KUCHING - Kira-kira 25,000 pelajar Sarawak di negeri ini dijangka meraih manfaat daripada dasar pendidikan tinggi percuma yang akan dilaksanakan bermula 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, jumlah itu termasuk mereka yang sedang mengikuti pengajian tahun pertama dan kedua di lima institut pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri.
IPT berkenaan adalah Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, Universiti Teknologi Curtin Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Kolej Universiti I-CATS.
"Tiga makmal telah dilakukan bagi membincangkan strategi pelaksanaan dasar ini," katanya menjawab soalan Datuk Seri Wong Soon Koh (PSB-Bawang Assan) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dr Annuar berkata, dasar pendidikan tinggi percuma yang diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Ogos lalu adalah dasar yang sangat penting kerana ia amat bermakna kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, dasar itu juga selari dengan rancangan kerajaan negeri untuk mewujudkan lima sekolah antarabangsa.
"Objektif utama (dasar) adalah untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan pelajar luar bandar mendapat faedah. Mereka akan dapat mendaftar di universiti terutamanya universiti milik kerajaan negeri," katanya. - BERNAMA

