Berita Terkini

10 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Anugerah Juara Lagu Dan Aku: Penyanyi Wanita Harus Insaf Untuk Menjerit-Menjerit!  

Sebagai pendedahan penuh atau full disclosure, aku adalah salah seorang juri di pertandingan akhir AJL ke 37. Justeru aku tidak boleh mendedahkan drama yang berlaku di kamar penjurian serta lain lain perbincangan di sebalik tabir – Ad Samad 

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 Feb 2023 2:00PM

Dari pengalaman peribadi, lagu-lagu yang tercalon ke AJL juga akan menerima bayaran royalti yang tinggi. - Gambar hiasan Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 baru sahaja berlalu dan sekali lagi berlangsung dengan penuh gilang-gemilang dan suasana yang amat electrifying sekali. 

Sebagai penggiat muzik, aku rasakan bahawa AJL adalah anugerah muzik yang paling berprestij di Malaysia mengungguli lain-lain pertandingan lagu dari segi sambutan dan keterujaan peminat muzik, jumlah penonton yang berjuta serta penyertaan artis lama dan baru yang memberi persembahan terbaik dengan sepenuh jiwa raga. 

Juga mutu penerbitan yang tinggi untuk siaran langsung ke TV atau pengalaman menonton di hadapan pentas, mutu sistem bunyi dan persembahan pemuzik yang berkelas A, dan yang paling penting; kredibiliti para juri yang terdiri daripada para penggiat muzik profesional dan berpengalaman, serta kepertanggungjawaban dan keterbukaan pihak penganjur (TV3) terhadap keputusan juri.

Sebagai pendedahan penuh atau full disclosure, aku adalah salah seorang juri di pertandingan akhir AJL ke 37. Justeru aku tidak boleh mendedahkan drama yang berlaku di kamar penjurian serta lain-lain perbincangan di sebalik tabir.

Gambar Instagram Aina Abdul
Gambar Instagram Aina Abdul

Sejak dibangku sekolah lagi aku telah mempunyai minat untuk mencipta lagu, menulis lirik dan membikin filem.

Pada tahun 1986 ketika aku berumur 17 tahun, buat pertama kalinya Anugerah Juara Lagu di adakan. Ketika itu ia dikenali sebagai 'Peringkat Akhir Muzik Muzik Juara Lagu 1986'. 

Aku pergi menonton raptainya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).  Walaupun raptai, tetapi ia amat memukau. Aku telah cuba membayangkan bagaimanakah perasaannya sekiranya aku menjadi peserta di dalam anugerah sebegitu.

Hanya setelah 16 tahun kemudian, iaitu pada 12 Januari 2003 barulah aku menemui jawapan bagaimanakah perasaannya menjadi peserta Anugerah Juara Lagu apabila Syair Si Pari Pari dicalonkan untuk lagu terbaik di AJL ke 17.

Perasaannya amat menakjubkan

Kali pertama aku menaiki pentas AJL dan namaku disebut bersama Aidit Alfian dan Zamani serta menerima tepukan gemuruh dari para penonton adalah pengalaman surreal yang tidak dapat aku lupakan, "Biar betul! Aku di pentas AJL? Ramai orang akan tengok! Saudara mara akan tengok. Ex-girlfriend pun akan tengok, woohoo."

Walaupun 'Syair Si Pari Pari' tidak memenangi sebarang hadiah malam itu, tetapi AJL ke-17 adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan seperti ciuman pertama seorang kekasih.

Malam itu juga aku telah berkenalan dengan ramai penyanyi, pencipta lagu dan pemuzik yang menjadi kawan sehingga ke hari ini.

Menjadi calon di Anugerah Juara Lagu sahaja sudah cukup untuk membuka lebih banyak peluang untuk aku berkarya kerana aku semakin dikenali.

Bukan sahaja peluang menulis lebih banyak lirik lagu, malah ia membuka peluang untuk aku menulis rencana, menulis skrip TV dan lakon layar untuk filem, malah memberi syarahan di bengkel penulisan lirik dan kreatif.

