web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Anak Muda Gigih Bersihkan Pantai, Sungai Kotor Di Terengganu

Kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pembersihan dorong sekumpulan anak muda tubuhkan LKP Empire bagi anjur pelbagai aktiviti pembersihan sungai serta persisiran pantai daripada sampah sarap

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Apr 2024 4:01PM

gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA TERENGGANU - Sekiranya di Indonesia mempunyai Pandawara, sekumpulan anak muda yang aktif membersihkan sungai dan persisiran pantai yang kotor dengan sampah sarap menyakitkan mata di seluruh negara itu sehingga menjadi tular dan inspirasi ramai, Malaysia juga tidak terkecuali.

Digerakkan sekumpulan belia yang majoritinya bekerja dalam sektor pembersihan, LKP Empire yang diasaskan anak negeri ini memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang berkenaan untuk pelbagai aktiviti pembersihan pantai bagi memastikan khazanah ini dapat diterokai generasi akan datang.

Sejak ditubuhkan pada Ogos tahun lalu, sudah lebih 50 kerja sukarelawan pembersihan pantai menggunakan duit poket sendiri telah dilakukan oleh kumpulan belia ini di Terengganu dan mereka kini merancang untuk memperluas lagi aktiviti pembersihan di seluruh negara.

"Terengganu terkenal dengan keindahan pantainya yang menjadi tumpuan pelancong, sekali gus membantu sosioekonomi penduduk setempat, namun kehadiran orang ramai itu telah menyebabkan berlakunya longgokan sampah.

"Kerana didorong rasa cintakan alam sekitar yang menebal, tertubuhlah LKP yang datangnya daripada lok koho punoh, dialek Terengganu yang bermaksud makin dibiar makin teruk," kata pengasasnya Muhammad Uzair Emir Ahmad Faisal kepada BERNAMA.

Sepanjang melakukan kerja sukarelawan itu, Muhammad Uzair Emir, 25, berkata, tiga lokasi yang dikenal pasti sebagai 'terkotor' di Terengganu adalah Teluk Takir berhampiran Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini, Pantai Kekabu di Marang dan pantai-pantai secara keseluruhannya selepas fenomena monsun.

Kebanyakan sampah ini, katanya, dibuang oleh pengunjung yang datang ke kawasan pantai dan juga sampah-sampah yang hanyut dibawa ombak terutama selepas monsun.

Malah, kajian yang dilakukan pasukannya mendapati kebanyakan sampah khususnya yang dibawa ombak adalah buangan dari negara luar sebelum sampai ke pantai-pantai di Terengganu.

"Bila cakap mengenai kajian sudah tentu kena ada data yang spesifik sebab tidak adil untuk kami kata datangnya dari mana. Jadi, setiap sampah yang dikutip itu kami akan periksa label dan pastikan produk itu tidak berada dalam pasaran Malaysia," katanya dan menambah baru-baru ini, pasukannya mengutip satu karton botol air dan kotak tembakau yang tidak dijual di negara ini.

Walaupun ada yang memandang sinis langkah LKP Empire kerana melihat usaha membersihkan pantai daripada sampah secara total adalah mustahil, bagi pemuda kelahiran Machang, Kelantan itu semua pandangan negatif itu menjadi satu motivasi untuk meningkatkan usaha mencari jalan penyelesaian kepada isu sampah yang berlaku.

Hal ini termasuklah merancang menaikkan papan tanda larangan membuang sampah di lokasi tumpuan ramai tidak lama lagi.

Sementara itu, berkongsi mengenai keanggotaan LKP Empire, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan itu mempunyai lima ahli yang terlibat dengan kerja pengurusan dan 61 ahli berdaftar, namun mereka membuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk turut serta dengan operasi yang dilakukan.

Selain itu, bagi meningkatkan kesedaran mengenai aktiviti yang dilakukan, mereka akan membuat siaran langsung menerusi akaun TikTok setiap kali 'beraksi' dengan LKP Empire yang kini mempunyai hampir 13,000 pengikut dan lebih 100,000 memberi tanda suka (like) pada aktiviti yang dimuat naik.

"Kami tidak kisah sekiranya ada program kecil yang dijalankan secara personal oleh mana-mana individu yang mahu gunakan nama LKP Empire. Tiada masalah sebab memang kami sasar untuk jadi hab pencinta alam sekitar," katanya sambil berkata program rasmi pasukannya dijalankan pada setiap hujung minggu.

Baru-baru ini juga, tular video LKP Empire dalam media sosial mengenai kolaborasi pasukan itu dengan Pandawara, sebuah aktivis alam sekitar dari Indonesia yang terlebih dahulu mencipta nama dalam kerja sukarelawan ini.

Berkongsi momen manis itu, Muhammad Uzair Emir berkata, Pandawara telah mengikuti perkembangan LKP Empire sejak tahun lalu lagi sebelum memilih pasukannya sebagai wakil Malaysia untuk jelajah ASEAN Pandawara, selepas berkolaborasi dengan sebuah aktivis di Ho Chi Minh Vietnam pada Januari.

"la berlalu dengan sangat singkat. Pandawara menghubungi kami pada 13 Mac dan projek itu berlangsung di sebuah pantai di sini, dua hari selepas itu. Dengan hanya 15 orang yang terlibat daripada kedua-dua pasukan, kami berjaya mengumpul 200 kilogram sampah dalam tempoh hanya 30 minit.

"Kami pun tidak sangka boleh mengutip sebanyak itu yang kebanyakannya adalah plastik dalam tempoh setengah jam. Tapi apa-apa pun banyak yang kami belajar dan buat pertukaran idea hasil kolaborasi ini," katanya. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 21 jam yang lalu

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

2

Semasa 2 minggu yang lalu

Rogol, Amang Seksual Adik Perempuan, Pekerja Kedai ‘Hardware’ Mengaku Tak Bersalah

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Amang Seksual Fizikal Bekas Murid, Guru Hadap 2 Pertuduhan

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Aktiviti Komersial Haram: Pelarian Rohingya Didakwa Guna Kenderaan Persendirian Kaut Untung

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang