KUALA LUMPUR - Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain.
“Kenderaan tersebut kemudian merempuh sebuah motosikal, sebuah lagi kereta yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang sedang berada di bahu jalan.
“Akibat kemalangan, dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kereta berusia 28 tahun itu bersama seorang kanak-kanak lelaki yang cedera telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Kok Lian, pemandu berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau hadir ke balai polis berhampiran. - Getaran, 27 Julai 2026