Dari pengalaman peribadi, lagu-lagu yang tercalon ke AJL juga akan menerima bayaran royalti yang tinggi.

Bagi penyanyi yang menjuarai AJL, atau memenangi Vokal Terbaik atau Persembahan Terbaik, mereka akan seterusnya menerima jemputan dan tawaran berlipat kali ganda banyaknya untuk membuat persembahan Dinner Show dan konsert. Untuk dua tiga tahun mendatang, rezeki mereka bakal melimpah ruah.

Aina Abdul pasti akan sibuk untuk setahun dua ini. Kalau beliau pandai membawa diri, tidak mustahil beliau akan bergelar jutawan dalam tempoh sedekad ini.

Bagi para pencipta lagu pula, sudah tentunya semakin ramai penyanyi dan syarikat rakaman akan cuba mendapatkan khidmat mereka sehingga tidak cukup tangan dibuatnya.

Menjadi juara Anugerah Juara Lagu hanyalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.

Selepas 'Syair Si Pari Pari', beberapa lagi lagu aku turut dicalonkan ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu di edisi yang seterusnya, seperti 'Simbiosis', 'Tak Tercapai Akalmu', 'Kalis Rindu', dan beberapa lagi.

Tapi, tiada satu pun yang berjaya menang sebarang hadiah.

Ad Samad (kiri) bersama barisan Juri AJL 37. - Gambar Instagram Damiel Mikhael
Ad Samad (kiri) bersama barisan Juri AJL 37. - Gambar Instagram Damiel Mikhael

Sejak tahun 2011, aku sering pula dijemput untuk menjadi juri sama ada di peringkat separuh akhir Muzik Muzik atau di peringkat akhir Anugerah Juara Lagu.

Menjadi juri juga adalah pengalaman yang istimewa dan menyeronokkan. Para juri dilayan dengan sangat baik dan hormat.

Pakir khas pun disediakan amat dekat dengan pintu masuk dewan. Tetapi, tanggungjawab menjadi juri juga mesti dipikul dengan penuh amanah dan adil.

Adakalanya (terutamanya di lain-lain pertandingan lagu) ada para juri yang membuat keputusan atau memberi pemarkahan bukan berdasarkan kepada lagu, sebaliknya berdasarkan perhubungan atau isu-isu peribadi di antara mereka dengan para calon atau peserta.

Apabila mereka rapat dan mesra dengan seseorang calon/peserta, mereka akan memberi markah yang lebih tinggi dari sepatutnya. Sebaliknya, jika mereka berseteru atau berselisih faham dengan seseorang calon/peserta, mereka akan memberi markah yang sangat rendah, jauh dari yang sepatutnya.

Itu sering berlaku kerana industri muzik adalah kecil, justeru ramai di antara penggiat muzik yang saling berkenalan sama ada dengan mesra atau berbencian.

Selain mesti menilai setiap lagu dengan penuh tekun dan ketelitian, di antara perkara yang paling mencabar sebagai juri adalah untuk menyimpan rahsia dari pengetahuan awam, terutamanya dari pengetahuan kawan-kawan rapat yang juga penggiat industri muzik atau yang menjadi peserta di AJL.

Para juri biasanya sudah mengetahui keputusan akhir, atau sekurang kurangnya mengetahui 3 lagu lagu teratas yang bakal bergelar juara. Para peserta dan bakal juara, naib juara atau tempat ketiga adalah terdiri daripada kawan-kawan di dalam industri muzik juga.

Cuba bayangkan bagaimanakah perasaannya apabila sehari dua sebelum malam persembahan akhir Anugerah Juara Lagu, anda terpaksa terperuk di studio bersama rakan anda yang bakal bergelar juara AJL, dan anda tidak boleh mendedahkan kepadanya bahawa anda adalah salah seorang juri dan beliau bakal dinobatkan sebagai Juara.

