Berita Terkini

7 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Mesin Waktu Merentas Silam

Minggu ini Ad Samad menyedarkan kita tentang mesin waktu yang dipunyai oleh semua orang saat ia diperlukan.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Apr 2021 8:30AM

Gambar dari Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ada lagu-lagu yang mempunyai kesaktian sehingga boleh membawa kita terbang pulang ke alam silam seperti sebuah mesin waktu.

Aku punyai beberapa lagu yang mempunyai keampuhan sebegitu.

Baru baru ini aku mendengar 'Keroncong Untuk Ana', nyanyian M. Nasir dari kumpulan Kembara.

Setiap kali mendengarnya setelah satu tempoh yang panjang tidak mendengarinya, aku akan dikembalikan ke zaman remajaku, ke sebuah bilik stor di belakang rumah berkembar dua tingkat di Taman Permata, di sekitar tahun 80-an.

Bilik stor itulah yang menjadi bilik tidurku untuk beberapa tahun. 

Aku dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang mempunyai ramai adik beradik. 9 + 4 + 1 + ?. Aku sendiri yang memilih untuk menjadikan stor tersebut sebagai bilik tidur demi mendapatkan privasi. Jika tidak, aku perlu berkongsi bilik dengan adik lelakiku. Maklumlah, sebagai remaja aku cenderung melakukan perkara-perkara yang remaja cenderung lakukan. Kedudukan bilik itu  yang berada di belakang rumah memberi peluang untuk aku keluar masuk pada bila-bila masa tanpa diketahui oleh ibubapa. Malah para sahabat juga akan berkunjung tidak kira masa tanpa disedari atau mengganggu sesiapapun.

Di bilik itulah sebahagian daripada cita-cita dan keperibadianku diacuankan dan kini terbentuk. 

Di zaman sebelum internet, seperkara yang penting di dalam bilik itu adalah radio. Ia menghubungkan aku dengan dunia luar, termasuk antarabangsa. Aku sendiri yang telah memanjat bumbung untuk memasang kuali masak untuk disambungkan dengan wayar ke radio, dengan harapan aku dapat 'tune' ke siaran BBC melalui gelombang AM, untuk mendengar 'Top Of The Pops' untuk mengetahui keputusan terkini lagu apakah yang menduduki carta teratas di United Kingdom. Ahh, itu adalah zaman yang berbeza. 

Setiap masa aku di rumah, radio itu akan sentiasa bernyala sama ada memutarkan lagu-lagu daripada kaset atau siaran radio. Mereka yang seusiaku pasti akan mengingati rancangan  tengah malam seperti 'Pok Pok & Tu Tu', Omar Osman, alunan gitar Steve Stevens dari filem 'Top Gun', dan rancangan 'Memori' yang berlatar belakangkan lagu Cavatina dari filem 'Deer Hunter', dan banyak lagi rancangan lain yang mengimbau kenangan.

Berjam-jam waktu yang aku luangkan di bilik itu untuk belajar gitar, menghafal dan mempelajari lagu. Di situlah aku mendalami The Beatles, The Police, Duran Duran, Elton John, George Michael, Iron Maiden, Yngwie Malmsteen, Alleycats, dan sudah tentunya M. Nasir dan Kembara. 

Selain muzik, peranan penting radio adalah untuk penyebaran maklumat dan berita semasa. 

Sudah tentunya, berita politik adalah sentiasa hangat dan menarik perhatian umum. Walaupun aku masih remaja, namun aku mengikuti perkembangan politik negara. Ketika itu cuma siaran RTM sahaja yang wujud di Malaysia.  Ia merupakan instrumen propaganda yang penting, lalu sentiasa digunakan oleh pihak pemerintah iaitu UMNO dan Barisan Nasional ketika itu untuk memomok-momok dan memburuk-burukkan parti lawan. Segalanya adil di dalam politik, perang, dan cinta. Mungkin kerana pergaulan dan pembacaan, aku telah menyedari sejak usia yang begitu muda lagi untuk jangan mempercayai segala yang dilihat dan didengari di radio dan TV, malah apa yang dibaca di surat-surat khabar.

Aku masih ingat rentetan drama politik yang epik yang bermula daripada pra-Persidangaan Agung Umno 1987 sehingga ke pengharaman Umno serta penubuhan UMNO Baru dan Parti Semangat 46 yang memberi kesan langsung kepada negara. 

