KUALA LUMPUR - Tan Sri Dr Rais Yatim selama ini tampil di ruang awam sebagai tokoh yang memberikan pandangan atas kapasiti pakar adat dan perlembagaan secara bebas serta berkecuali.
Namun, pendedahan mengenai pelantikan rasminya sebagai Penasihat dan Peguam Utama kepada kepimpinan adat tertinggi Negeri Sembilan kini menimbulkan persoalan yang sukar diabaikan.
Surat pelantikan yang kini tersebar luas mengesahkan Rais dilantik secara rasmi ke jawatan tersebut berkuat kuasa pada 2 April 2026.
Pelantikan itu dibuat Undang Luak Jelebu, Yang Teramat Mulia Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad, bagi pihak Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.
Dengan pelantikan tersebut, Rais bukan sekadar individu yang memberikan pandangan mengenai adat atau perlembagaan dari luar sistem.
Beliau sebaliknya kini merupakan penasihat undang-undang utama kepada institusi adat tertinggi negeri yang merangkumi Undang Luak Sungai Ujong, Johol, Rembau dan Jelebu serta Tunku Besar Tampin.
Hakikat itu menimbulkan persoalan yang lebih besar: sejauh manakah kebebasan yang didakwa selama ini benar-benar wujud?
Lebih menarik, maklumat serta dokumen yang kini berlegar dalam kalangan media menunjukkan penglibatan Rais dipercayai bermula jauh lebih awal daripada tarikh pelantikan rasminya.

Sumber mendakwa, beliau telah bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada semua pihak terbabit sejak peringkat awal pertikaian lagi, sebelum peranan sebenarnya diketahui umum.
Sekiranya perkara tersebut benar, maka gambaran bahawa beliau sekadar tampil sebagai pakar bebas yang mengulas isu berkenaan menjadi semakin sukar dipertahankan.
Ini kerana peranan seorang peguam tidak pernah bersifat neutral.
Seorang peguam bertugas mempertahankan kepentingan pihak yang diwakilinya, membentuk strategi perundangan serta memperjuangkan pendirian anak guam.
Mereka bukan pemerhati bebas, jauh sekali pengadil yang berkecuali.
Atas sebab itu, persoalan yang timbul hari ini bukan lagi sama ada Rais mempunyai kepakaran dalam bidang adat dan perlembagaan.
Kelayakan beliau dalam perkara tersebut tidak menjadi pertikaian, sebaliknya, tumpuan kini terarah kepada satu isu yang jauh lebih penting iaitu ketelusan.
Jika Rais sememangnya telah terlibat sebagai penasihat dan wakil perundangan kepada pihak-pihak tertentu sejak awal, mengapa beliau terus ditampilkan kepada khalayak sebagai suara bebas yang tidak mempunyai kepentingan langsung dalam pertikaian berkenaan?
Persoalan itu menjadi semakin signifikan memandangkan isu yang diperkatakan melibatkan institusi diraja, adat dan tafsiran perlembagaan, satu perkara yang menuntut keyakinan awam terhadap integriti serta kebebasan pihak yang mengemukakan pandangan.
Pemerhati melihat keadaan ini berpotensi mewujudkan konflik persepsi yang serius.
Seseorang terikat secara profesional kepada satu pihak sukar dianggap benar-benar bebas apabila pada masa sama, tampil mengulas isu yang secara langsung menyentuh kepentingan pihak diwakilinya.
"Sejauh mana seseorang boleh dianggap bebas jika beliau sebenarnya telah bertindak sebagai peguam kepada pihak sama sejak awal lagi?” kata seorang sumber yang mengikuti rapat perkembangan pertikaian tersebut.
Semakin banyak maklumat muncul ke permukaan, semakin sukar persoalan ini dielakkan.
Apa yang dipertikaikan bukan kepakaran Rais Yatim, tetapi sejauh mana orang ramai diberikan gambaran yang tepat mengenai peranan sebenar beliau sepanjang kontroversi ini berlangsung.
Kini, satu persoalan utama masih belum terjawab sepenuhnya; sejauh manakah penglibatan Rais Yatim di sebalik tabir sebelum pelantikannya diumumkan secara rasmi kepada umum? - Getaran, 12 Jun 2026