Anda terpaksa tekan perasaan dan bergelut di dalam jiwa cuba menahan diri dari memberitahunya berita gembira.

Paling susah adalah anda perlu berlakon seperti anda tidak tahu apa-apa.

Sedikit Pengamatan Peribadi

Ada beberapa edisi Anugerah Juara Lagu yang meninggalkan kesan penting seumpama sebuah mercu tanda.

Di antaranya adalah AJL ke-3 yang dijuarai oleh lagu 'Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu'.

Lagu tersebut dan persembahan Ramlah Ram serta bajunya yang ikonik telah membuat orang Melayu menyangka bahawa penyanyi perempuan yang bagus adalah penyanyi perempuan yang mampu 'menarik' suara tinggi, sehingga ramai orang (termasuk para penyanyi) yang keliru di antara 'menyanyi nota tinggi' dengan 'menjerit'.

Setelah lebih 34 tahun berlalunya kemenangan Ramlah Ram di AJL pada tahun 1988, kita masih boleh saksikan begitu ramai penyanyi perempuan yang akan cuba 'menjerit' nota tinggi walaupun akan sumbang mambang dan membingit serta memecah gegendang telinga dan ovari wanita.

Cukup-cukuplah tu. Ramlah Ram tidak menjerit. Beliau menyanyikan nota tinggi bersesuaian dengan melodi lagu.

Begitu juga Aishah dengan lagu nyanyiannya yang berjudul 'Janji Manismu' yang menjuarai AJL ke-5 pada tahun 1990 dan lagu 'Cinta Beralih Arah' yang menjuarai AJL ke-10 pada tahun 1995. 

Aishah juga tidak 'menjerit'. Dia menyanyi nota tinggi pada lagu.

Lainlah Amy dari kumpulan Ses Search dengan lagu 'Isabella' yang menjuarai AJL ke-4 pada tahun 1989 dan lebih lebih lagi Nash dengan lagu 'Pada Syurga Di Wajahmu' yang menjuarai AJL ke-7 pada tahun 1992.

Mereka mestilah menjerit sebab mereka rock.

Kalau tak jerit, tak rocklah.

Begitupun, akhir kata, Anugerah Juara Lagu mestilah terus diperkasakan.

Sebagai stesyen penyiaran, TV3 perlu mengimbangi di antara sesuatu yang berkualiti dengan sesuatu yang popular.

Dan di dalam usaha mencapai perseimbangan itu, Anugerah Juara Lagu mestilah menjadi rancangan yang akan cuba mengutamakan lagu yang berkualiti berbanding dengan penyanyi yang popular.

Serta, krew penerbitan TV3 mesti cuba menasihati para penyanyi untuk insaf dari perbuatan menjerit- jerit ketika final AJL. - Getaran, 15 Februari 2023 

Berita Berkaitan

1

Kolum 1 tahun yang lalu

Pembentukan Perbadanan Muzik Negara, Langkah Susulan Yang Perlu Fahmi Fadzil Laksanakan

2

Selebriti 1 tahun yang lalu

Berikan Saya Sedikit Masa, Saya Akan Kembali – Sissy Iman Akui Otaknya Sedang Kosong Sekarang Ini! 

3

Muzik 1 tahun yang lalu

Persoalkan Peranan Salahuddin Ayub Terhadap Industri Muzik Tanah Air, Ini Jawapan RIM Buat Ad Samad 

4

Filem & TV 1 tahun yang lalu

"Siapa Lelaki Siapa Perempuan? Konsep Aksi Gelek Kami Memang Mengelirukan Juri" – Shaffiq Erwin, Ara Johari 

Sorotan

1

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

2

Pasangan Suami Isteri, 2 Lelaki Didakwa Perdagang Wanita Malaysia Di Peru

3

Ada Keperluan Pinda Seksyen 21 Akta Polis - KPN

4

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

5

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

6

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis

7

Bas Terbalik Di Lebuhraya KLK: 2 Maut, 13 Cedera