Mantan Isterimu – Haiza

Lama tidak muncul dengan buah tangan baharu, penyanyi yang juga bergelar penyampai radio berbakat, Haiza tampil dengan sebuah lagu berjudul ‘Mantan Isterimu’. Masih setia dengan genre dangdut, lagu Haiza ini mempunyai susunan muzik yang agak moden dengan sisipan unsur muzik tekno di dalamnya. Digubah oleh komposer terkenal Ajai dan mendapat sentuhan lirik bekas pemenang AJL, Iman Imran, 'Mantan Isterimu' memenuhi kriteria yang diperlukan untuk sebuah lagu dangdut yang menghiburkan. Dengan irama berentak rancak dan lirik yang mudah diulangi, lagu ini sebenarnya mengingatkan kita kepada karya dangdut dari seberang nyanyian bintang-bintang seperti Siti Badriah dan juga Via Vallen. Semoga lagu ini akan membuka ruang baru buat Haiza dan industri dangdut tanah air supaya terus berkembang seperti zaman kegemilangannya di hujung 90-an dahulu.
Wanita – Kucaimars

Selepas menjadi salah seorang peserta rancangan realiti 'Big Stage,' bintang Kucaimars kelihatan semakin bersinar dan bakatnya semakin diiktiraf pengikut muzik pop tempatan. Terkenal kerana suka merakam semula lagu-lagu popular (khasnya lagu-lagu Indonesia) pemuda ini kini kembali dengan ‘Wanita’, sebuah lagu ciptaan bersama Shamin Nazri dan Rudy Nastia. Lagu ini diberikan susunan muzik yang indah oleh Rudy Nastia bersama Bajai dan ia juga merupakan lagu pertamanya yang berunsur balada menyayat hati. Lirik lagu ini bercerita tentang seseorang yang patah hati setelah gagal dalam percintaan, setelah dilukai oleh wanita yang dicintainya. Tidak menghairankan, lagu ini ada unsur-unsur balada pop Indonesia seperti yang sering dinyanyikan semula oleh Kucaimars di laman media sosialnya.
Dusta Cinta – Elly Mazlein

Suara Elly Mazlein sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Sejak awal kemunculannya sekitar dua dekad lalu, dia pernah tersenarai sebagai salah seorang penyanyi yang mempunyai warna suara mirip dengan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza. Namun Elly sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri. Biarpun lebih menyerlah sebagai pelakon untuk satu jangka masa yang panjang cintanya terhadap nyanyian tidak pernah terbengkalai dan dirinya sempat melancarkan beberapa lagu selang beberapa tahun yang lalu. Kini Elly mempersembahkan ‘Dusta Cinta’ yang digubah oleh penyanyi dan penggubah lagu prolifik, Aina Abdul dan lirik ditulis oleh Wan Zakaria. Lebih istimewa balada moden ini mempunyai satu bahagian yang dinyanyikan di dalam Bahasa Korea untuk memberikan sedikit kelainan. Yang pasti balada ini jauh lebih progresif daripada lagu-lagu pop yang dibawa Elly semasa awal kemunculannya dahulu. Ia juga menampilkan sebuah klip video yang tidak kurang menawan.
Nongga – Aizat & Monoloque

Sekiranya ada pembabitan Monoloque, anda pasti sudah boleh membayangkan muzik yang dipersembahkan. Semestinya unik dan berbeza dengan cara tersendiri, 'Nongga' menerapkan elemen muzik tradisional berirama gamelan dan diserikan dengan suara merdu penyanyi berbakat Aizat Amdan. Untuk pengetahuan umum, 'Nongga' merupakan lagu Gamelan Melayu yang dikatakan berusia ratusan tahun lamanya. Lagu yang dahulunya sering dimainkan di dalam istana telah pun disampaikan daripada generasi lama ke generasi baharu menerusi kaedah lisan turun-temurun. Dan susunan muzik lagu ini mempunyai bunyi yang amat mistik. Menurut Aizat semasa dia menerapkan nyanyian ke dalam muzik gamelan, dia merasakan sesuatu yang luar biasa. Seperti dirinya sedang menyanyi di dalam istana pada zaman dahulu kala. Untuk mengetahui konsep muzik yang dipaparkan, dengarkan 'Nongga' yang penuh misteri.
Kisah Kita – Ashidy Ridwan dan Syakirah Noble

Penyanyi Melayu yang berpusat di Singapura kadangkala jarang mendapat liputan di Malaysia. Dan ini agak merugikan kerana di kalangan mereka sebenarnya ramai yang berbakat besar. Lagu ‘Kisah Kita’ membuktikan kenyataan ini. Digubah dan ditulis oleh Ashidy Ridwan dan Syakirah Noble yang juga bekas peserta akhir rancangan realiti nyanyian Melayu Singapura, 'Anugerah,' Syakirah kali ini telah berjaya menghasilkan satu mahakarya R&B yang sangat hebat. Berduet bersama seorang lagi anak Singapura yang bervokal luar biasa iaitu Ashidy Ridwan, lagu ini mengingatkan kita kepada lagu-lagu R&B antarabangsa era 90-an. Malah Syakirah mengaku yang dia cuba mengikut gaya muzik Alicia Keys serta Usher yang jelasnya telah berjaya dikecapi lewat lagu ini. Disulamkan dengan lirik dwibahasa (Inggeris dan Melayu), 'Kisah Kita' wajar diangkat ke tahap yang lebih tinggi dan layak menerima promosi yang lebih besar. Semoga lagu ini dapat sampai ke corong-corong radio Malaysia kerana jika tidak, ia akan menjadi karya yang terbazir kerana persembahan dan kualitinya yang hebat. Mesti dengar jika anda pencinta R&B Soul sejati! Syabas Syakirah! . – Getaran, 3 Mac 2021