negara yang masih dilanda puting beliung COVID-19, semestinya tayangan video lucah kepada pelajar adalah antara perkara terakhir perlu diberi perhatian.

Isu utama ketika ini adalah, apakah kerajaan akan memberi perhatian dalam menangani semua isu yang timbul?

Atau apakah rakyat sebenarnya harus menelan apa sahaja dilemparkan terhadap mereka, seperti kehendak Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang beliau sendiri suarakan baru-baru ini?

“Bila kita susah, orang sedekah apa pun kita terima. Tiadalah nak demand-demand kan. Masa kita tengah susah ini orang bagi ikan sardin, jadi ikan sardinlah yang kita makan. Tiadalah demand nak makan ayam pula,” katanya, seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Jika itulah tanggapan pemimpin, barang kali benar apa dibilang orang bahawa adalah satu kesalahan untuk menjadi miskin kerana menurut fitrah, mereka tidak berhak membuat pilihan, apa lagi berkehendakkan apa-apa.

Cukup menyedihkan. – Getaran, 18 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 jam yang lalu

Mansuh Pelepasan Cukai SSPN, Musnah Galakan Menabung, Ramai Terbeban Hutang Pendidikan

2

Semasa 1 hari yang lalu

Malaysia, Kemboja Tingkatkan Kerjasama Dalam Pelbagai Sektor

3

Semasa 1 hari yang lalu

Lawatan PM Ke Arab Saudi Erat Hubungan Antarabangsa, Perdagangan Dan Aktiviti Islam

4

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Tiba Di Phnom Penh, Lawatan Rasmi Perkukuh Hubungan Malaysia-Kemboja

Sorotan

1

Kementerian, Jabatan Diminta Anjur Majlis Ilmu Untuk Hidupkan Bulan Ramadan - Anwar

2

SPRM Nafi 2 Pegawainya Dalang Isu Rasuah Libatkan Syarikat Korporat

3

Tempoh Reman Penyerang Kamal Adli Dilanjutkan Seminggu Lagi

Disyorkan untuk anda

Semasa 12 jam yang lalu

5 Lagi Lebuh Raya Bakal Laksana Sistem Pembayaran Terbuka - Alexander

oleh Farhana Farush

Sukan 16 jam yang lalu

Aaron-Wooi Yik Perlu Lebih Versatil - Legenda Badminton Negara

oleh Julie Jalaluddin

Semasa 8 jam yang lalu

Kerusi Muhyiddin, Hamzah, Hadi Kosong Sewaktu Sesi PMQ?

oleh Susan Albert

Semasa 1 hari yang lalu

Lelaki Serang Imam Ketika Solat Subuh Ditahan