Di tengah-tengah kesengitan pergelutan politik di antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh, pada tahun yang sama, sebuah berita yang menggemparkan telah tersiar di suatu tengah malam di radio nasional, iaitu peristiwa tembakan rambang di Chow Kit Road yang melibatkan lelaki berpakaian tentera. Peristiwa Prebet Adam Jaafar. Aku masih ingat lagi laporan awal yang menyatakan beberapa orang kehilangan nyawa. Aku berjaga sepanjang malam untuk mengikuti perkembangan seterusnya, namun tiada berita susulan yang dikongsikan kepada umum, mungkin untuk mengelakkan suasana panik di kalangan rakyat.

Pada malam tersebut, ahli keluargaku dan para sahabat serta sudah tentunya ramai  yang menyangka bahawa peristiwa Prebet Adam itu adalah permulaan satu sengketa perkauman seperti Peristiwa 13 Mei. Kerana pada ketika itu, satu sentimen perkauman sedang terjerang yang membabitkan hubungan di antara orang Melayu dengan orang Cina.

Ramai yang merasa bahawa sentimen isu perkauman itu adalah sengaja diada-adakan dan dicetuskan oleh para pemimpin Umno yang berpihak kepada Dr Mahathir untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kemelut sebenar yang melanda Umno dan membawa orang Melayu agar bersatu di bawah kepimpinan Dr. Mahathir. 

Apabila laporan awal menyebut "lelaki berpakaian tentera", maka bertambahlah prasangka kami bahawa insiden itu adalah dicetuskan atas rancangan pihak pemerintah sendiri. Mewujudkan konflik perkauman adalah taktik yang sering diguna pakai para politikus zaman ke zaman untuk mengalih perhatian awam daripada isu sebenar lalu mencapai  dan mengekalkan kekuasaan.

Di dalam bilik stor itulah aku dan rakan-rakan yang berkunjung merasa cemas akan nasib yang bakal melanda negara sekiranya sengketa perkauman terjadi semula. Mujur pada keesokan dan beberapa hari seterusnya, lebih banyak berita kami terima yang memberi pencerahan terhadap perkara yang sebenarnya berlaku. Peristiwa Prebet Adam  jelas tiada bermotif politik atau sebarang motif sinister yang dirancang oleh mana-mana institutsi atau kumpulan.

Maafkan aku yang terlencong kepada politik, sedangkan  kalian mungkin menyangka pada mulanya artikel ini adalah mengenai muzik atau kesenian semata-mata.

Inilah yang aku maksudkan apabila berkata bahawa muzik dan lagu adalah sebuah mesin waktu yang berkemampuan membawa seseorang merentas silam.

Sudah tentu bukan sahaja muzik dan politik, pastinya era yang aku ceritakan di atas turut hadir berserta adegan cinta, rindu dendam, suka- duka, dan patah-hati-cinta-tidak-kesampaian seorang remaja sepertiku. Di waktu itu, aku bercinta dengan seorang gadis yang kemudiannya terpisah panjang dari ku. Bertahun-tahun ketika perpisahan itu berlangsung, sekali-sekala aku akan terkenangkan dia di dalam bentuk kerinduan yang amat mendalam. Sesuatu yang tidak pernah aku mencapai tahap kelalian. Malah aku luahkan menjadi lagu.

Nah, lihatlah betapa 'Keroncong Untuk Ana' bukan sahaja berkeampuhan membawa aku kepada suatu saat  atau suatu peristiwa tertentu sahaja. Malah ia berupaya membawa aku melihat sejelas kristal kepada rantaian rentetan sejarah yang mewujudkan sebuah era yang diwarnai dengan seni, politik dan peristiwa yang begitu kaleidoskopik.

Setiap perkara yang terjadi di dunia ini tidak akan sedetik pun tercepat atau terlewat. Rezeki dan jodoh akan datang tepat pada waktunya.

Mengenai gadis yang terpisah panjang dengan aku itu tadi, bertahun kemudian aku ketemuinya semula.

Malah, dia kini aku kahwini.

Di hari persandingan kami, seniman M. Nasir—seorang yang kini aku gelar sebagai abang dan sahabat turut hadir. 

Sebagai hadiah perkahwinan buat kami berdua, beliau telah mempersembahkan 'Keroncong Untuk Ana'. - Getaran, 28 April 2021.

Semua gambar dari Unsplash

Berita Berkaitan

1

Muzik 5 hari yang lalu

Ria Ramadan, Kolaborasi Unik Kumpulan Venus dan UNIC 

2

Muzik 6 bulan yang lalu

Kecoh! Video Helo Kuala Lumpur Di Youtube Jadi Kontroversi Di Indonesia?

3

Muzik 9 bulan yang lalu

Lagu Terakhir Beatles Disiapkan Dengan Bantuan AI

4

Muzik 9 bulan yang lalu

Bakat Muzik Satukan 6 Beradik Di Pentas

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok