Peragawati terkenal kelahiran Malaysia yang juga merupakan finalis pertandingan realiti pencarian model, Asia's Next Top Model musim kelima iaitu Shikin Gomez telah dipilih untuk berjalan di pertunjukan fesyen jenama terkenal dunia, Dior di Mumbai, India.
Shikin atau nama sebenarnya Siti Nurfashikin Faisal Gomez, 30, telah meluahkan perasaan bangganya apabila terpilih untuk membuat pertunjukan fesyen yang berlangsung di antara lokasi paling ikonik di India iaitu di The Gateway Of India.

“Sejujurnya saya kehilangan kata-kata untuk pertunjukan fesyen Dior pra-musim luruh 2023 yang berlangsung di Mumbai.
“Mumbai adalah lokasi pertama saya ditempatkan selepas tamat pertandingan Asia's Next Top Model dahulu.
“Untuk saya berada di sini, mewakili negara saya dan semua yang kelihatan seperti saya, saya rasa sangat rendah diri, bangga dan gembira dapat menjadi sebahagian daripada sejarah," tulisnya dalam satu hantaran yang dikongsikan di Instagram Story.
Dalam hantaran yang sama, Shikin juga mengucapkan terima kasih kepada agensi model yang diwakilinya serta suami, ahli keluarga dan teman rapat yang sentiasa menyokong kerjayanya selama ini.
“Terima kasih kerana percaya dengan saya dan sentiasa berikan sokongan moral. Saya sayang anda semua 'to the moon and back'," tulisnya.
Nama Shikin Gomez mula menjadi perhatian ramai selepas dia terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Asia's Next Top Model musim kelima pada tahun 2017. Lebih membanggakan apabila Shikin berjaya menjadi finalis untuk musim berkenaan dan bergelar naib juara.
Sebelum ini supermodel terkenal Malaysia, Tengku Azura pernah membanggakan negara apabila menjadi wajah Asia pertama yang dipilih oleh Dior untuk menjadi model mereka di Asia sekitar tahun 2000 hingga 2001.
Tahniah diucapkan kepada Shikin Gomez. Semoga terus membanggakan negara di pentas dunia. - Getaran, 31 Mac 2023